Wednesday, February 29, 2012

Masalah Azizan, demokrasi subur dalam PAS

Subky Latif, 29 Feb 2012

SYUKUR Dato Seri Azizan Razak sebagai Menteri Besar menangguhkan angkat sumpah dua Exco Kedah yang belum bersedia menyambung khidmatnya setahun lagi. Beliau menangguhnya seminggu lagi sama ada kedua Exco itu sedia menyambung khidmat atau berundur.

Beliau tidak segera menggantikan dengan orang lain.

Tentunya Ustaz Azizan menggunakan demokrasi yang ada dalam partinya mendengar pandangan dan nasihat pihak lain antaranya PAS Pusat bagi menangani perkembangan demokrasi PAS di Kedah.

Apa pun perkembangan itu mengejutkan semua pihak apabila berlaku di saat PRU 13 sudah di ambang – mungkin esok atau lusa atau tahun depan. Tentulah semuanya bertanya apakah ia satu krisis atau sekadar memenuhi kehendak dan amalan demokrasi.

Dalam demokrasi semua orang menerima perlantikan, boleh menolak, boleh berundur, bersedia ditamatkan perkhidmatan, setuju disambung perkhidmatan, boleh menyatakan tidak setuju pada kerajaan dan boleh tidak bersetuju dengan Menteri Besar.

Sejak menjadi Menteri Besar tahun 2008 tidak pernah menangguh angkat sumpah mana-mana Exco dan tidak ada yang minta tangguh perlantikan perkhidmatannya. Exco yang ditangguhkan angkat sumpahnya itu baru beberapa bulan diangkat atau diangkat semula sudah jadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah oleh Ustaz Azizan.

Bukan Ustaz Hadi Awang atau Mursyidul Am minta mereka dijadikan Exco dan Timbalan Pesuruhjaya PAS. Azizan menggunakan demokrasi melantik mereka.

Orang tidak mahu mendengar jika perkembangan itu benda biasa dan bukan satu krisis dalam bentuk apa jua. UMNO tentunya syok walau pun ia terkejut kerana Azizan dapat mengawal parti sejak menggantikan Ustaz Fadzil Noor sebagai Pesuruhjaya hingga dapat membentuk kerajaan dan dapat mengawal kerajaan dengan baik.

Penyokong Pakatan Rakyat dari jauh tentu cemas dengan kejadian itu, kerana kalau ia krisis, ia boleh mengurangkan peluang untuk menyambung kemenangan.

Umum berpendapat dengan gaya pimpinan dan pentadbiran Azizan, PAS dan Pakatan payah dikalahkan oleh UMNO, tetapi boleh jatuh oleh masalah PAS sendiri. Jika kerajaannya tumbang bukan kerana UMNO kuat dan berada pada jalan yang betul, tetapi kerana kejutan amalan demokrasi yang terbuka bebas dalam PAS.

Demokrasi yang ada dalam UMNO menyebabkan ahli UMNO takut kepada UMNO dan takut kepada pemimpin UMNO. Sekali pun mereka cah keting pemimpin-pemimpin mereka, tetapi ia dibaut diam-diam di belakang. Mereka tidak berani mengata UMNO dan pemimpin di kedai kopi atau berterangan.

Mungkin kerana takut dicantas dan amat malang bagi ahli UMNO kalau tidak termasuk dalam senarai orang-orang pemimpin parti.

Orang PAS tidak takut pada PAS dan tidak takut pada pemimpin. Mereka takut pada Allah saja. Tetapi mereka hormat parti dan hormat pemimpin. Demokrasi yang mereka faham disesuaikan dengan ajaran syura mereka digalakkan menegur apa yang dirasakan tidak tepat, dan membisu terhadap ketempangan adalah satu sikap salah dan tidak jujur.

Dalam suasana keterbukaan dan amalan demokrasi yang bebas itu orang PAS merasa bebas untuk memberi pandangan kedua tentang pentadbiran dan kepimpinan pemimpinnya. Orang kecil bebas bercakap tentang kerajaan, parti dan pimpinan sesuai dengan kedudukannya di kedai kopi dan sesama mereka.

Yang besar seperti Timbalan Pesuruhjaya di samping ada pandangannya yang tersendiri tentang perkara-perkara tentu bebas memutuskan untuk tidak menyambung perkhidmatan dalam kerajaan seperti yang dibenarkan oleh demokrasi dan politik terbuka.

Dua anggota Exco itu bertindak mengikut apa yang dibenarkan semangat perlembagaan dan oleh demokrasi. Cuma pimpinan pusat merasa perlu campur tangan. Apa jua keputusan seperti berundur dari Exco boleh ditimbang semula dan apa juga perbezaan pandangan sesama sendiri dibenarkan oleh demokrasi untuk diselesaikan secara perbincangan.

Azizan bersetuju menangguhkan angkat sumpah semula dua Exco itu kerana dia mahu semua ahli Exco berkhidmat hingga penggal sekarang tamat iaitu apabila DUN dibubarkan bagi pilihan raya baru. Seluruh ahli PAS Kedah yang susah payah menegakkan kerajaannya sekarang dan yang pertama baginya tidak mahu kejadian itu menyebabkan ia tidak dapat menyambung kemenangan.

Sejak jadi Menteri Besar inilah ujian besar baginya. Dia diperhatikan bagaimana dia dapat menggunakan kebijaksanaannya menggagalkan UMNO mendapat manfaat atas isu itu.

No comments:

Post a Comment