Saturday, September 3, 2011

Aduhai Rosmah buat Ucapan Hari Raya mengalahkan PM....!!!

Mesej Aidilfitri: PAS pertikai slot ‘bersejarah’ untuk Rosmah

September 03, 2011

KUALA LUMPUR, 3 Sept — PAS mempertikaikan slot ucapan Aidilfitri istimewa dan berturut-turut untuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi media elektronik sambil menegaskan, perkembangan sedemikian tidak pernah berlaku di Malaysia sebelum ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, “sebelum ini, tidak ada mana-mana isteri Perdana Menteri yang mendapat slotnya sendiri untuk memberikan ucapan sempena Hari Raya.”

“Sebelum ini, hanya Perdana Menteri mendapat slot seperti itu,” kata beliau dipetik Harakahdaily.

Pandangan sedemikian juga diketengahkan oleh beberapa pihak termasuk kepimpinan Pakatan Rakyat menerusi ruang media sosial Twitter sejak hari pertama Aidilfitri.

“Rosmah adalah orang pertama dalam sejarah yang mendapat slot khas untuk memberikan ucapan sempena Hari Raya selain Perdana Menteri,” kata Mahfuz lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata, ia adalah paling istimewa untuk seorang isteri Perdana Menteri kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, usaha itu diambil kemungkinan untuk menceriakan kembali tahap penerimaan terhadap Datuk Seri Najib Razak yang merudum teruk.

Hasil kajian Merdeka Center yang dikeluarkan Isnin lalu menunjukkan populariti semasa Najib telah merosot sehingga 59 peratus berbanding 72 peratus Mei 2010.

“Mungkin bila slot ucapan hari raya Najib dan slot yang khusus untuk Rosmah dipaksa berkali-kali kepada mereka yang menonton TV sepanjang Hari Raya, tahap puas hati kepada Najib akan naik 95 peratus,” katanya.

Mahfuz berkata beliau tidak menolak kemungkinan Rosmah sendiri yang memaksa supaya diberikan slot khas untuk dirinya yang disiarkan berturut-turut sejak 1 Syawal.

“Maklumlah kuasanya besar sebagai isteri Perdana Menteri,” kata beliau, dilihat merujuk kepada cakap-cakap bahawa Rosmah lebih berkuasa daripada Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno. Najib juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional.

Jika benar Rosmah yang memaksa supaya diberikan slot khas itu kepadanya, Mahfuz tidak menolak kemungkinan isteri Perdana Menteri itu menuntut slot sedemikian untuk memuaskan kehendaknya sendiri.

Dengan sinis, Mahfuz juga dipetik berkata, beliau sangat berharap orang ramai tidak merasa loya apabila tidak henti-henti dipaksa menonton slot-slot ucapan mereka.

No comments:

Post a Comment