Sunday, September 30, 2012

Belanjawan baik berikan hak kepada yang berhak

Sejak daripada pembentangan belanjawan 2013 pada 28 september yang dibentangkan oleh Datuk Seri Mohd  Najib Tun Haji Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia merangkap sebagai menteri kewangan  di dewan rakyat. Kita dapat melihat pelbagai reaksi yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak, daripada pihak kerajaan sendiri, pembangkang, ahli akademik dan juga rakyat.  Seperi kebiasaan  semua rakyat daripada golongan atasan sehinggalah golongan yang paling bawah akan mengharap sesuatu  yang akan menguntungkan mereka daripada belanjawan kali ini.
Belanjawan 2013 ini akan dibahaskan dengan lebih terperinci lagi di dalam Dewan Rakyat sehinggalah  ianya diluluskan. Sebanyak  RM251.6 bilion akan diperuntukkan untuk tahun 2013 yang mana belanjawan ini merangkumi sebanyak 12 buah kementerian. Semua orang akan menilai belanjawan  kali ini melalui sudut yang berbeza, pelbagai persoalan juga  akan timbul daripada semua lapisan masyarakat seperti,  petani, polis, tentera, kakitanga swasta, kakitangan kerajaan  dan tidak terlepas juga mahasiswa.


Jika dilihat pada tahun 2012 kerajaan telah terlebih belanja sebanyak RM9.6 bilion yang mana kerajaan mengalami defisit sebanyak -5.3 peratus. Kerajaan telah berbelanja defisit iaitu berbelanja melebihi pendapatan dalam tempoh masa yang agak lama iaitu selama 15 tahun.

Situasi ini adalah satu masalah kepada kerajaan dan sekiranya defisit berterusan akan menyebabkan peningkatan hutang kerajaan dan menghadkan ruang lingkup dasar fiscal sebagai alat melawan aliran menurun dalam ekonomi.

Pada belanjawan kali ini kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan defisit sebanyak 4 peratus, tetapi melihat kepada keseluruhan belanjawan hanya beberapa perkara sahaja yang berfokuskan kepada pengurangan seperti  kerajaan bersetuju  mengurangkan subsidi gula sebanyak RM0.20.  Namun, langkah yang diambil ini tidaklah menampakkan kesungguhan kerajaan untuk menangani defisit ini.

Sesetengah pihak mendakwa belanjawan kali ini ialah belanjawan untuk pilihanraya yang mana kerajaan akan menggunakan belanjawan ini untuk menarik undi rakyat kepada mereka. Hal ini berdasarkan kepada banyaknya pemberian kerajaan secara ‘one off’ kepada rakyat seperti pemberian bantuan kepada individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas adalah sebanyak  250 ringgit. Persoalannya ialah kenapa umur 21 tahun? Hal ini tidak lain adalah kerana umur 21 tahun ini adalah umur yang layak untuk mengundi.

Kerajaan juga bersetuju untuk memberi bonus satu setengah bulan kepada kakitangan kerajaan mengikut kepada kadar gaji mereka. Bayaran pertama telah pun dibuat. Sebagai contoh, dalam pengiraan setengah bulan ,sekiranya seseorang itu bergaji 10 000 ringgit, maka mereka akan mendapat bonus sebanyak 5000 ringgit dan pekerja yang bergaji 3000 ringgit akan mendapat bonus sebanyak 1500 ringgit. Keadaan ini tidak dapat menaikkan taraf hidup rakyat secara keseluruhannya, hal ini akan melebarkan  lagi jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin.

Sekiranya kerajaan dapat menyelaraskan pemberian bonus misalnya 1500 ringgit kepada semua kakitangan kerajaan ia akan secara tidak langsung dapat mengurangkan  masalah ini. Hal ini kerana orang kaya dan miskin tetap membayar kadar cukai yang sama rata.

Sekiranya melihat kepada pendapatan kerajaan sebenarnya cukup untuk menampung segala perbelanjaan dalam negara. Petronas merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan negara iaitu sebanyak 21 peratus daripada pendapatan negara dengan nilainya sebanyak 22 bilion ringgit. Pendapatan ini tidak termasuk lagi daripada sektor lain seperti pelancongan, perikanan, perlombongan dan lain-lain.  Walaubagaimanapun pada hemat saya, kebocoran yang berlaku dalam kerajaan sangat serius.

Menurut ‘Global Financial Integrity’ pada Januari 2011 telah mendedahkan RM 1.08 trilion (USD350 bilion) telah diseludup ke luar negara dari Malaysia dalam tempoh 2000 sehingga 2009. Sekiranya dana ini tidak dilarikan ke ‘secretive jurisdiction’ Malaysia tidak perlu berhutang untuk membiayai pembangunan ekonomi.

Kita tidak menafikan pemberian subsidi padi kepada para petani itu adalah pelaburan yang sangat baik kepada ekonomi negara di samping meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

Belanjawan yang dibuat setiap tahun ini ada kesan baik dan buruknya, apa yang membimbangkan ialah pelaksanaannya sehingga kadang-kadang terpaksa menambah belanjawan baru untuk menampung perbelanjaan yang lain.

إِنَّاللّهَيَأْمُرُبِالْعَدْلِوَالإِحْسَانِوَإِيتَاءِذِيالْقُرْبَىوَيَنْهَىعَنِالْفَحْشَاءِوَالْمُنكَرِوَالْبَغْيِيَعِظُكُمْلَعَلَّكُمْتَذَكَّرُونَ

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan, serta memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”. (An-Nahl: 90)

Belanjawan yang baik ialah belanjawan yang adil dan keadilan itu bererti berikan hak kepada yang berhak.

Penulis ialah Bendahari Kehormat Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

No comments:

Post a Comment