Pantau 'port' maksiat daripada berleluasa
Keratan Sinar Harian di ruangan interaktif, 12 september lalu.
 
JITRA - Gejala maksiat yang sering diperkatakan umum bukan perkara baru di Kubang Pasu, di sini, tetapi pembanterasan terhadap perkara itu sering dilakukan.

Memetik aduan rakyat di ruangan interaktif akhbar Sinar Harian pada 12 September lalu, aduan bertajuk memohon banteras maksiat daripada Anak Derang.

Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Faisol Omar, berkata, pihaknya sentiasa melakukan rondaan dari semasa ke semasa di sekitar tasik golf, Kubang Pasu.

Menurutnya, memandangkan kawasan itu merupakan sebuah tempat rekreasi yang menjadi tumpuan orang ramai, pihaknya sentiasa memantau keadaan bagi membanteras kegiatan tidak bermoral itu.

“Kebiasaannya, mereka melakukan perbuatan sumbang itu pada sebelah petang, yang melibatkan pasangan remaja.


“Selain melalui rondaan, pembanterasan maksiat itu dilakukan melalui aduan penduduk yang prihatin terhadap isu tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Syeikh Faisol berkata, hasil usaha yang dilakukan pegawainya, beberapa remaja yang melakukan kegiatan tidak sopan itu berjaya ditangkap.

“Oleh itu, dalam memastikan perkara keji itu dibanteras sepenuhnya, kami mengalu-alukan masyarakat sekitar segera membuat aduan sekiranya melihat gejala maksiat di sekitar kawasan berkenaan.

“Namun, maklumat mestilah tepat bagi mengelakkan perkara sebaliknya berlaku,” katanya.