Monday, December 5, 2011

Apabila ulamak berehat...

Oleh 21Halim

Ulamak pun manusia juga. Memiliki jiwa dan ada raga. Tahu penat dan pandai letih. Ingin berehat dan santai menghirup teh.

Ibarat kereta yang perlu ditukar minyak pelincirnya, maka sebahagian anggota Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengadakan Hari Keluarga dan Liqa' al Fikr di sebuah resort di Kampung Teluk Sari, Endau.

Program tiga hari dua malam berakhir 4 Disember lalu diisi dengan pelbagai aktiviti santai melibatkan isteri dan anak-anak selain pembentangan kertas kerja dan sesi bertukar pengalaman.

Pemilihan lokasi yang jauh dari kesibukan kota dan hiruk-pikuk manusia itu benar-benar melapangkan minda. Menjejakkan kaki di pepasir pantai sambil melihat anak-anak yang tidak jemu-jemu berendam di air masin.

Kembara muslim diiringi dengan pegkisahan sejarah Kampung Teluk Sari oleh Ustaz Ahmad Said, Ketua Urusan Ulamak PAS Mersing. Ada sesuatu yang dapat dipelajari. Kampung Teluk Sari itu, menjadi sepi, tidak maju malah penduduknya kehilangan pencarian akibat maksiat yang berleluasa pada suatu masa dahulu.

Menurut Ustaz Abdullah Husin, Ketua Dewan Ulamak PAS Johor. Program ini telah ditangguhkan beberapa kali kerana melayani Pilihanraya Kecil banyak kali. Beberapa lokasi di Perak, Pahang dipilih, namun tidak menjadi. Akhirnya Mersing dipilih sebagai ganti. Ternyata lokasi ini amat sesuai sekali.

Sayangnya, tidak ramai ulamak dapat mengambil bahagian.. Pelbagai alasan dikemukakan. Namun mereka yang hadir rata-rata berpuas-hati. Siapa tidak hadir memang rugi. Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak tidak pelik dengan bilangan kehadiran. Ulamak lazimnya sentiasa sibuk. Katanya kuliah dan ceramah yang telah dijadualkan menjadikan mereka berhalangan untuk hadir.

Penulis tertarik dengan salah satu kuliah subuh. Mesejnya jelas. Di antara isinya, ialah ulamak PAS kadang-kadang ketinggalan berbanding ahli politik. Ada ulamak yang sebenarnya tidak beramal seperti yang selayaknya!

Jika sekadar solat, puasa dan haji,,, orang lain pun buat juga. Hatta orang UMNO pun buat sama. Amal islami seperti bermuamalah dengan masyarakat seperti ziarah, meladeni rakyat marhaen, menjengah orang sakit, kurang atau lambat dibuat. Sebaliknya, ahli politik pula buat dengan kerap dan cepat. Uamak sekadar menghadap orang di masjid surau sahaja.

Penampilan yang kurang ini menyebabkan rakyat lebih terpesona dengan ahli politik yang menonjol dan ditonjolkan.

Apa yang diungkapkan itu membuat penulis termenung panjang juga. Betapa tidak. Para ulamak yang hadir di Endau ini tidak disedari oleh masyarakat. Mereka juga tidak mengambil peluang membuat pengisian di masjid surau atau membuat aktiviti yang melibatkan masyarakat tempatan.

Selain tidak ada pandu arah ke resort, kain rentang sambutan dan kibaran bendera juga tidak kelihatan. Adakah memang disengajakan atau tidak sempat dirancangkan, penulis tidak pasti.

Jadi siapakah yang rugi?

No comments:

Post a Comment