Tuesday, September 25, 2012

Promosi untuk Memorial Tunku Abdul Rahman Putra ditingkatkan

ALOR SETAR -  Lembaga Muzium Negeri Kedah akan mempergiatkan promosi bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, di sini yang kurang mendapat sambutan sejak dibuka 11 tahun lalu.

Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri, memorial itu ditubuhkan pada tahun 2001 sebagai mengenang jasa dan pengorbanan besar yang dicurahkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman kepada negara ini.

Bagaimanapun, katanya, ia kurang dikunjungi berbanding muzium lain di bawah kendalian lembaga itu dipercayai kerana masih ramai yang tidak mengetahui kewujudannya selain kekurangan promosi.


“Hanya 10,000 orang mengunjungi memorial ini sepanjang sembilan bulan pada tahun ini. Jumlah itu masih terlalu rendah dan kami sedang berusaha menarik lebih ramai pengunjung termasuk merancang mengadakan pelbagai aktiviti serta acara yang berpusat di situ,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Muzium Negeri Kedah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, di sini.

Menurutnya, penubuhan memorial berkenaan memudahkan rakyat terutama di negeri ini mengenali dengan lebih dekat sejarah ketokohan Tunku Abdul Rahman yang merupakan bapa kemerdekaan dan negarawan ulung negara.

Tambahnya, pameran di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk karier, pendidikan dan perkahwinan, aktiviti dan kegiatan sosial, perjuangan menuntut kemerdekaan serta pembinaan bangsa dan negara.

“Ia merupakan pameran berbentuk ilmiah dan pendidikan yang sesuai dilawati semua lapisan golongan terutama pelajar,” jelasnya.

Sementara itu, Suhaidi memberitahu, pihaknya yakin sasaran 800,000 pengunjung melawat muzium-muzium di bawah kendaliannya tahun ini mampu dicapai menerusi promosi serta pelbagai program yang dirancang.

No comments:

Post a Comment