Oleh Deth Mustaine
Tahukah anda mengapa sekarang ini universiti-universiti swasta makin bersepah macam cendawan tumbuh? Ada yang khusus dalam bidang perubatan, multimedia, sains, pertanian, seni dan ada yang menawarkan pelbagai bidang di bawah satu kolej atau universiti. Rumah kedai pula banyak yang convert jadi dewan kuliah.
Ini kerana adanya skim PTPTN dan pengeluaran wang KWSP untuk kegunaan pendidikan. PTPTN adalah lubuk duit bagi universiti dan kolej swasta dimana mereka boleh menjana sejumlah wang yang besar dalam masa singkat dari setiap pelajar walaupun mereka belum lagi menamatkan pengajian. Ini bermakna, semua yuran dan kos pengajian telahpun dibayar oleh PTPTN walaupun pelajar itu belum lagi menghabiskan tempoh pengajian. Setiap kali pengambilan pelajar baru bermakna memperoleh wang. Pelajar dipaksa berhutang berpuluh ribu ringgit demi segulung diploma atau ijazah.
Kalau dulu-dulu, lepas habis belajar, kemudian dapat kerja. Tiba akhir bulan bukan main seronok sebab pertama kali pegang duit ‘banyak’ dapat gaji pertama. Masa tu dah mula berangan-angan nak beli itu ini. Masa itu langsung tak fikir lagi masalah nak bayar hutang. Mana taknya, masa belajar semua guna duit sendiri (maksud aku duit mak bapak la). Tamat pengajian, semua settle. Tak ada apa hutang nak bayar (kecuali hutang budi balas jasa mak bapak bila dah bekerja)
Hari ini, sebaik dapat gaji pertama, terpaksa fikir macam mana nak bayar hutang PTPTN. Bukan sedikit, berpuluh ribu tu! Bila masa nak beli kereta? Bila masa nak beli rumah? Sampai bila dapat kumpul duit nak kawin? Gaji baru bekerja bukannya banyak. Jangan fikir nak beli macam-macam, hutang tu kena settle dulu. Kalau tidak hidup susah. Kena senarai hitam, tak boleh keluar negara. Nak pergi haji pun tak boleh. Nak bayar balik hutang PTPTN bukan sekejap, makan masa bertahun-tahun.
Ini fesyen terbaru rakyat Malaysia generasi masa kini. Generasi dulu tak pening-pening macam ni.
Dulu, kalau dah bekerja, jarang dengar orang sambung belajar. Kalau yang nak sambung juga, kena berhenti kerja. Nak berhenti kerja kena fikir 10 kali. Kalau tak nak berhenti, kena ambil cuti tak bergaji. Sayang nak tinggalkan pekerjaan yang memberikan pendapatan setiap bulan semata-mata nak sambung pengajian. Hari ini tak ada masalah kalau nak belajar ambil bekerja. Dah banyak universiti dan kolej yang berkonsep terbuka – belajar sambil bekerja. Tiada had umur untuk sambung pengajian. Dah ada cucu pun masih boleh dapat ijazah. Dengan syarat ada duit. Kalau dari golongan tak berapa ada, guna duit KWSP. Tak ada masalah. Kalau KWSP dah habis diguna, boleh pinjam bank. Berapa lama nak bayar balik? Umur dah makin lanjut, kubur pun dah kata mari. Kalau tak sanggup nak berhutang lagi, sorry….jangan mimpi. Baik lupakan saja hasrat tu, jaga cucu kat rumah, ibadat sepanjang masa buat bekalan, lagi baik.
Diberikan jadual pengajian yang fleksibel, malah masa kuliah boleh diatur ikut keperluan individu agar tak mengganggu masa bekerja. Mereka ini digula-gulakan dengan pelbagai strategi pengiklanan kononnya boleh memperbaiki kehidupan, masa depan yang lebih cerah dan cemerlang. Contohnya, sambung pengajian untuk cipta peluang memajukan diri untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik dengan gaji lumayan dan sebagainya. Akhirnya, wang simpanan KWSP mereka jadi sasaran. Golongan ini dibenar guna wang KWSP untuk tujuan pendidikan. Wang yang disimpan bertahun-tahun malah berpuluh tahun menyusut begitu pantas demi ‘mencari ilmu’ dan mencari kehidupan yang lebih baik dari sekarang.
Kolej dan universiti swasta yang untung. Mereka berjaya mendapatkan ‘hak’ mengeluarkan wang KWSP anda yang tersimpan lama tanpa dapat disentuh oleh anda selama ini walau sedikit (kecuali nak beli rumah)
Kos untuk pengajian diploma hari ini sekurang-kurangnya RM18,000 dan belum dikira pengajian Ijazah, Masters, PhD dan sebagainya yang memakan kos 20 hingga 50 ribu. Pendidikan swasta bermaksud perniagaan. Semua institusi yang mengenakan yuran pengajian itu sebenarnya menjalankan perniagaan. Mereka bukan badan welfare atau menjalankan kerja-kerja amal. TIADA PENIAGA YANG MAHU RUGI. Perkara utama yang mula-mula dipertimbangkan ialah tentang keuntungan. Jika tiada keuntungan, bagaimana mereka mahu beroperasi?
Beginilah cara negara ini mencapai kemajuan dengan tumbuhnya institusi pengajian tinggi yang kononnya menaikkan taraf pendidikan rakyat ke tahap yang lebih tinggi padahal menaikkan hutang dan memufliskan rakyat yang menabung sejak sekian lama. Tabung yang dikumpul sejak bertahun-tahun itu akhirnya direbut oleh orang lain.
Kewujudan institusi pengajian tinggi swasta yang semakin berleluasa adalah petanda buruk masa depan rakyat Malaysia. Perkara ini harus dikawal. Apa yang patut diberi perhatian ialah prestasi dan ke mana hala tuju pelajar selepas menamatkan pengajian. Adakah mereka ini mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajari atau makin ramai yang jadi penganggur terhormat.
Bajet 2013 yang dibentangkan Jumaat lepas menawarkan diskaun 20% kepada mereka yang nak bayar full-settlement. Aku nak tanya siapa yang mampu bayar hutang berpuluh ribu sekaligus? Sebenarnya motif di sebalik tawaran ini ialah menggalakkan pelajar meminjam wang dari bank untuk selesaikan hutang PTPTN, Ini kesempatan terbaik untuk pihak bank memperkenalkan skim atau produk terbaru.
No comments:
Post a Comment