Tuesday, February 14, 2012

Kerajaan jangan lupa bela nasib golongan 'pertengahan tinggi'

KEBELAKANGAN ini kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif mudah, mesra kepada golongan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000.

Saya tidak mempersoalkan tindakan tersebut malah menyokong segala insentif yang diadakan.

Itu adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah apabila diberi undi oleh rakyat, iaitu untuk memakmurkan kehidupan rakyat yang memilihnya.

Yang saya ingin nyatakan di sini ialah, dalam kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada golongan ini, kerajaan bagaikan lupa kepada golongan 'pertengahan tinggi'. Mereka merupakan golongan yang paling banyak membayar cukai pendapatan, cukai perkhidmatan dan merupakan pencarum kepada Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Golongan pertengahan tinggi ini dikategorikan oleh kerajaan sebagai golongan berkemampuan. Tetapi mereka sebenarnya terpaksa membayar segala bentuk perkhidmatan yang diperlukan.

Antaranya yuran asrama anak yang tinggi, kos makanan anak di asrama, bayaran bulanan pembelian rumah, tol, minyak, kenderaan, khidmat Internet, khidmat kesihatan serta cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan di restoran.

Mereka ini adalah pembayar cukai yang tinggi sehingga gaji bulanan yang dikategorikan sebagai tinggi dan mampu oleh kerajaan sebenarnya adalah rendah dan menyesakkan.

Namun golongan ini bagaikan tidak mendapat langsung insentif kerajaan. Yang ada mungkin hanya wang RM100 untuk bantuan persekolahan anak dan baucar buku bernilai RM200 bagi anak mereka yang belajar di universiti.

Perkhidmatan asas seperti bantuan penuh untuk anak di asrama, pengecualian cukai perkhidmatan di restoran, diskaun tol dan diskaun perkhidmatan kesihatan patut diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan pertengahan tinggi ini dalam memastikan mereka juga patut menikmati hidup yang lebih makmur.

No comments:

Post a Comment