Thursday, February 23, 2012

UMNO dan bekas Ketua Hakim Negara pula dapat projek besar

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgaEcIR-0ahukbxZHrTkHhuOZElzpqxi8t5HCprviPJ_ddRiJ-Q2u4gBNfKShLDVzQcrdX2I2slplkAt_7aJVUZhyphenhyphen-wMa4tkr3tinp8Qa84cqqfTAAEEKbAAR3YEYFzkrvyXQNdocvZbj7A/s400/umno-wang.jpgDi Malaysia ini semuanya boleh berlaku, kecuali bertanding Presiden UMNO. Rasuah boleh, menyalahgunakan kuasa boleh dan sudah menjadi biasa dan lazim, Pinjam wang kerajaan beratus juta yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pemiliharaan lembu boleh digunakan untuk membeli kondominium mewah diseluruh dunia.

Pemimpin-pemimpin dan menteri-menterinya boleh menerima komisyen pembelian kapal selam, kapal perang udara serta pembelian kapal perang dilaut. Kalau dikumpulkan jumlahnya mungkin berbillion ringgit, tetapi ia tidak mengapa kerana di Malaysia ini semuanya ‘Malaysia boleh’

Di Malaysia juga yang naik menjadi pemimpin itu ramai yang takut kepada isteri atau yang selalu ditakut-takutkan oleh isteri mereka. Mereka yang tidak takut isteri jarang yang dapat naik ke atas atau tidak naik langsung. Ada menteri susah hendak memberikan ‘appointment’ kepada sesiapa yang hendak berjumpa dengannya, tetapi apabila meminta berjumpa dengan pak menteri itu melalui isterinya, tidak sampai setengah jam menteri itu akan memberikan tarikh dan masa untuk berjumpa itu.

Semuanya boleh berlaku. Maklumlah kita mempunyai slogan ‘Malaysia boleh’. Semuanya boleh kecuali untuk berbeza dengan pimpinan UMNO. UMNO itu ‘supreme’, lebih tinggi dari Raja-Raja, kerana pada tahun 1993 dahulu UMNO telah menelanjangkan Raja-Raja seolah Raja-Raja itu lebih rendah dari manusia biasa seperti saya ini. Hanya sekarang baru kita mendengar UMNO kembali bercakap baik kepada Raja-Raja terutamanya setelah terdesak. Apabila terdesak UMNO akan berlindung di bawah ketiak Raja-Raja pula. Semuanya boleh.

Sekarang timbul pula satu lagi isu dalam lingkungan slogan ‘Malaysia boleh’, iaitu bekas Ketua Hakim Negara bersama peguam UMNO Hafirizam Harun telah dianugerahkan projek lebuhraya bernilai RM2.2 billion pula. Di seluruh dunia khususnya negara-negara maju hakim itu tinggi kedudukannya. Hakim-hakim itu tinggi darjat mereka di dalam hiraki masyarakat. Hakim itu mempunyai disiplin kehidupan harian yang amat tinggi dan ianya akan tetap begitu sehingga akhir hayat mereka. Tetapi oleh kerana slogan ‘Malaysia boleh’ bekas ketua hakim negara kita pun menjadi ahli perniagaan besar dan diberi pula konsessi lebuhraya bertol dilembah kelang.

Jauh sangat rendahnya kredibiliti Jabatan Kehakiman kita sampai bekas ketua hakim negara pun mendapat konsesi lebuhraya bertol. Kalau kita tegur perkara ini akan ada di kalangan penyokong-penyokong UMNO akan memberi jawapan seperti, “hakim pun nak makan juga. Takkan hakim nak jadi peon pula!”. Slogan ‘Malaysia boleh’ ini boleh mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

Jika kita lihat hakim-hakim di India, England, Australia dan di mana-mana sahaja hakim-hakim tidak terlibat dengan perniagaan. Tetapi oleh kerana di sini perkara ini sudah menjadi biasa maka jika kita kritik isu ini, kita pula dianggap sebagai kumpulan yang salah. Itulah sebabnya saya pernah berkata UMNO ini merupakan agen yang membawa dalil-dalil hari hendak kiamat. Perkara yang salah dikatakan benar dan yang benar dianggap salah. Ini lah sumbangan besar UMNO, iaitu meruntuhkan etika ‘professionalism’ umat Melayu dan ini akan memakan masa puluhan tahun untuk membetulkannya kembali. Itu pun jika pemerintah yang sekarang ini tidak lagi diberi mandat.

