Tuesday, February 21, 2012

Baik pulih Medah Selera Merdeka - MBAS

Baik pulih Medah Selera Merdeka untuk tarik semula pengunjung

ALOR SETAR - Hampir 18 daripada 38 gerai di situ terpaksa ditutup kerana tidak memperolehi keuntungan akibat kemudahan yang disediakan tidak selesa.

Dato' Bandar MBAS, Dato' Mat Noh Ahmad berkata, kerja membaik pulih medan selera dan merobohkan tapak gerai yang membelakangkan jalan utama telah pun dilakukan untuk memperindahkan kawasan itu.

Menurutnya, MBAS hanya menaik taraf kemudahan yang telah sedia ada di tapak itu seperti memasang bumbung baru di ruang pengunjung menikmati selera.

"Tapak gerai yang MBAS robohkan sudah tidak mempunyai pemilik dan tujuan dirobohkan adalah untuk menjadikan tapak itu sebagai dataran di medan selera itu," ujarnya.

Beliau memberitahu, tapak gerai di bahagian dalam masih dikekalkan dan pihaknya berharap suasana Medan Selera Merdeka akan kembali ceria dengan kunjungan pengunjung seperti di awal pembukaan dahulu.

Kebanyakan peniaga di Medan Selera Merdeka sebelum ini mengharapkan kerja baik pulih dapat dilakukan oleh MBAS kerana mereka terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk memperindahkan kawasan itu.

Mat Noh berkata, peniaga juga diharap dapat sama-sama menjaga kemudahan baru yang telah disediakan oleh MBAS untuk kemudahan peniaga dan pengunjung.

Beliau turut menggesa peniaga agar sentiasa memantau kebersihan di premis masing-masing dan persekitaran medan selera.

Tambahnya, kebersiahan premis makanan bukan sahaja tertumpu pada gerai makan sahaja, malah ia turut membabitkan pengendali restoran di hotel yang perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih.

No comments:

Post a Comment