Wednesday, December 21, 2011

Sindrom Cerdik Dalam Dewan Pemuda Pas

Oleh Mohd Sayuti Omar

KEBEBASAN bersuara dalam apa juga sistem ada hadnya. Begitu juga dengan kebebasan bersuara di dalam sistem demokrasi, ada hadnya. Kebebasan bersuara dalam parti ada juga had dan batasnya ia disekat oleh peraturan, adat dan juga ketinggian ilmu siasah dan strategi ahlinya. Begitu juga kebebasan bersosial di laman sosial ada hadnya malahan kebebasan itu perlu dilayani sebaik mungkin untuk tidak mendatangkan mudarat.

Hari ini ada sindrom itu dari kalangan anak-anak muda Pas - Dewan Pemuda Pas. Mereka bukan saja obius menggunakan laman sosial, Fb dan blog untuk menyuarakan rasa hati mereka, tetapi berkecenderungan untuk menunjukkan kebijakan, ketinggian ilmu dan juga keperihatinan mereka kepada semua isu dalam parti yang akhir memberi kesan negatif dan kecelaruan kepada minda ahli dan penyokong di bawah.

Sindrom menjadi berani dan bijak ini telah menunjukan bunga-bunga tidak baik apabila ia memberi wajah berlaku penentangan halus oleh anak-anak muda Pas kepada sesetengah orang tua dalam Pas. Keikhlasan memberi cadangan menerusi laman sosial telah menyerlahkan akan sikap kurang senang Pemuda kepada induknya, khasnya kepada beberapa pemimpin tertentu.

Terus terang saya merujuk ini kepada sikap Ketua Dewan Pemudas Pas Nasrudin Hasan dan timbalannya Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam memberi respons terhadap isu yang menimpa Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa yang kini sedang diperkatakan ramai ekoran teguran oleh beberapa pemimpin Pas terhadap sikap pesimis mereka kepada parti.

Kedua orang kuat Dewan Pemuda itu secara tidak langsung melalui komen, lontaran idea mereka membela kedua bekas pemimpin tertinggi Pas itu sebaliknya menempelak pihak kepimpinan Pas yang sah, yang memegang jawatan. Mereka juga kepada saya tidak adil kerana tidak melihat apakah 'tema' atau senario yang berlaku kini dan lebih melihat kepada hubungan peribadi antara mereka dengan dua pemimpin itu. Perlu diingat simpati tidak boleh berada atas prinsip menjunjung parti.

Nasrudin tanpa sesiapa menyuruhnya telah mengeluarkan kenyataan menyatakan sokongan kepada Hasan Ali, apabila beliau mengatakan akan tetap menyokong Hasan Ali selagi (Hasan) berpegang kepada Islam. Kenapa beliau tidak menyatakan sokongan kepada parti yang telah memperlembagakan Islam sebagai asas itu lebih dulu dari sikap ditunjuki Hasan? Walaupun kenyataan beliau jelas tetapi apabila dia beretorik demikian menjadikan orang beranggapan Hasan Ali lebih Islam dalam kaca mata ketua dewan pemuda Pas itu berbanding dengan yang lain.

Benar Hasan Ali tidak bersalah yang tetap juga ada salahnya itu, tetapi kebangunan Nasrudin menyatakan sokong terbuka kepada Hasan Ali sehingga dipetik oleh media penjilat buntut sesuatu yang tidak elok dan memencilkan lagi bibit-bibit keserabutan dalam Pas. Kenapa tidak, nun di luar sana orang mula bercakap Pemuda menyokong Hasan.

Sokongan itu ditafsirkan oleh umum yang ketua pemuda Pas itu seolah tidak sedia akur kepada nasihat dan pandangan pemimpin lebih tinggi dari mereka terhadap Hasan Ali. Di sini saya beranggapan ada sindrom cerdik dari Pemuda Pas dengan tingkah laku mereka itu.

Terbaru Nasrudin telah mengemukakan cadangan agar diadakan majlis 'mahabbah' - pertemuan mesra berdakap-dakapan di antara para pemimpin Pas yang bermasalah di antara satu sama lain. Antara pemimpin yang disebut ialah Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dengan Nasharudin Mat Isa dan Hasan Ali. Mungkin dalam minda mentah anak mudah cadangan itu baik sekaligus menunjukkan ketinggian ilmu "Hang Nadin"nya. Tetapi mereka tidak memikir implikasi dari cadangan itu menyebabkan ia dieksploitasi oleh media penjilat butut untuk meluaskan perbalahan dalam Pas.

Sebenarnya kalau setakat mengadakan majlis mahabbah, tertakluk kepada empat orang pemimpin itu saja tidak perlu. Tidak pun ada keperluan lebih dari itu. Kalau Nasharudin dan Hasan Ali bertawakus, zuhud, istiqamah dengan perjuangan dan redha dengan apa yang berlaku, hadir mesyuarat dan tidak merasa terbuku dengan kekalahan, tidak perlu kepada majlis mahabbah seperti diusulkan itu. Mesyuarat baik mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pas atau Badan Perhubungan Pas Selangor yang diadakan setiap bulan boleh digunakan untuk bermahabbah.

Mesyuarat dan pertemuan rasmi begitu sebenarnya bukan saja untuk membincang isu-isu semasa, pendekatan parti dan lain-lain tetapi lebih penting ialah untuk bermahabah. Saya tidak tahu apakah sebelum setiap kali AJK Pas mengadakan mesyuarat jawatankuasa agung mereka, semua bersembahyang berjemaah, berdoa dan bersalaman selepas sembahayang di antara satu sama lain. Apakah ahli jawatankuasa Pas sama juga dengan ahli MT Umno tatkala mereka hendak datang bermesyuarat, datang seorang demi seorang untuk mengisi kerusi disediakan.