Sememangnya pemerintah pada hari ini sudah kehilangan hidayah. Lagi ramai orang mengkritik lagi banyak perkara-perkara sumbang dilakukannya. Pimpinan tidak ada rasa malu dan segan membenarkan perkara seperti memberikan konsessi lebuhraya yang tidak beretika ini dilihat oleh rakyat seluruh negara dan juga masyarakat antarabangsa. Malahan inilah kejadian yang amat tidak senonoh yang dilakukan oleh pemerintah kerajaan yang mengaku sebagai kerajaan yang demokratik dan transparen.

Tidak ada lagi ketua hakim negara bagi negara maju yang mendapat konsessi lebuhraya sejurus selapas bersara dari perkhimatan awam. Bagaimanalah keadaaan negara jika mereka yang mempunyai mentaliti sebegini terus memerintah kita. Apakah yang akan terjadi kepada nasib masa depan generasi kita yang tidak mempunyai hubungan baik dengan mereka yang berkuasa itu?

Kita yang ramai-ramai dibawah ini disuruhnya bertungkus lumus untuk memenangkan mereka dengan bayaran RM500 tetapi apabila berkuasa mereka yang tidak pernah mengeluarkan peluh untuk UMNO pula yang mendapat habuan yang begitu besar. Pendeknya rakyat yang ramai ini diperlakukan seperti buruh kasar tetapi segala keuntungannya diberikan kepada rakan kroni dan yang hampir dengan pimpinan yang mendapat kemenangan tadi.

Kerja keras yang membanting tulang itu adalah kewajipan rakyat tetapi segala labanya adalah untuk kroni dan rakan-rakan mereka yang berkuasa. Orang Melayu dijadikan seperti hampas tebu, habis madu sepah dibuang. Pimpinan sampai hati melihat rakyat yang kebanyakkannya orang Melayu beratur dan berpanas berjam-jam lamanya untuk mendapatkan imbuhan serta upah menyokong mereka dengan RM500 setelah kekayaan mereka diperah dan di hisap oleh mereka yang berkuasa serta kroni-kroni belaan mereka.

Pimpinan tahu, kambing dan lembu yang ditambat itu mesti diberi makan. Maka itulah dia upahnya untuk makan lembu-lembu yang ditambat itu, iaitu wang ‘sogokan’ RM500. Ianya ibarat lembu yang telah membajak sawah seharian dan pulangannya hanyalah rumput-rumput kering yang disabit dan dikumpulkan ditepian laman rumah mereka. Sesekali diberikannya garam untuk menyihatkan tubuh badan lembu-lembu itu. Esok harinya lembu-lembu ini akan bekerja lebih kuat lagi untuk kepentingan tuan mereka yang berkuasa itu.

Dalam pada itu masih ada orang Melayu berbangga dengan kejayaan pemimpin-pemimpin mereka yang telah memerah keringat mereka untuk kepentingan pemimpin-pemimpin sokongan mereka.

Sedih juga melihat gelagat mereka ini, tetapi apa nak buat. Mereka sendiri yang suka dibohongi dan peralatkan pimpinan mereka. Masih ada dikalangan orang Melayu yang bertepuk tangan keriangan apabila pimpinan mereka menipu dan memperalatkan mereka sambil meraut segala harta benda mereka dan dibawa lari. Masih ada orang kita yang masih bersukaria kepala mereka di ‘gomeng-gomeng’ oleh pemimpin sebangsa mereka sejak dua tiga dekad dahulu. Nasib kaulah jang!

Aspan Alias

No comments:

Post a Comment