Saturday, September 22, 2012

Mai baca tulisan Fathul bari yang senada dengan Ngeh..amacam @Khairykj ???

Minda: Menjawab fitnah filem hina Nabi
Oleh Fathul Bari Mat Jahya

Fathul Bari Mat JahayaPENGHINAAN terhadap manusia pilihan bernama Muhammad bin Abdullah s.a.w bukan perkara baru dan asing dalam sejarah ketamadunan manusia. Dalam lipatan sejarah, ini bukan kali pertama dan kita percaya ini juga bukan kali terakhir.

Ketika hayatnya baginda dihina dan dicerca dengan segala macam tuduhan seperti dituduh ahli sihir, gila dan pelbagai lagi.

Demikian juga cemuhan, tuduhan dan segala macam label ini turut tempias kepada mereka yang teguh berpegang dengan prinsip Nabi dan sahabat. Mereka dituduh dan dihina sebagai pendusta, jumud, literalis dan sebagainya.

Saya sudah menonton filem yang hangat dibicarakan. Kita kira ini satu penghinaan yang sangat jelas ke atas Islam, ke atas Nabi s.a.w, ke atas al-Quran dan ke atas sahabat Nabi r.a. Sebelum ini pernah ada filem pendek menghina Islam, ada juga karikatur, kemudian ada penulisan dan hal yang jelas menghina Islam.

Mengapa perkara seumpama ini berlaku? Nabi sebutkan di dalam hadis dan menceritakan bagaimana umat Islam ini yang digambarkan seperti makanan yang dilahap oleh orang lapar.

“Hampir saja manusia ini akan diserang oleh golongan kuffar yang membenci Islam sama seperti orang lapar menuju kepada pinggan yang dihidangi dengan makanan. Sahabat Nabi bertanya, ‘Adakah kami pada ketika itu berada dalam kelompok yang kecil sehingga kami diserang sedemikian rupa?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, bahkan kalian ramai jumlahnya, tetapi kalian ibarat buih di lautan. Pada hari itu Allah tanggalkan daripada hati musuh Allah perasaan hormat kepada kalian dan Allah campakkan ke dalam hati kalian penyakit al-wahn.’ Sahabat bertanya, ‘Apakah itu al-wahn?’ Kata Nabi, ‘Cintakan dunia dan takut mati.” (riwayat Imam Abu Dawud)

Maknanya memang betul apa yang Nabi katakan sudah berlaku hari ini, orang bukan Islam membikin filem seperti ini yang menghina Islam, menghina Nabi, menghina umat Islam, menghina al-Quran Karim, menghina sahabat Nabi, jelas Allah cabutkan daripada hati mereka perasaan takut dan hormat kepada orang Islam dan agama Islam.

Reaksi terhadap filem ini menimbulkan keresahan dalam dunia Islam. Impaknya sehingga terbunuh duta Amerika Syarikat ke Libya. Sebelum kita mengulas mengenai bantahan itu, pembunuhan itu sendiri adalah satu tindakan tidak bijak bahkan satu tindakan bertentangan ajaran Islam.

Ini tidak bererti kita menyokong pembikinan filem tersebut. Sekretariat Ilmuwan Malaysia membantah dan mengecam sekeras-kerasnya pembikinan filem ini. Ini pegangan kami dan pegangan seluruh umat Islam. Kita membencinya kerana Allah.

Tetapi adakah bererti kita boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya? Ini yang perlu dikawal oleh umat Islam, bukan bererti apabila kita membenci sesuatu, kita boleh bertindak sewenang-wenangnya. Islam meletakkan had yakni batasan.

Berkenaan demonstrasi dan menunjuk perasaan, pihak kami sudah berulang-kali menyatakan pendirian. Demonstrasi Bersih yang sebelum ini kita katakan ‘haram, haram, haram’ itu, sama saja hukumnya dengan demonstrasi yang lain.

Demonstrasi tidak memberikan apa-apa manfaat kepada umat Islam, sebaliknya memberikan manfaat adalah kita menjawab semula isu ini, mengambil kesempatan yang ada ini untuk menjelaskan kepada dunia mengenai Nabi kita, agama kita, al-Quran dan sahabat Nabi.