Adalah elok kalau sebelum bermesyuarat semua ahli jawatankuasa Pas mengadakan solat dan berdoa memohon petunjuk dan keredhaan Allah. Mungkin cadangan ini remeh tetapi inilah sesuatu yang praktikal dalam jemaah Islam seperti Pas. Kenapa timbul rasa berbulu di antara satu sama lain ialah kerana telapak tangan di antara para pemimpin Pas saya rasa tidak pernah tersentuh dan tergenggam erat di antara satu sama lain. Masing-masing pergi bermesyuarat dengan mengepal tangan dan bukan membuka genggaman!

Berbalik kepada cadangan dan idea Nasrudin memang baik dan menunjukkan kebimbangan beliau terhadap apa yang berlaku. Tetapi cara beliau mencadangkan dalam laman sosial atau blog itu tidak bagus kerana ia dipetik oleh orang lain. Cadangan sebegitu juga mencerminkan Pemuda seolah-olah ingin menjadi orang yang lebih tua dan tahu akan formula menyelesaikan masalah parti.

Dari segi protokol dan hierarki organisasi apa yang dibuat Nasrudin itu ialah menengur orang tua di khayalak ramai. Tindakan sebegitu tidak baik kerana ia memberi persepsi bahawa orang tua dalam Pas kurang cerdik dan hilang punca untuk menyelesaikan masalah. Cadangan itu juga secara langsung menjatuhkan imej dan maruah kepimpinan Pas yang berteraskan ulamak.

Demikian juga cara Nik Abduh membela "kekandanya" Nasharudidn Mat Isa yang dianggap telah diserang oleh setiausaha agung Pas Mustafa Ali. Pembelaan Abduh itu agak melampau dan bersifat peribadi tidak melihat kritikan Mustapa Ali sebagai satu kritikan terhadap sikap atau pembawaan sumbang Nasharudin dan Hasan Ali yang boleh menjejaskan parti. Abduh kena celik mata dalam perkara ini seluas-luasnya. Di antara mata politik dan mata agama kena seimbang dan sama cerah.

Sebagai sebuah parti yang ahlinya harus berdisplin demi menjaga keutuhan kenyataan sinis kedua pemimpin itu seharusnya dilihat dengan penuh perhatian oleh pucuk pimpinan. Sebab kenyataan itu bukan bersifat dalaman tetapi sudah ditaboo ke luar. Tidak sepatutnya mereka membuat kenyataan-kenyataan seolah menidakkan apa yang parti sedang perjuangkan. Pada saya wajar kalau teguran dibuat ke atas mereka berdua termasuk memanggil berdepan dengan jawatankuaa disiplin. Dalam pada itu Nasharudin dan Hasan perlu menunjukkan semangat sayangkan jemaah, parti.

Apa yang saya lihat apabila Pemuda membela kedua itu ia bukan menghuraikan kemelut tetapi menjadi lebih parah. Cara pemuda itu ingin menyelesaikan pukat yang rusuk dalam kebasahan. Apa yang sepatutnya pemuda kena jemur pukat sampai kering baru berusaha menghuraikan kekustannya di bawah teduh.

Cara pemuda itu menyebabkan orang diluar sana akan mengukur bahawa Pas kini sudah berpecah kepada beberapa firkah antara Pemuda yang tidak sejalan dengan induknya tetapi lebih miring kepada individu lain. Walaupun seratus kali Nasharudin dan Hasan Ali betul tetapi dari prinsipnya pemuda harus bersama induknya. Sikap dan pengamalan begini barulah orang melihat parti tidak berfirkah.

Jadi baik Nasarudin dan Nik Abduh betapa ikhlasnya mereka hendak melendikkan parti, lebih baik diam sahaja kerana teguran mereka sudah menjadi macam tikus hendak membaiki labu. Daripada mereka bercakap baik mereka banyakkan berdoa dan munajab dan membaca doa rabitah. Jangan menunjukkan sindrom cerdik anda kerana bagaimana tinggi dan hebat permikiran untuk mempersatukan ummah, selagi induk tidak membuat keputusan ia tidak akan menjadi kenyataan. Jangan sesekali kalau pemuda hendak menunjukkan mereka lebih Islamik dari Pas.

Apa yang penting hormati adat dan peraturan beroragnisasi. Perkataan dan pengakuan pemuda (Abduh) mereka menghormati akhlak jemaah yang tinggi hendaklah dipraktikan secara adil dan syumul. Jangan perkataan atau slogan itu digunakan kerana pemuda hendak melindungi niat mereka yang membela pihak lain yang lebih mereka seronok dalam hubungan kawan dan bukan sebagai kehebatannya selalu pemimpin jemaah.

Kepada saya membuat kritikan secara terbuka sehingga dapat dipetik oleh musuh bukan termasuk dalam kategori anda sudah menghormati akhlak jemaah yang tinggi. Cara begitu adalah tidak bijaksana kerana anda telah membuka dada parti anda untuk ditikam lumat oleh musuh. Penghormatan akhlak jemaah yang tinggi bermula dari kita menghormati akhlak diri kita, menyedari setiap daripada perbuatan dan tingkah laku kita tidak menyusahkan jemaah.

Akhirnya elok kalau pemuda tidak terlalu menunjukkan sindrom cerdik mereka kerana kecenderungan itu makin membarakan lagi api sengketa dan sekaligus mendedahkan kecetekan anda dalam siasah
http://msomelayu.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment