21 Februari 2012
KUALA KETIL- Seorang penduduk tidak sempat menggunakan wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diterimanya setelah rumahnya dimasuki perompak kira-kira jam 2 pagi, semalam.
Razali Sailan, 56, dari Lot 7 Kampung Baru, Batu Lima, Kuala Ketil berkata kejadian itu mengakibatkan dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000 melibatkan wang BR1M, barang kemas, telefon bimbit dan komputer riba.
Razali berkata, seramai empat perompak bertopeng memasuki rumahnya menerusi tingkap belakang yang dikopak.
“Ketika itu, saya dan anak sedang tidur sebelum dikejutkan oleh perompak tersebut yang bersenjatakan parang. Mereka bertindak mengikat saya dan anak-anak menggunakan kain perca sebelum menempatkan kami diruang tamu.
“Salah seorang perompak tersebut mengawasi kami dan tiga lagi menggeledah setiap bilik,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, perompak terbabit tidak agresif malah menasihatkan kami agar tidak risau kerana mereka hanya mencuri barangan kecil.
“Selain itu, perompak terbabit sempat menjamah beberapa kepingan biskut malah turut melarikan sebungkus roti yang baru dibeli,” katanya ketika ditemui, semalam.
Razali berkata, dia bersyukur kerana dia dan keluarganya tidak diapa-apakan oleh keempat-empat perompak terbabit.
“Namun, saya dan keluarga tetap trauma dengan kejadian tersebut. Sebelum ini, memang terdapat kes pecah rumah di kampung ini. Namun, saya tidak menyangka, rumah saya pula menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan mengesahkan menarima laporan kejadian tersebut dan siasatan akan dilakukan.
No comments:
Post a Comment