27 September 2012
YAN - Tujuh rumah masing-masing dua di Kampung Sungai Bujur dan lima buah di Kampung Teluk Tawar, Sungai Limau dekat sini, rosak teruk berikutan kejadian ribut petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu yang disusuli angin kencang beserta hujan lebat menerbangkan bahagian bumbung rumah tujuh keluarga terbabit, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Mangsa Mohamad Ali Lebai Hasan, 52, berkata ketika kejadian dia sedang menidurkan cucu lelakinya berusia tujuh bulan dalam buaian dan tiba-tiba terdengar bunyi angin kencang.
"Kali pertama tiupan angin tiada apa-apa. Bila angin kuat kali kedua, bumbung rumah saya diterbangkan angin. Saya bersama cucu dan ahli keluarga yang berada dalam rumah terus bergegas keluar.
"Saya bersyukur kerana semua ahli keluarga tidak mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut," katanya kepada pemberita hari ini.
Mohamad Ali yang bekerja sebagai petani, berkata dia mengalami kerugian lebih RM5,000 berikutan kerosakan pada keseluruhan bumbung rumahnya termasuk beberapa perabot yang terkena hujan.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang meninjau mangsa ribut itu hari ini, memberi sumbangan awal daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka.
Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyalurkan bantuan susulan setelah membuat bancian berhubung kerugian yang dialami kesemua keluarga terbabit. - Bernama
No comments:
Post a Comment