Wednesday, February 29, 2012

Guan Eng mahu IGP tindak tegas

Wartawan Sinar Harian
29 Februari 2012
kasut-perkasa

SHAH ALAM - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan insiden sekumpulan pemuda, didakwa ahli Umno dan Perkasa, mengepung kereta beliau dan menyerang orang ramai di Georgetown, Ahad lalu ketika Himpunan Hijau daripada berulang.

Selain itu, Guan Eng juga mahu Ketua Polis Negara mengambil tindakan ke atas anggota polis yang tidak berbuat apa-apa untuk menghalang kumpulan pemuda terbabit daripada menghampiri kereta dan cuba untuk menyerangnya.

"Adalah jelas bahawa tinkah laku anggota-anggota polis yang berdiam diri dan tidak menghalang mereka yang mengganas rakyat Pulau Pinang itu tidak boleh diterima.

"Saya berharap bahawa tindakan yang keras sekarang akan diambil oleh pihak polis ke atas mereka yang bersalah agar peristiwa-peristiwa seperti ini tidak berlaku lagi di Negeri Pulau Pinang," kata beliau dalam surat kepada Ismail, hari.

Guan Eng berkata, bantahan anti-Lynas, Ahad lalu di Dataran Pidato, Padang Kota Lama, Pulau Pinang telah diganggu oleh ahli-ahli Umno dan Perkasa yang telah membuat rusuhan di kawasan itu.

"Sebelum saya sampai ke situ pada pukul 6.30 petang, saya difahamkan bahawa perusuh-perusuh itu telah cuba memaksa orang awam dan pembantah anti-Lynas balik rumah dan meninggalkan tempat itu.

Ramai pula yang ditolak dan dipukul sehingga mereka jatuh, termasuklah wanita-wanita. Adalah nasib baik bahawa mangsa-mangsa tersebut tidak bertindakbalas balik," katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan Umno terlibat dalam kekecohan Himpunan Hijau di Padang Kota, Pulau Pinang pada Ahad lepas, yang mengakibatkan dua petugas media cedera.

Beliau berkata sehingga kini, tidak ada laporan polis dibuat yang mendakwa adanya penglibatan Umno dalam kejadian itu.

Kata Ketua Menteri, insiden ini adalah kali kedua wartawan dan orang awam diugut dan diganas tanpa tindakan keras diambil ke atas mereka oleh polis.

"Sebelum ini, pada 1 Julai 2011 dua orang wartawan telah dipukul oleh peserta-peserta demonstrasi yang melibatkan ahli-ahli Umno dan Perkasa di Komtar dan selepas itu juga di Jambatan Pulau Pinang. Sehingga sekarang, tiada tindakan yang diambil terhadap mereka yang memukul wartawan itu.

Guan Eng berkata, selaku Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau telah dijemput dan telah menggunakan carutan perkauman dan kata-kata ancaman seperti “You jaga”.

"Jika tidak kerana rakyat umum yang melindungi saya, saya percaya bahawa saya sendiri akan diserang.

"Saya difahamkan bahawa sebelum saya sampai, sudah berlaku kekecohan di mana ada beberapa orang awam diserang dan dipukul kumpulan ahli Perkasa dan Umno ini.

"Semua laporan polis yang berkenaan dan rakaman video telah dibuat dan diberikan kepada pihak polis," katanya.

Semalam, Ketua Wira Perkasa Pulau Pinang, Mohd Rizuad Mohd Azudin menjelaskan tindakannya menunjukkan kasut di hadapan kereta Guan Eng Ahad lalu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Guan Eng dilantik sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Rizuad berkata, Guan Eng mampu meluangkan masa untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0 sebagai membantah projek Lynas di Gebeng, Pahang demi modal politiknya.

"Guan Eng didapati mengambil kesempatan dalam perhimpunan itu untuk berucap sambil memperkecilkan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi slogon 1 Malaysia yang dianggapnya sebagai satu pembohongan.

"Padahal, beliau sendiri sebagai Ketua Menteri belum menyelesaikan beberapa persoalan yang dikemukakan oleh beberapa badan bukan kerajaan melibatkan masalah penduduk negeri. Tetapi beliau lebih sibuk dengan hal yang berlaku di negeri lain," katanya.

No comments:

Post a Comment