Wednesday, September 7, 2011

'Isu pemangku MB ada agenda tersirat'

PENDANG - Isu pemangku atau Timbalan Menteri Besar yang dibangkitkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris Jumaat lalu, dipercayai mempunyai agenda tersirat untuk mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kepimpinan Pas.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isu yang dibangkitkan itu seolah-olah mempunyai agenda tertentu kerana ia hanya ramalan dan bayangan yang tidak tepat tanpa dirujuk kepada mana-mana peraturan mahupun prosedur sedia ada.

“Bagi saya ia pelik dan ada agenda tersirat. Tiada sebarang isu yang sepadan dengan laporan itu atau pernah dibangkitkan di peringkat kerajaan mahupun parti. Malah ia bukan satu isu pun tetapi sengaja digembar-gemburkan,” katanya.

Menurutnya, penggantian atau pemangku mungkin perlu untuk pemimpin yang tidak sihat, malah satu kemestian apabila keupayaan memimpin sudah hilang. Tetapi agak luar biasa untuk membangkitkannya bagi pemimpin yang sudah pulih dan menjalankan tugas seperti biasa.

Muhammad Sanusi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, desakan akhbar itu sudah pasti tidak relevan lagi dan pasti mengecewakan banyak pihak di belakangnya.

“Ketika bercuti sakit pun, Menteri Besar pergi juga ke pejabat menyelesaikan tugasan rutin, selain melakukan tugasan menyemak dokumen untuk ditandatangani di rumah. Ini bermakna urusan pentadbiran tidak terjejas,” katanya.

Menurutnya, mereka juga agak terkilan dengan sikap akhbar terbabit yang membangkitkan isu ini dengan mengaitkan sumber daripada kepimpinan Pas Pusat, sedangkan ia tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 29 Julai hingga 16 Ogos dan diberi cuti sakit hingga 29 Ogos. Beliau kembali bertugas pada 30 Ogos lalu.

Beliau mendapat rawatan susulan di Kedah Medical Centre dan Hospital Sulatanah Bahiyah mengikut prosedur perubatan yang dinasihatkan oleh doktor, yang akan berakhir pada 29 September ini.

Azizan juga sudah mula turun padang dan mengikuti program di luar pejabat, antaranya menziarahi keluarga Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Abdul Rahman Ahmad yang meninggal dunia Jumaat lalu di Alor Belat, Pendang, selain mengadakan Rumah Terbuka di markas Pas Jerai pada Sabtu dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Mentaloon Ahad lalu.

1 comment:

  1. tak susah pun nak faham isu ini. bila isu jawatan timbalan menteri besar dikeluarkan maknanya adalah orang berminat dengan jawatan timbalan menteri besar tu . tak lain tak bukan dari kalangan parti pemerintah kedahlah . PAS PKR DAP . tentulah PKR dan DAP yang berminat . ahli PAS berminat dengan jawatan MB jer . kalau DAP yang sorang jer wakil tu berminat ,tentulah PAS tidak akan bersetuju . so KALAU TAK SETUJU BAGI JAWATAN TIM. MB , maka SILALAH bagi llebih kerusi dalam PRU13 nanti kepada DAP . simple jer . kadang-kadang cina ni belit dia lagi hebat dari india !!!!!

    ReplyDelete