ALOR SETAR – Sudah tiba masanya bekas pemain bola sepak kebangsaan dan negeri membabitkan diri secara serius membantu kepimpinan persatuan bola sepak negeri dari sudut idea dan pengalaman bagi memantapkan pasukan semasa pada hari ini.
Ahli Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Nasional yang juga Pengarah Pembangunan Bola Sepak Kedah, Dato’ Ahmad Shafie mencadangkan kepada bekas pemain Kedah untuk mewujudkan persatuan seumpama itu berikutan masih belum ditubuhkan di negara ini.
Menurutnya, pengalaman yang dimiliki oleh bekas pemain bola sepak mampu digunakan untuk memperkasakan pembangunan bola sepak pada hari ini.
“Di peringkat negeri Kedah sendiri, dengan wujudnya persatuan bekas pemain bola sepak Kedah, ahli persatuan secara tidak langsung dapat membantu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebagai ahli gabungan dengan mengutarakan cadangan dan idea kerana mereka mempunyai pengalaman sebagai pemain sebelum ini. Selain itu mereka juga boleh terlibat sebagai ahli jawatankuasa persatuan selepas ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis Jamuan Kesyukuran dan Perjumpaan Bekas Pemain Kedah Kali Kedua di Dewan Seri Mentaloon, di sini.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kedah, YB. Johari Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang.
Ahmad merasakan sudah tiba masanya untuk bekas-bekas pemain terlibat secara langsung di dalam pengurusan persatuan bola sepak dan mengambil contoh Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) sendiri yang rata-rata dibarisi oleh bekas pemain.
“Keakraban yang ditunjukkan oleh setiap belas pemain Kedah wajar diangkat ke tahap yang lebih tinggi seperti penubuhan persatuan,” katanya.
Tambahnya, sekiranya bekas-bekas pemain Kedah sebulat suara untuk mewujudkan dan bernaung di bawah sebuah persatuan, ia bakal menjadi persatuan pertama bekas pemain bola sepak diwujudkan di negara ini.
“Secara peribadi, saya suka sekiranya dapat mewujudkan persatuan bekas pemain kerana bukan sahaja bermanfaat tetapi pendekatannya juga selepas ini akan lebih berkesan dan bersatu,” katanya.
Beliau memberitahu, di Kedah sendiri, banyak bekas-bekas pemain bola sepak sejak dari zaman 50-an dan sehingga kini, mereka masih ada lagi.
No comments:
Post a Comment