Wednesday, February 22, 2012

Bantuan IPTA K'jaan Negeri Kedah : jurusan Ijazah menerima sebanyak RM400 & jurusan Diploma sebanyak RM200.

MERBOK - Seramai 114 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, YB. Dato' S. Manikumar berkata, penerima bantuan pada kali ini terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India dan bantuan yang diberikan itu adalah usaha Kerajaan Negeri dalam membantu pelajar-pelajar di negeri ini yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA.

“Bagi pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA, mereka perlulah berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu pengetahuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Bantuan IPTA DUN Bukit Selambau di Pusat Khidmat Merbok, Taman Tuanku Haminah, di sini.

Manikumar memberitahu, bagi pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah menerima sumbangan sebanyak RM400 manakala dalam jurusan Diploma sebanyak RM200.

Beliau menjelaskan, bantuan yang diberikan itu juga diharap dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh pelajar berkenaan.

“Kerajaan Negeri tetap memberikan perhatian dalam bidang pelajaran dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan di samping membawa perubahan untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Merbok, YB. Rashid Din dan Pembantu Khas DUN Bukit Selambau, K. Suppiah.

No comments:

Post a Comment