Thursday, December 29, 2011

ISU MADRASAH SALIHIAH - DEPA TANYA KERAJAAN NEGERI JAWAB

Latarbelakang:

PKNK dengan kerjasama sebuah syarikat swasta ingin memulih dan memajukan Kompeks Tunku Yaakob yang terbengkalai lebih 30 tahun. Projek yang dinamakan Aman Central bukan sahaja memulihkan bangunan terbengkalai tetapi keseluruhan kawasan di sekitar itu. Pelaburan besar itu bakal memberi peluang ekonomi serta peluang pekerjaan kepada beribu rakyat negeri ini. Isu yang timbul ialah dalam kawasan yang mahu dibangunkan itu terdapat tanah wakaf berkeluasan 0.08 hektar dan di atas tanah itu ada bangunan yang dinamakan Madrasah Salihiah. Pemegang amanah harta wakaf itu adalah Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK). Kerana harta wakaf itu terbabit dalam pelan pembangunan maka ia dicadang untuk dirobohkan sementara dan dibangunkan sebuah surau baru di tempat yang sama.

Dakwaan yang timbul dan penjelasannya:

1. Perobohan surau adalah tindakan zalim

Kerajaan negeri tidak lakukan dengan sewenang-wenangnya terhadap tanah wakaf yang libatkan kepentingan Islam. Ia dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah yang diketuai oleh Dato' Sheikh Badaruddin Hj Ahmad. Majlis Fatwa bermuzakarah dan memutuskan bahawa surau tersebut boleh diroboh berdasarkan kaedah Istibdal iaitu berlaku pindah wakaf kepada manfaat yang lebih besar. Pampasan RM1.48 juta diberi kepada MAIK selaku pemegang amanah surau untuk mendapatkan wakaf yang baharu. Di lokasi yang dirobohkan akan dibina surau baru yang lebih luas boleh mengisi 400 jemaah dalam satu masa berbanding 200 jemaah dalam surau lama. Surau baru dibina dan pampasan untuk adakan wakaf yang baharu diberi lagi. Roboh satu dapat dua dan lebih manfaat!

2. Mufti Kedah dipaksa turut kehendak kerajaan negeri

Yang Berbahagia Dato' Mufti dan Majlis Fatwa Negeri Kedah berada di bawah KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang kini adalah Yang DiPertuan Agong, bukannya lantikan oleh Menteri Besar. Justeru tuduhan tersebut adalah fitnah dan tidak berasas. Mufti juga tidak membuat keputusan berseorangan, mereka bermuzakarah secara mendalam dalam Majlis Fatwa Negeri Kedah yang terdiri dari Dato' Mursyid Diraja Dato' Paduka (Dr) Syeikh Abd. Majid Bin Mohd. Noor (Universiti Al-Azhar Mesir, Universiti Ain As-Syam, Mesir), Dato' Wira Syeikh Yahya Bin Hj Jusoh (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah Sarjana Muda (BA) Syariah), Universiti Islam Antarabangsa (Diploma Undang-undang Pentadbiran dan Kehakiman), Dato' Syeikh Abdul Razak Bin Haji Mohd Yusof (Universiti Ain Syam, Kaherah, Mesir (Diploma Pendidikan), Dato' Syeikh Abd. Hamid Bin Md. Tahir (Universiti Al-Azhar Mesir (Ijazah BA Syariah Dan Undang-undang) Jayyid (Diploma Pendidikan), Tuan Syeikh Abdul Rahman Bin Abu Bakar (Universiti Ein Syams, Mesir (Diploma Pendidikan) Universiti Al-Malik Saud, Riyadh, Universiti Kebangsaan Malaysia (Sarjana Pendidikan (M.Ed)), Prof. Madya Dr. Haji Abdul Aziz Bin Hj Hanafi (Universiti Al-Azhar Mesir, Ijazah sarjana (MA) Syariah, Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Jurusan Syariah Politik Islam/Ekonomi Islam, Tuan Syeikh Marwazi Bin Dziyauddin, Universiti Al-Azhar Mesir - Ijazah Sarjana Muda (Syariah), Universiti Malaya - Ijazah Sarjana (Syariah) Fiqh dan Usul Fiqh dan Tuan Syeikh Aminudin Bin Hj Abd Rahim (Universiti Al-Azhar Mesir - Sarjana Muda (BA) Syariah). Kehebatan ilmu mereka dalam membuat keputusan berkaitan kepentingan Islam tidak boleh dipertikaikan.

3. Surau baru berada dalam kompleks membeli belah, sukar dimasuki

Surau baru yang akan dibina berada di aras bawah kompleks dan boleh dimasuki dari luar pada bila-bila masa walaupun kompleks beli belah ditutup. Ia menampakkan syiar sebuah surau dari luar, ada kubah dan boleh melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat. Sedangkan Madrasah Salihiah yang ada sekarang hanya di buka waktu Zohor dan Asar. Pada waktu lain surau dikunci dari luar dan tidak dimakmurkan sepanjang lima waktu.

4. Surau bernilai 100 tahun, ada nilai sejarah mesti dipertahankan

Sebenarnya bangunan surau yang kononnya bernilai 100 tahun di atas tapak itu sudah diroboh tahun 2007 dan dibina sebuah bangunan yang baharu (yang ada kini). Sebahagian besar bangunan itu adalah ruang pejabat yang disewakan kepada sebuah syarikat insuran, hanya satu ruang digunakan untuk bersolat. Bangunan itu baru berusia 4 tahun dan pampasan yang diberikan dengan menilai keseluruhan tanah dan bangunan tersebut.

5. Seluruh bangunan Madrasah Salihiah yang berusia 4 tahun itu adalah surau atau Rumah Allah

Rumah Allah adalah gelaran untuk bangunan surau atau masjid yang menepati syarat. Antara syaratnya ialah tandas mesti terpisah dari bangunan utama musolla seperti mana hampir kesemua masjid yang terdapat di dunia ini. Madrasah Salihiah tidak boleh dipanggil Rumah Allah kerana tandas, pejabat perniagaan dan surau berada dalam satu bangunan. Hanya satu ruang diguna untuk surau macam surau yang terdapat di mana-mana bangunan lain juga.

6. Surau itu dimakmurkan oleh kira-kira 200 jamaah pada setiap waktu solat

Tidak benar. Hanya ada beberapa buah rumah orang Islam berhampiran surau itu kerana ramai yang sudah berpindah. Orang Islam yang masih tinggal, lebih selesa berjemaah di Masjid Zahir. Solat berjemaah di surau itu biasanya hanya waktu Zohor dan Asar, dihadiri beberapa orang yang bekerja di situ. Waktu Maghrib, Isya dan Subuh, pagar pun berkunci. Jika benar surau itu mempunyai 200 anak khariah, mengapa tiada seorang pun yang datang bersolat Subuh di surau? Ramai yang berdemonstrasi membantah bangunan itu dirobohkan tempohari mengaku ahli khariah tetapi sebenarnya mereka adalah penduduk Taman Wira Mergong, bukannya ahli khariah di situ. Bangunan itu lebih berfungsi sebagai pejabat syarikat insuran dari sebuah madrasah atau surau.

7. Sepatutnya ganti wakaf (RM1.48 juta) dibuat di sekitar lokasi tersebut juga

Cadangan itu mungkin baik tetapi persoalannya bagaimana hendak memenuhkan surau ganti wakaf yang dicadangkan itu sedangkan kawasan tersebut bukan perkampungan yang ramai orang Islam. Bukankah lebih baik memikirkan untuk memenuhkan surau baru di kompleks perniagaan yang dibina itu. Dan lebih baik juga RM1.48 juga diguna untuk membina surau di mana-mana kawasan ramai penduduk. Bukan setakat untuk solat tetapi juga untuk pelbagai kegiatan umat Islam yang lain. Pahala yang mengalir kepada pihak yang mewakaf tentulah lebih besar.

8. Di sekitar itu juga terdapat gereja, mengapa gereja tidak dirobohkan sekali

Gereja tidak termasuk dalam lokasi strategik yang mahu dimajukan. Andainya gereja sengaja mahu dimasukkan, maka ganti gereja juga terpaksa dibuat di kompleks membeli belah itu. Adakah umat Islam negeri ini bersedia melihat sebuah gereja di kompleks membeli belah?

9. Pemaju Aman Central adalah orang kafir, mengapa beri peluang orang kafir majukan ekonomi mereka?

Aman Central adalah usahasama antara PKNK dan pemaju tersebut. PKNK adalah milik kerajaan negeri justeru tidak semuanya kafir. Ia akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan rakyat Kedah (peluang pekerjaan) yang majoritinya terdiri dari orang Islam. Realiti dunia hari ini, akibat kelemahan orang Islam, tidak ada satu aspek yang umat Islam dapat membangunkan iktisad sendiri tanpa orang bukan Islam. Kita tidak boleh bersikap ‘biar orang Islam mundur asal bukan Islam jangan kaya.’ Jika begitu, orang Islam tidak boleh pergi menunaikan haji untuk elak orang kafir yang buat kapal terbang dapat untung.

10. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Kedah, Rumah Allah (masjid atau surau) diroboh untuk sebuah shopping complex

Tidak benar. Masjid Alor Malai pernah diroboh untuk pembangunan menyeluruh Kompleks Al-Bukhari yang juga dibangunkan kompleks perniagaan di situ (antaranya Pasaraya Giant). Sebuah masjid baru dibina, bukan di atas tapak masjid lama tetapi dilokasi lain menggunakan kaedah Istibdal, sama seperti kaedah yang digunakan terhadap tanah wakaf Madrasah Salihiah. Ia tidak menjadi isu kerana pihak pembangkang pada masa itu (PAS) tahu hukum hakam, menghormati institusi ulamak dan tidak membantah membuta tuli. Sekarang isu Salihiah menjadi ‘panas’ kerana pihak pembangkang kini merasa ‘terlebih pandai’ dari para ulamak yang ada dalam Majlis Fatwa Negeri Kedah.

No comments:

Post a Comment