Sunday, September 4, 2011

PENDANG – Rayu bantuan jelas rawatan anak

Rayu bantuan jelas rawatan anak



PENDANG – Kesempitan hidup yang dihadapi sebuah keluarga di Batu 9 Jalan Tokai di sini menyebabkan seorang ibu merayu kepada orang ramai bagi membantu menjelaskan kos rawatan anaknya yang masih tertunggak sehingga kini.



Nor Dina Ayuni Mohd Azizan, 9, iaitu anak bongsu kepada dua beradik adalah pelajar Sekolah Haji Abdul Rahman Tokai yang baru selesai menjalani pembedahan barah otak selepas menyedari menghidap penyakit terbabit hujung tahun lalu menyebabkan dia tidak berupaya meneruskan pembelajaran pada tahun ini.



Ibunya, Nor Rasyikin Ahmad, 32, merayu kepada orang ramai atau mana-mana pihak dapat membantunya menjelaskan bayaran rawatan anaknya itu berjumlah RM4,300 yang belum mampu dijelaskan dia dan suami.



“Bayaran itu tidak mampu dijelaskan saya dan suami selepas selesai melakukan pembedahan anak di Hospital Pulau Pinang memandangkan suami tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk membiayai semua kos terbabit.



“Bayaran itu masih lagi tertunggak sehingga kini, namun saya dan suami merayu bantuan kepada pelbagai pihak namun sehingga kini masih lagi belum berjaya mendapatkan bantuan bagi menjelaskan kos rawatan itu,” katanya.



Menurutnya, dia juga memohon bantuan rawatan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, namun usaha yang dilakukan gagal menyebabkan mereka buntu untuk mendapatkan bantuan.



“Saya juga memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa anak saya tidak dapat meneruskan pembelajaran pada tahun ini walaupun segala kelengkapan sekolah disediakan awal tahun ini.



“Anak saya menghidap barah sudah di tahap empat yang serius menyebabkan saya tetap meneruskan rawatan susulan di hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar setiap hari untuk mendapat suntikan peningkatan darah kerana darah dalam badan anak saya sangat rendah,” katanya.



Nor Rasyikin berkata, keadaan anaknya itu begitu uzur dan memerlukan penjagaan rapi menyebabkan dia tidak boleh melakukan pekerjaan untuk membantu pendapatan suami walaupun kos perbelanjaan keluarga tinggi selain kos rawatan.



“Sekarang saya menetap dengan ibu saya di Tokai dan masih lagi menyewa rumah di Simpang Empat hampir dua tahun dengan bayaran sewa bulanan sebanyak RM200 dan membiayai kos persekolahan anak-anak.



“Kos rawatan susulan termasuk perbelanjaan susu anak mencecah lebih RM300 sebulan menyebabkan kehidupan kami semakin tersepit pada masa ini dan memerlukan bantuan orang ramai kerana saya tidak tahu lagi untuk merujuk kepada pihak mana,” katanya.



Sementara itu, ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Nor Rasyikin berkata, sambutan itu tidak bermakna baginya memandangkan keadaan anaknya itu.



Beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin membantunya boleh menghubunginya menerusi talian 014-7400695.

No comments:

Post a Comment