Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Dato’ Mukhriz Tun Mahathir tidak perlu mengikut rentak tari mainan akhbar Utusan yang dilihat terus membina persepsi mengelirukan berhubung Madrasah Salihiah.
Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya menegaskan, asas kukuh berkaitan perkara itu telah pun diperjelaskan dan seharusnya Mukhriz tidak perlu mencari ‘glamour’ dengan menidakkannya.
“Kita nak ingatkan Mukhriz, dari segi hukum ia dilaksanakan setelah mendapat nasihat Majlis Fatwa Negeri. Ini bukan kerja menghancurkan macam Umno pernah buat. Berbeza dengan kerajaan pimpinan Umno yang pernah merobohkan surau dan masjid di beberapa tempat sebelum ini.
“Tetapi ini adalah pembangunan semula tapak berkenaan yang telah terbengkalai sekian lama. Sepatutnya Mukhriz kena rakam tahniah kerana dalam masa sama ruang solat dapat diperbesar dan diimarahkan. Amalan ini berlaku juga sepertimana pembesaran Masjidil Haram di Makkah dan Masjidil Nabawi di Madinah,” terangnya.
Ujar beliau, jika Umno selama ini mengaku jaguh soal pembangunan, sepatutnya Mukhriz menyahut pelawaan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak bahawa kerajaan dan pembangkang sama-sama memerintah dengan turut serta menyokong usaha untuk masa hadapan itu.
Tegas Ahmad, Pemuda PAS Kedah menyokong usaha kerajaan negeri dalam menguruskan perkara itu dan berdiri teguh dengan kepimpinan Ustaz Azizan.
No comments:
Post a Comment