ALOR SETAR - Terusan Wan Muhammad Saman atau lebih dikenali sebagai Sungai Korok Wan Mat Saman yang terletak di persisiran Sungai Kedah menjadi antara salah satu destinasi pelancongan di negeri ini.
Kawasan pelancongan ini mampu menarik ramai pengunjung terutama pelancong untuk menikmati suasana yang terdapat di sekitar terusan berkenaan.
Menara pemerhati setinggi 15 meter yang disediakan di situ dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat pemandangan yang terdapat di sekitar Sungai Kedah.
Kawasan pejalan kaki turut disediakan bagi memudahkan pengunjung atau pelancong untuk menikmati suasana pemandangan di sepanjang terusan itu.
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dato' Dr. Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, terusan itu dibina pada 13 Ogos 1885 oleh bekas Menteri Besar Kedah ketika itu, Dato' Wan Muhammad Saman Wan Ismail.
“Dato' Wan Muhammad Saman adalah orang yang bertanggungjawab dalam menjayakan pembinaan terusan berkenaan,” jelasnya..
Menurutnya, terusan itu mempunyai kedalaman 1.5 meter dan lebar 7.5 meter. Kualanya bermula dari Sungai Kedah, Alor Setar hingga ke kaki Gunung Jerai iaitu sepanjang 30 kilometer.
Beliau memberitahu, setelah terusan ini siap dibina pada 12 Julai 1896, ia telah memberi banyak manfaat kepada golongan petani.
“Secara tidak langsung, ia juga telah memperluaskan lagi kawasan sawah padi sehingga Kedah mendapat jolokan Negeri Jelapang Padi,” katanya.
Dato' Wan Shamsudin berkata, ia dianggap sebagai terusan yang terpanjang di dunia ketika itu dan yang lebih mengagumkan ialah pembinaannya hanya menggunakan tenaga manusia dan peralatan tradisional.
“Pada 13 Ogos 1885 iaitu semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah, sebuah batu peringatan telah dibina di muara terusan sebagai memperingati jasa Dato' Wan Muhammad Saman,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment