bendera BN dan Jalur Gemilang yang didakwa dicabut penguat kuasa MPPP di Jalan Paya Terubong.
GEORGETOWN - Pemasangan bendera parti politik perlu mendapat kelulusan dan mengikut peruntukan undang-undang kerajaan tempatan, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Beliau berkata, tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menurunkan bendera Barisan Nasional (BN) pada malam 31 Ogos di Paya Terubong dan Jalan Bagan Jermal di sini, adalah mengikut undang-undang dan bukan berniat sabotaj.
Beliau berkata, pihak berkuasa tidak menurunkan atau mencabut Jalur Gemilang seperti yang didakwa sebaliknya hanya mengutip bendera kebangsaan itu yang terjatuh.
“Buat apa kita nak sabotaj majlis mereka kerana tindakan yang diambil oleh penguatkuasa itu adalah tindakan rutin sama seperti menurunkan kain rentang dan iklan haram.
“Bukan kita tidak benarkan mereka pasang bendera BN tetapi kami tidak menerima sebarang permohonan langsung. Kalau nak pasang buatlah permohonan dengan betul," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sehubungan itu, beliau menafikan MPPP bertindak mencabut Jalur Gemilang seperti yang didakwa Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow sebaliknya mengakui mencabut ratusan bendera BN yang dipasang secara haram.
Menurutnya, MPPP bukan sahaja bertindak menurunkan bendera BN malah bendera dari parti politik lain termasuk Pakatan Rakyat yang dipasang secara haram.
Untuk itu, Kon Yeow menasihati semua parti politik agar membuat permohonan dengan MPPP sebelum memasang bendera atau kain rentang.
“MPPP akan mengeluarkan garis panduan kepada semua parti politik supaya mematuhi peraturan pemasangan bendera," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail dalam satu kenyataan berkata, tuduhan Chang Yeow kononnya MPPP menurunkan Jalur Gemilang adalah fitnah dan cuba memburukkan imej dan integritinya yang selama ini setia kepada negara dan Jalur Gemilang.
Beliau berkata, serangan peribadi Chang Yeow ke atasnya jelas sekali cuba meraih publisiti murahan.
“Beliau tidak seharusnya melibatkan penjawat awam dalam arena politik kerana kami bersikap profesional dan berkecuali (neutral) dalam menjalankan tugas.
“Tindakan menurunkan bendera parti politik adalah kerana kesemua bendera itu tidak mempunyai permit yang dikeluarkan oleh MPPP. Kami tidak pernah dan tidak akan sekali-kali menurunkan bendera Jalur Gemilang yang merupakan lambang negara Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Patahiyah berkata, MPPP menjalankan penguatkuasaan ke atas pemasangan semua bendera politik tanpa mengira mana-mana parti politik.
Menurutnya, ia bermula dari kawasan Jalan Tanjung Tokong, Jalan Gottlieb, Jalan Paya Terubong dan Jalan Balik Pulau.
“Semasa tindakan dijalankan, hanya bendera parti politik diambil tindakan," katanya.
No comments:
Post a Comment