Wednesday, December 21, 2011

Duit Rakyat lempaq masuk kelaut RM1trillion......

Ketirisan RM1 trillion wang rakyat ke luar negara
Oleh Aspan Alias

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgm3AsdQuMA6u896AoTTyOP1-dzh7XOJi0WPRYKEJn8CJZlrorts_ga5amKdSeoirExp4AN7sHWucWeHj_3KWzKs4ESB4kYa8lkBHbQbFJPHdqNHEkd0P9K7LB-bRuZCklWrwIthYCQfKYY/s400/Rasuah+GIF.png

Berita yang di tulis oleh Global Financial Integrity (GFI) tiga empat hari yang lepas amat menyayat hati. Lapuran itu telah memberikan kita betapa hinanya sikap kerajaan yang mentadbir kita yang sepatutnya tidak melakukan rasuah dan penyelewengan yang begitu besar, iaitu RM 1 trillion jumlahnya (satu ribu billion sahaja).

Jumlah penyelewengan yang tidak pernah kita bayangkan akan berlaku dalam negara yang melaungkan slogan-slogan, lepas satu slogan dengan slogan yang lain yang kesemuanya untuk memberikan ‘branding’ individu pimpinan masing-masing.

Akhirnya dari pimpinan Dr Mahathir sehinggalah sekarang mereka-mereka ini hanya mempunyai satu slogan yang hakiki; iaitu tamak, haloba, perasuah, pembohongan, penipuan dan bersikap seperti anjing nampak tulang; meleleh air liur bila nampak harta rakyat yang banyak.

Pengaliran keluar negara wang rakyat sebanyak RM1 trillion sejak sepuluh tahun yang lalu menunjukkan sikap mereka yang berkuasa sejak 3 dekad yang lalu yang tidak ada sedikit pun rasa bertanggungjawab terhadap rakyat atau setidak-tidaknya rasa kasihan terhadap rakyat yang semakin hari semakin menderita terutamanya di kalangan rakyat kelas menengah.

Kita diperdaya dengan longgokkan slogan-slogan satu demi satu apabila bertukar kepimpinan negara. Rakyat sudah terlalu kenyang dengan slogan-slogan tetapi kesemua slogan itu hanya tinggal slogan tanpa membuahkan apa-apa hasil yang memberi muafaat kepada rakyat ramai.

Semasa Perdana Menteri yang telah memerintah negara selama 22 tahun, kita di sumbatkan ditelinga kita slogan bersih, cekap dan amanah. Akhirnya bersihnya tidak ada malah bertambah kotor dan jumud, cekapnya tiada; hanya cekap melonggokkan harta kekayaan untuk diri dan keluarga mereka dan amanahnya pun tidak ada.

Kalau ada amanah masa kan di biarkan wang yang mengalir keluar negara tidak dapat di tahan malah digalakkan lagi. Pengaliran keluar wang yang sudah berjumlah trillion ringgit ini bermula dengan hebatnya semasa rakyat sedang dilenakan dengan nyanyian slogan bersih, cekap dan amanah itu.

Selepas itu datang pula seorang lagi PM yang membawa slogan, ‘jangan bekerja untuk saya, tetapi bekerja bersama saya’. Akhirnya rakyat tidak dapat membuat apa-apa kerja kerana beliau tidak tahu untuk membuat apa-apa kerja. Wang negara mengalir begitu besar keluar negara masih hebat seperti waktu negara dipimpin oleh pemimpin sebelum beliau.

Apabila sahaja datang pemimpin yang ada pada hari ini timbul lagi slogan ‘1Malaysia’ yang pernah saya katakan sebagai slogan yang satu Malaysia tidak dapat memahaminya. Malahan ‘warlord’ terbesar negara Dr Mahathir sendiri tidak faham apa itu 1Malaysia kerana rakyat tidak tahu apa sebenarnya makna slogan itu. Wang negara mengalir ke luar lebih besar kerana lapuran GFI itu menunjukkan yang pada tahun 2009 sahaja sebanyak RM950 billion telah dibawa lari ke luar negara dan di simpan di merata-rata negara di dunia ini.

Apa yang dilaungkan oleh Najib rakyat di dahulukan itu tinggal slogan semata-mata, sama seperti slogan-slogan zaman Dr Mahathir dan Pak Lah. Semua slogan-slogan itu gunanya hanyalah untuk memperdayakan rakyat sahaja.

Slogan-slogan itu semuanya berbunyi sebagai slogan yang baik-baik tetapi apa yang dilakukan oleh mereka semuanya terbalik dan mengelirukan rakyat. Sedar-sedar wang ringgit rakyat di bawa mereka lari ke luar negara dan rakyat serta penyokong-penyokong pemimpin-pemimpin ini hanyalah dijadikan buruh kasar untuk mempertahankan mereka sahaja.

Saya ulangi kepada mereka yang bertanggungjawab, apa yang dilakukan oleh pesalah-pesalah ini merupakan tindakkan durhaka kepada Raja dan Negara. Mereka tidak lebih dari nilai Botak Chin. Bezanya Botak Chin itu adalah penyamun kolar biru tetapi pemimpin-pemimpin kita adalah penyamun kolar putih. Penyamun-penyamun kolar putih ini semuanya kumpulan yang hipokrit dan ada yang telah menutupi segala samunan mereka dengan membaca ayat-ayat suci dan membaca hadith-hadith Nabi apabila berhadapan dengan orang ramai.

Mereka akan beretorik berlindung dengan ayat-ayat quran serta berlindung di sebalik ketiak Raja-Raja Melayu sambil menuduh orang lain sebagai anti Melayu, anti Islam dan anti Raja-Raja Melayu. Apa sahaja yang kena-mengena dengan Melayu Islam serta Raja-Raja Melayu mereka akan membuat tohmahan kepada DAP serta parti-parti pembangkang. Kerana apa? Kerana pilihanraya sudah hampir tiba.

Jika mereka masih dapat mandat rakyat lagi tidak tahulah berapa billion ringgit lagi akan di larikan keluar negara oleh mereka-mereka ini. Saya hanya ingat yang jumlah wang yang dilarikan oleh pemimpin UMNO hanyalah sebanyak RM10 juta sahaja yang dilakukan oleh Mohamad Hasan, MBNS melalui penngurup wang yang begitu ‘dubious’ keadaannya. Rupa-rupanya jumlahnya adalah RM 1 trillion. Selepas ini rakyat tidak akan menyebut billion-billion lagi dan bermula dari sekarang rakyat akan mula belajar untuk menyebut trillion-trillion pula.

Itulah sebabnya rakyat sudah tidak percaya lagi kepada slogan-slogan yang diperkenalkan oleh pemimpin-pemimpin kita. Rakyat tahu slogan-slogan tersebut hanya lah untuk memperdayakan rakyat.

Maka sekarang rakyat pula yang memperkenalkan slogan baru; iaitu ABU (asalkan bukan UMNO) atau dalam bahasa Inggerisnya ‘anything but UMNO’.

Slogan ABU yang diperkenalkan oleh rakyat ini akan berlegar di seluruh negara tidak berapa lama lagi. Rakyat sudah jemu dengan slogan anjuran pemimpin-pemimpin kita. Rakyat mahu slogan mereka sendiri diguna pakai, iaitu ABU.

Jika ABU berjaya adalah di harapkan pengaliran dan kecurian terhadap wang dan harta rakyat tidak akan sampai kepada angka trillion dalam satu dekad lagi. Jika ABU berjaya, maka mereka yang menyamun dan merompak akan tidak lagi berada di tampuk kuasa.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment