Saturday, September 29, 2012

Bajet "Bunga Telor" - Najib Bakal Di"Mubarakkan"

Bajet 2013, bajet ‘bunga telor’


Pilihanraya kali ini sangat mahal harganya. Mahal sungguh untuk pihak pemerintah untuk mempertahankan kuasa yang semakin menipis itu. Semalam hampir dua jam Perdana Menteri merangkap Menteri Wanita membentangkan bajet 2013 dan begitu ramai yang memanggil saya untuk minum kopi dan memberi komen tentang pembentangan bajet itu.

Saya telah membuat kenduri untuk dua orang anak saya berkahwin dan apa yang saya nampak bajet kali ini banyak memberikan tumpuan kepada ‘handouts’ untuk pilihanraya dan ianya tidak lebih dan tidak kurang seperti pemberian ‘door gifts’ kepada tetamu yang datang untuk kenduri kendara kahwin anak-anak kita.

Salah seorang dari rakan saya yang berkhidmat di salah satu jabatan kerajaan memberitahu saya seminggu yang lepas yang bajet kali ini adalah bajet ‘bunga telor’. Apabila saya bertanya apa maksud beliau, dengan tegas beliau mengatakan yang bajet kali ini ialah bajet yang menumpukan untuk membeli hati dan jiwa rakyat. BR1M sana BR1M sini dan semuanya itu bukannya memberikan apa-apa faedah jangka panjang tetapi hanya sekadar untuk membeli perasaan rakyat untuk pilihanraya sahaja.

Pemberian ‘bunga telor’ ini hanyalah untuk digunakan buat sementara waktu sahaja iaitu semasa pilihanraya. Najib mengharapkan rasa suka itu akan masih terasa berada di dalam hati pengundi apabila pilihanraya di adakan. Apa yang berlaku selepas itu mereka (BN) tidak peduli kerana jika mereka mendapat mandat lagi BN ada lima tahun lagi untuk mengelentong rakyat sesuka hati mereka.

Najib membentangkan kepada kita semua sebanyak 80 peratus dari belajawan 2013 ini adalah belajawan menguirus. Hanya 20 peratus sahaja dari jumlah itu untuk membina pembangunan ekonomi negara. Nampak dengan jelas yang kerajaan hanya menumpukan perbelanjaan untuk menampung perkhidmatan awam dan perbelanjaan mengurus yang lain.

Kali ini benar-benar bajet membeli undi dan bajet bunga telor. Bunga telor selalunya nya kita dapati dari seseorang apabila dia menjemput menghadiri majlis perkahwinan yang hanya datang tiga atu empat tahun sekali. Tetapi bunga telor itu tidak dapat memberi faedah jangka panjang pada penerimanya. Ia hanya setakat kenang-kenangan sahaja. Pembayaran ‘one-offs’ seperti ini tidak akan membawa apa yang di cita-citakan rakyat untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Ia akan hanya tinggal slogan dan slogan terus-menerus.

Tetapi apa yang kita boleh rumuskan pemberian ‘gula-gula’ ini sangat mahal harganya. Lain-lain perkataan rakyat terpaksa menanggung harga yang begitu tinggi untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya itu.

Itulah sebabnya saya berfikir yang bajet anjuran Pakatan Rakyat itu lebih realistik jika kita memilih untuk mengekalkan negara kita sebagai negara yang maju pada masa yang akan datang serta memberikan keringanan kepada kehidupan rakyat biasa.

Rakyat akan lebih terasa kebaikannya jika hutang PTPTN serta harga kereta yang murah dirasai oleh rakyat kerana ini lebih memberikan munafaat kepada rakyat yang ramai. Mendapat BRIM sebanyak rm500 itu tidak dapat menampung kos penghidupan yang tinggi yang di alami oleh rakyat. Rakyat mahukan joran bukannya mahukan ikan yang cepat busuk itu.

Pihak BN boleh menuduh PR mengemukakan bajet bayangan yang tidak boleh dilaksanakan dan akan membawa negara kearah kebangkrapan tetapi dalam politik dan siasah mengharap itu adalah satu perkara yang biasa dan dirasai oleh setiap rakyat di mana-mana sekali pun.

Jika PR tidak berjaya melaksanakan janji-janjinya rakyat mempunyai kuasa untuk menurunkan mereka kembali di dalam pilihanraya yang berikutnya. Apabila sampai ke taraf itu maka barulah benar-benar rakyat yang mempunyai kuasa menentu siapa yang perlu di berikan mandat dan bukannya rakyat dipaksa oleh BN untuk menyambung mandat bagi mereka melakukan segala noda dan dosa terhadap politik dan ekonmi negara dan rakyat kita.

Rakyat tidak perlu takut untuk memberikan keyakinan kepada PR kerana jika PR mendapat mandat ke Putrajaya ia hanyalah TOL (temporary occupancy license) bukannya mempunyai hak untuk mendudukinya secara kekal. Itulah kesilapan BN selama ini kerana mereka menganggap Putrajaya itu adalah tempat yang boleh diduduki secara kekal dan boleh melakukan apa sahaja di Putrajaya itu.

Bagi saya bajet kali ini ibarat ‘door gift’ semata-mata, tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Maklumlah pilihanraya akan sampai tidak lama lagi.

Rakyat tetap menjadi penentu dalam pilihanraya kali ini. Rakyat boleh memilih BN, tempat dan sumber rasuah dan salah gunakuasa yang besar atau memilih pihak yang serius untuk membetulkan dan menyelamatkan negara untuk generasi kita yang akan datang.

Jika BN masih mendapat mandat percayalah kita akan menyaksikan rasuah akan berlaku lebih dahsyat lagi pada masa-masa yang akan datang. Kenapa begitu? Jawapannya mudah. BN akan percaya yang rakyat boleh ditipu setiap pilihanraya seterusnya sampai bila-bila. BN akan memperkuatkan lagi kepercayaannya rakyat, khususnya orang Melayu, akan memberikan sokongan kepada mereka walaupun mereka melakukan rasuah secara terang-terangan.

Mereka akan lebih percaya yang rakyat terutamanya orang Melayu boleh melupakan dosa dan noda mereka dengan memberikan mereka ‘gula-gula’ apabila pilihanraya mendatang. Apabila sampai ketahap itu tidak akan dapat lagi sesiapa untuk berbuat apa-apa.

Negara hancur dan terus hancur dan tidak siapa lagi boleh memperbaikinya lagi. — aspanaliasnet

No comments:

Post a Comment