Wednesday, December 21, 2011

Pemimpin Pas Bertelagah Patut Masuk Ke Dalam Tong Dram

Oleh Mohd Sayuti Omar

PERNYATAAN Nasharudin Mat Isa bahawa beliau tidak mempunyai niat sebesar zaharah pun untuk meninggalkan Pas hendaklah diterima dengan penuh keikhlasan oleh semua ahli dan penyokong Pas. Hendaknya pernyataan itu bukan saja menjawab tanggapan Mustapa Ali kepada Nasharudin bahawa bekas timbalan presiden Pas itu terperangkap dalam jerat Umno, tetapi pernyataan untuk semua orang juga.


Nasharudin dalam kenyataan akhbar bagi menjawab tanggapan Mustapa Ali berkata dia tetap bersama Pas untuk menyampaikan risalah Islam. Rasanya semua orang lega penjelasan Nasharudin itu. Sebenarnya bila Nasharudin membuat kenyataan berasingan dengan Hasan Ali berhubung kemelut dan tuduh menuduh yang berlaku sekarang ini, menunjukkan bekas setiausaha agung Pas di era Mohd Fadzil Nor (Allahyarham) itu masih sayangkan Pas.

Mana-mana pemimpin Pas yang terbuku hati dengan sikap Nasharudin sebelum ini kerana beliau tidak menghadiri mesyuarat dan menerima perlantikan ketua lujnah antarabangsa hendaklah terima seadanya dan janganlah membuat pelbagai tuduhan lain lagi.

Anggapan ketidakhadiran Nasharudin pada mesyuarat jawatankuasa agung Pas itu sebagai satu keterkejutan beliau kerana kalah dalam perlawanan yang dijangka akan mudah dimenang olehnya.

Tentulah sebagai pemimpin muda yang sebelum ini menang menjulang, kemudian kalah dihina, merasa terkejut monyet bila tewas dalam perlawanan apa lagi lawannya orang yang dianggap canggung dengan perjuangan Pas yang berlandaskan Islam. Silap tanggap Nasharudin dan juga para penasihatnya telah meletakkan Nasharudin dalam keadaan serba salah. Nasharudin dalam hal ini kurang faham mengenai sepak terang politik. Di dalam politik sering saya katakan orang bodoh memerintah orang cerdik, begitu juga dalam konteks politik Pas sebab Pas juga menerima sistem yang sama dengan Umno.

Dengan pernyataan Nasharudin itu juga selepas ini jangan ada sesiapa yang 'cepelak' mulut lagi. Yang nyatanya Nasharudin masih ahli Pas dan setia dengan Pas. Pengakuan itu anggaplah bai'ah beliau. Dalam konteks yang berlaku sekarang ini tidak boleh menyamakan sikap, pendirian dan pembelaan diri Hasan Ali adalah sama dengan dirinya. Nasharudin lebih bersikap tawakus dan merendah diri dan jangan pakejkan Nasharudin dengan Hasan Ali walaupun mereka berkawan baik.

Apabila beliau menjawab terhadap tohmahan ke atas Mustapa Ali itu anggaplah itu adalah hak asasinya. Adalah tidak elok kalau dalam keadaan sekarang di mana Pas sedia untuk mengganti Umno tiba-tiba wujud kecelaruan dalam Pas. Pas dalam hal ini harus malu kepada DAP. Ironisnya apabila PKR selesai bertetak sesama sendiri Pas pula hendak 'berkelewang' sesama sendiri. Aduh... sakitnya.

Kepada Nasharudin secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kerana masih tetap dapat mengeluarkan kenyataan yang lunak, sedarhana dan tetap menggambarkan seorang pemimpin dari jemaah Islam. Semoga beliau akan istiqamah dan tenang menghadapi apa-apa juga celaan dan ingatlah sabar itu separuh daripada iman. Kekuatan dan keulitan seseorang pejuang ialah apabila ia dapat menghadapi tribulasi ke atas dirinya oleh kawan sendiri dan bukan musuh.

Apa yang akan berlaku selepas ini jangan dibuat spekulasi yang sehinggakan akan dieksploitasikan oleh musuh. Pengakhiran babak yang berlaku dalam Pas kini hendaklah ditunggu bagaimana pengakhirannya pada saat dewan dibubar nanti. Saya yakin emosi orang-orang Pas termasuk yang bertelagah akan berubah bila parlimen dibubarkan.

Sebaik-baik untuk menenangkan kemelut yang berlaku sekarang ini, Pas Bachok di mana Nasharudin menjadi ahli Parlimen di situ patut mengambil inisiatif melegakan keadaan membuat pernyataan mereka masih mahukan Nasharudin mewakili mereka. Saya percaya kalau ada sikap dan sifat berkorban seperti ini segalanya akan dapat diatasi. Tentu ramai orang Kelantan yang tidak setuju dengan cadangan itu, tetapi bagi saya itulah sebaik- baiknya kalau kita ikhlas dan jujur hendak mengatasi masalah yang berlaku.

Apakah Pas Bachok mampu dan sanggup berbuat demikian. Sekali saya katakan hanya orang berjiwa besar dan berjiwa hamba kepada perjuangan sahaja boleh melakukan demikian. Bagi saya tidak ada sebab untuk Pas Bachok atau Pas Kelantan mahu menukarkan kerusi Bachok kepada orang lain. Saya tetap berkeyakinan dalam keadaan Awang Adek sedang diputar isu SPRM, Nasharudin mampu mengatasinya, dengan syarat Nasharudin akan terus berlunak selepas ini. Nasharudin juga perlu kembali kepada pangkuan para sahabat dan tidak menyisihkan diri kerana berbuat begitu menyebabkan syaitan banyak akan mencelah.

Adapun sdr Hasan Ali yang saya lihat sudah terlebih syok untuk mengadakan sidang akhbar sudah agak terlajak jauh. Betul yang tergelecah dari ril perjuangan ialah Pas, tetapi beliau dalam hendak membetulkan Pas itu terlajak jauh kerana lebih lajak dari laju. Hasan juga harus membuang sifat mazmumah yang merasakan dia hebat, bijak dan kaya dengan idea politik.

Sepatah sahaja saya nak kata di sini kalau Hasan ikhlas dan jujur hendak perbaiki Pas dengan keadaan yang ada hari ini dia harus tahu teknik yang betul untuk membaikinya.

Saya lihat hari ini - merujuk kepada isu Hasan, Saari Sungib dan Mustapa Ali itu Pas sebenarnya kemek di bahagian luar sahaja bukan dari bahagian dalam. Kalau ibarat dram ia kemek di luar. Jadi kalau ia kemek di luar cara membaikinya ialah masuk ke dalam dram dan ketuk dari dalam. Seberapa kuat nak ketuk dari dalam nah lakukanlan kerana ia tidak akan membingitkan ahli di luar.

Dengan apa yang Hasan buat mengetuk dram kemek dari luar ia tidak boleh menyempurnakan keadaan tetapi menambahkan lagi kekemekan dram berkenaan, dan yang 'rewelnya' juga ia menganggu ketenteraman orang lain.

Berdoalah semoga selepas ini kita semua insaf, tidak saling berbalas tembak lagi. Janganlah memberi modal kepada media penjilat buntut. Lepas ini jangan ada lagi kenyataan akhbar dari mana-mana pihak. Khabarnya besok setiausaha agung akan membuat kenyataan akhbar, elok berhentilah kalau kenyataan itu untuk membalas kenyataan Hasan, melainkan kalau untuk mendamaikan keadaan.

Dalam hal ini juga saya tertanya-tanya ke mana perginya sang presiden? Apakah kemelut yang berlaku kini tidak terlantas di telinganya. Kenapalah presiden diam membisu seolah apa yang berlaku tidak ada kena mengena dengan urusan dan tanggungjawabnya. Saya tenguk sikap presiden dalam hal ini tak ubah seperti badak tuli yang tidur tepi lebuhraya!

Sepatut sebagai presiden beliau harus bersuara dan memanggil pihak bertelagah duduk semeja dan selesaikan kekusutan yang berlaku. Mungkin Abdul Hadi juga perlu bermahasabah sejauh mana relevansi beliau menjadi seorang presiden parti politik yang sudah mulai hilang punca untuk berdamai dan kabur untuk mencari hadith-hadith persaudaraan.

Ingat pesan saya, kalau hendak baiki dram yang kemek di luar masuk ke dalam dan ketuk dari dalam. Bukan saja Mustapa, Hasan, Saari dan yang lain-lain Abdul Hadi juga kena masuk dan ketuklah dari dalam. Berdegung berdegang berdegung berdegang... tak mengapa. Belum sah tetapi ada berita mengatakan Ahmad Maslan tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya akan datang....

Mohd Sayuti Omar

No comments:

Post a Comment