Ingat kisah filem pendek ‘Fitna’ di mana impaknya di Amerika berapa ramai orang memeluk Islam, sebab di sana mereka bertindak dengan menyebarkan ajaran Islam. Mereka menyebarkan al-Quran agar orang membacanya.

Bukan bermakna kita tidak boleh membantah, namun hendaklah dengan cara betul dan berhemah. Dalam sebuah hadis Nabi menyebutkan aturan dan tahap dalam merubah sesuatu kemungkaran.

Maksud hadis, “Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemahnya iman.” (riwayat Imam Muslim)

Jadi ini susunan yang Allah berikan. Dengan tangan bukan bererti dengan membunuh. Tetapi kita boleh mengubah kemungkaran itu dengan penulisan atau ucapan contohnya, bukan dengan tunjuk perasaan beramai-ramai. Dengan menunjuk perasaan beramai-ramai, masa kita terbuang, malah kita tidak mampu mengawal emosi dan adab orang yang hadir pada ketika itu, sedangkan Nabi diutuskan untuk sempurnakan akhlak manusia.

Kalau kita tidak mampu mengawal akhlak manusia seperti mana di Dataran Merdeka baru-baru ini, orang sibuk memberi komen mengenai tunjuk punggung, kita memberi komen lebih awal lagi keburukan demonstrasi itu sendiri.

Kalau kita menyekat dan tidak mengizinkan demonstrasi, maka tidak timbul isu sebegini. Alhamdulillah pelajar tersebut meminta maaf dan isunya sudah selesai. Cuma kita menyebut contoh itu sebagai pengajaran.

Antara tindakan rasional dan waras perlu diambil, pertama sekali ialah bersabar dengan apa yang berlaku. Disebut mengenai sabar di dalam al-Quran dan hadis, kalau kita baca terjemahan surah Al-Asr pun sudah cukup. “Saling berwasiat dengan kebenaran dan kesabaran.” Jangan kita bersikap ajalah (gopoh-gapah) kerana sesungguhnya gopoh-gapah itu daripada syaitan.

Kedua, reda dengan apa yang berlaku. Ini ujian Allah ke atas umat Islam. Memang kita tidak reda kepada filem itu, tetapi kita reda bahawa umat Islam hari ini diuji oleh Allah, diuji dan dicuit perasaan mereka. Allah melihat sejauh mana sensitiviti kalian terhadap agama kalian.

Ketiga, kita mengambil tindakan dan usaha. Satu usaha yang boleh dilakukan ialah berdoa kepada Allah. Pada zaman ini umat Islam melihat doa sebagai satu benda yang tidak diyakini. Ini masalahnya. Mereka tidak yakin dengan doa.

Kata Nabi di dalam hadis, perintah berdoa ini sangat banyak. Nabi berdoa siang malam, Nabi beristighfar setiap hari, sehari 100 kali. Kerapnya baginda berdoa dan itu yang perlu kita contohi daripada Nabi.

Selepas berdoa, apa tindakan boleh kita ambil? Demonstrasi sudah jelas tidak boleh. Seterusnya ialah menjawab balik persoalan dan fitnah ditimbulkan. Bagi pihak berkemampuan, ada autoriti dan kapasiti seperti Ikim dan Jakim, usahakan untuk menjawab semula satu per satu secara ilmiah, siarkan dan sebarkan agar semua orang mendapat manfaat daripada tuduhan dan fitnah ke atas Nabi kita, fitnah ke atas al-Quran, sahabat Nabi dan umat Islam itu sendiri.

Kemudian, ambil peluang ini untuk sampaikan Islam kepada orang ramai, apa saja kita tahu mengenai Islam. Kata Nabi: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” (riwayat Imam Al-Bukhari)

Kaki facebook dan twitter, daripada sibuk membongkar keaiban orang, membangkit isu kesalahan orang, elok digantikan dengan twitter ayat al-Quran, hadis Nabi dan cerita mengenai Nabi.

Bagi yang tiada ilmu, apa tindakan mereka? Membantahnya dengan melahirkan perasaan benci. Kata Nabi di dalam hadis mengenai benci, ertinya: “Sekuat-kuat tali ikatan iman adalah cinta sesuatu kerana Allah dan membenci sesuatu kerana Allah.” (riwayat Imam Ath-Thabarani)

No comments:

Post a Comment