Monday, December 26, 2011

34 pelajar Langkawi dapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah

LANGKAWI 26 Dis. - Seramai 34 orang dari keseluruhan 1,430 pelajar di daerah ini mendapat keputusan cemerlang 8A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan minggu lalu.

Dari jumlah itu, 16 pelajar adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, 12 pelajar dari SMK Tunku Putra, lima pelajar dari SMK Kelibang dan seorang dari SMK Ayer Hangat.

Pencapaian itu sekali gus melonjakkan jumlah peratusan kelulusan daerah kepada 59.94 peratus berbanding hanya 57.32 peratus tahun lalu.

Pengetua SMK Mahsuri, Sabri Abdol Rahim berkata, pihaknya berbangga kerana muncul sebagai sekolah yang menghasilkan pelajar 8A teramai iaitu seramai 16 orang.

"Jumlah itu meningkatkan peratus pencapaian sekolah daripada 68.28 peratus tahun lalu kepada kepada 69.59 peratus pada 2011," katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu juga membuktikan bahawa segala perancangan sekolah menyusun program-program seperti latih tubi peperiksaan pada setiap Sabtu, program uji masa dan beberapa taklimat peperiksaan kepada para pelajar dan ibu bapa, membuahkan hasil.

Pelajar yang memperoleh 8A, Nur Syazwani Naqibah Md. Beseri, 15, berkata, selain mengulang kaji pelajaran dan mengikuti kelas tambahan, dia turut menjaga pemakanan dan mengamalkan pemakanan sihat seperti kismis, kurma dan minuman susu segar sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. [utusan]

No comments:

Post a Comment