Dr Ismail pertahan kenyataan

ALOR SETAR - Exco Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh mempertahankan kenyataannya berhubung isu banjir di Kedah, November tahun lalu, apabila didakwa berbohong oleh Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, semalam.

Menurutnya, apa yang didedahkan pada rancangan bual bicara sebuah stesen televisyen baru-baru ini adalah benar belaka.

“Dalam rancangan itu, saya akui mempertikai ketidakadilan bantuan yang diagihkan oleh Umno. Setahu saya, Pusat tak hulur satu sen pun masa banjir besar berlaku, Pusat hanya hantar bantuan selepas itu,” katanya.

Dr Ismail berkata, ketika banjir besar melanda Kedah, Kerajaan Negeri bertindak cepat dengan mengagihkan bantuan segera menerusi pejabat daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Dia kata saya berbohong, macam mana pula dengan mereka? Saya anggap kenyataan Ahmad Bashah itu sebagai tidak cerdik kerana ingin menegakkan benang yang basah,” katanya.

Menurutnya, sudah jelas Pusat lambat menghulurkan bantuan kerana diberi selepas banjir, antaranya tilam dan bantuan wang RM500 kepada penduduk, sebaliknya ketika malapetaka itu berlaku, Kerajaan Negeri yang tampil awal mengagihkan bantuan menerusi agensi kerajaan dan pusat pemindahan banjir.