JERLUN – Kegembiraan sebuah keluarga menyambut Syawal bertukar duka apabila anak mereka ditemui mati lemas dalam sungai di Kampung Masjid, Kuala Sanglang di sini Jumaat lalu.
Mangsa, Syabil Syakirin Jasmi (gambar), 5, dikatakan terjatuh ke dalam sungai selepas gagal mengawal basikal yang ditunggangnya ketika melintasi jambatan kecil di kampung berkenaan pada pukul 2.30 petang.
Menurut bapanya, Jasmi Ludin, 39, ketika kejadian dia berada di rumah setelah pulang daripada menunaikan solat Jumaat. Dia tidak sedar anak bongsu daripada dua beradik itu keluar rumah.
Namun, selepas dimaklumkan oleh anak sulungnya, Nur Syafaa, 8, yang adiknya tiada di rumah, dia dan ahli keluarga yang lain keluar mencarinya tetapi gagal.
“Kemudian saya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan yang ternampak basikal dan sebelah selipar Syabil di atas jambatan manakala sebelah lagi terapung di dalam sungai.
“Apabila saya sampai di situ, Syabil sudah dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Tunku Fauziah di Kangar. Saya diberitahu dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Sanglang di sini semalam.
Jasmi menambah, dia dimaklumkan, Syabil masih sedar ketika diselamatkan dengan nasi keluar dari mulut manakala matanya terbuka luas.
No comments:
Post a Comment