Saturday, September 29, 2012

Pendang - 55 mangsa banjir dipindahkan

Wartawan Sinar Harian
29 September 2012
55 mangsa banjir dipindahkan
Anggota JPAM membawa seorang daripada mangsa ke pusat pemindahan.
55 mangsa banjir dipindahkan
Seorang warga emas dibantu anggota JPAM untuk turun daripada kenderaan sebaik saja sampai ke pusat pemindahan.
 
PENDANG - Seramai 55 mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Kompleks Rakan Sukan Pendang dekat Tanah Merah sejak petang kelmarin berikutan keadaan paras banjir yang semakin meningkat.

Difahamkan pusat pemindahan itu dibuka kira-kira jam 6 petang kelmarin dan pada mulanya menempatkan 23 mangsa melibatkan enam keluarga dari Kampung Hampar Kanan, Pondok Hampar dan Banggol Kambing.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang, Azhar Ismail berkata, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan pada jam 3 petang semalam adalah seramai 55 mangsa melibatkan 16 keluarga.

Menurutnya, semua mangsa yang dipindahkan adalah dari Kampung Alor Punti, Sukamari, Banggol Kambing, Batu Hampar, Banggol Besi, Hampar Kanan dan Pondok Hampar.

Mangsa banjir yang akan dipindahkan dijangka akan bertambah berikutan keadaan banjir dilihat bertambah buruk setelah paras air meningkat.

“Bacaan paras air Sungai Pendang semakin meningkat kepada 3 meter daripada bacaan semalam  2.8 meter dan arus air terlalu laju dan di amna ia membahayakan penduduk yang tidak lagi berpindah.

“JKM akan memastikan semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di sini berada dalam keadaan selesa di mana kami menyediakan keperluan seperti makan dan minum, pakaian, kelengkapan tidur  serta jabatan kesihatan turut menyediakan rawatan  kesihatan dan bekalan ubat kepada mangsa yang kurang sihat,” katanya kepada Sinar Harian.

Azhar berkata, JKM  telah membekukan cuti semua kakitangannya dengan membahagikan tugas kepada tiga syif serta menubuhkan jawatankuasa memasak, keselamatan, kebersihan dan bahagian informasi.

Antara agensi yang turut terlibat adalah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pejabat daerah, jabatan kesihatan, bomba dan beberapa lagi agensi lain.

Katanya, bekalan air terpaksa dihantar oleh pihak Syarikat Bekalan Air Darul Aman (Sada) memandangkan pusat pemindahan itu mengalami masalah bekalan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa agar dapat mengawasi anak-anak mereka agar tidak bermain air banjir kerana keadaan arus air yang laju dan membahayakan.

No comments:

Post a Comment