PAS HAMPIR TIADA LAGI RUPA PARAS ASALNYA?
Oleh : RIDZWAN BIN ABU BAKAR
(Ketua Penerangan PAS Kuala Kedah)
Ungkapan di atas adalah kalimah penutup artikel yang berjudul “Krisis keyakinan intelek PAS” yang ditulis oleh YB Senator Dr Mashitah binti Ibrahim dalam ruangan langit terbuka Akhbar Sinar Harian Jumaat 7 September 2012. Dalam artikel ini, Dr Mashitah (selepas ini dirujuk DMI) telah membawa 3 noktah untuk meyakinkan khalayak pembaca bahawa PAS telah hampir tiada lagi rupa paras asalnya dan juga kalangan intelek PAS telah hilang keyakinan terhadap perjuangan PAS yang hilang arah tuju dan rupa asal sebagai sebuah parti yang bernuansakan Islam.
Isu-isu yang dibangkit oleh DMI adalah isu pemecatan Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali yang digambarkan sebagai seorang tokoh intelek yang telah hilang keyakinan kepada PAS sehingga sanggup mengorbankan kedudukannya sebagai Exco agama Negeri Selangor, hujah itu cuba diperkuatkan dengan isu yang sedang melanda Ustaz Nasharuddin Mat Isa sekarang yang dilihat sedang menentang arus pergerakan kearah Putrajaya dengan mempersoalkan kerjasama tahaluf dengan DAP dan mendesak kepimpinan semasa untuk memutuskan hubungan dengan DAP kerana menentang pelaksanaan hudud di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat (PR) diberikan kuasa untuk mentadbir Negara ini. Berliau merumuskan isu ini dengan mempersoalkan “adakah golongan intelek dalam PAS semakin hilang kepercayaan kepada parti atau dipinggirkan”.
Isu yang kedua yang digarapkan oleh DMI adalah ulasan beliau terhadap buku Resah Manusia Desa Dan Kota; Sebuah Festschrift Untuk Shahnon Ahmad (Ed Siti Hajar Che Man, USM, Pulau Pinang, 2010), yang dirumuskan oleh DMI sebagai tanda “menjeruk rasa” dan penyesalan Dato’ Shahnon Ahmad kerana menjadi ahli seumur hidup PAS dan kegagalan beliau berperanan sebagai Ahli Parlimen Sik (1999-2004) dengan daya intelektual sebagaimana ketika beliau berada di dalam dunia akademik.
Manakala isu ketiga yang diangkat oleh DMI untuk mengambarkan bahawa PAS telah hilang rupa paras asalnya apabila memberi laluan kepada beberapa artis dan selebriti untuk berkongsi pentas dengan PAS dan mengenepikan golongan intelek yang telah hilang keyakinan kepada perjuangan PAS.
Berpremiskan tiga isu “khayalan” di atas, DMI telah merumuskan bahawa Pas telah hilang rupa asalnya diakhir artikel tersebut.
RUPA PARAS ASAL PAS.
Apakah rupa paras asal PAS? Rupa paras sesebuah organisasi seharusnya dirujuk kepada buku manualnya, iaitulah perlembangaan organisasi tersebut. Apabila anda merujuk kepada mana-mana perlembagaan parti di Malaysia, anda akan dapati bahawa satu-satunya parti yang menginsytiharkan “BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan ALAMRU BIL MA’RUF WAN NAHYU ‘ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan “PARTI ISLAM SE-MALAYSIA” .
Inilah rupa asal PAS, pengisytiharan penubuhan PAS diasaskan kepada tuntutan penyempurnaan taqwa dan juga untuk berbakti kepada sesama manusia berpaksikan kepada prinsip Al Amr bil Ma’ruf (menyuruh kebaikan, kebajikan, kesolehan dsb) dan An Nahyu ‘anil Munkar (mencegah segala kemungkaran). Apakah rupa paras telah berubah, sesekali tidak, inilah PAS dengan wajah aslinya yang ditubuhkan pada tahun 1951 sebagai mata rantai gerakan Islam sedunia.
PAS sentiasa dan tanpa henti mengajak dan berusaha untuk menyempurnakan ketaqwaan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, untuk itulah PAS berusaha untuk menawarkan sistem pendidikannya sendiri bermula dari PASTI sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi, PAS juga berusaha dalam pelbagai lapangan kehidupan bermasayarakat samaada melalui penglibatan organasisai mahupun melalui penglibatan para pimpinan di pelbagai peringkat atau ahlinya dalam aktiviti masyarakat seperti pengurusan masjid, susun atur masyarakat, penonjolan sistem perniagaan Islam dan sebagainya. Sementara untuk menyempurnakan ketaqwaan melalui pembinaan Negara, PAS telah berpartisipasi dengan aktifnya di peringkat membuat dasar melalui penglibatan aktif para pimpinan dan ahli parlimen PAS di Parlimen, DMI amat tahu hal ini, namun untuk mengelirukan masyarakat dan membohongi diri sendiri maka DMI telah merekayarsa kisah ini untuk didendangkan oleh pelakon tambahan yang akan ber”kokok” di ceruk kampong bagi mempengaruhi para pemilih dalam PRU nanti.
Sementara di negeri yang PAS sebagai pemerintah atau rakan kongsi dalam pemerintahan, PAS telah memainkan peranan penting dengan mengubal dasar, melaksanakan dasar yang digubal dan melakukan penambahbaikan dari masa ke semasa. Untuk senarai panjangnya, akan dibahaskan dalam ruangan lain, cukup untuk dibuktikan peranan dan kebolehan PAS dalam mengajak kearah penyempurnaan taqwa melalui kehidupan bernegara dengan membuktikan dua perkara asas yang membawa kegagalan dalam pentadbiran iaitu tatakelola yang tidak baik dan rasuah masih dapat direnggangkan dari pentadbiran yang diketuai atau disertai oleh PAS. Adapun parti yang didokong oleh DMI, kita punya senarai panjang yang boleh dibuktikan tentang kegagalan tadbir urus yang baik dan rasuah yang meliputi kehidupan pimpinan bahkan organ parti itu sendiri.
Untuk DMI, ingatlah rupa paras asal PAS dan ketahuilah PAS masih dan akan tetap – InsyaAllah – tidak berubah dari rupa parasnya yang asal, yang sebenarnya UMNOlah parti yang tak punya rupa paras samaada yang asal mahupun yang telah disolek. UMNO sudah hilang identity diri, yang ada pada hari ini adalah UMNO tanpa roh dan rupa yang asal (meminjam kata orang yang lebih dahulu bergulat dengan UMNO dari DMI iaitu Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir).
Dengan penjelasan di atas nyatalah bahawa PAS tidak hilang rupa parasnya dan sesekali tidak pernah hilang matlamat dan hala tujunya, mungkin beberapa tindakan dan strategi semasa berubah, itu adalah sifat sebuah organisasi yang baik yang meraikan perubahan zaman dan golongan sasar, sesebuah organisasi yang beku dan jumud dalam mengatur strategi dan mendepani isu seperti UMNO yang terus menjadikan isu perkauman sebagai isu utama yang dimainkan sejak berdekad yang lalu akan menjadi organisasi yang menghalang perkembangan minda golongan sasar dan lambat laun akan ditinggalkan oleh massa seperti yang sedang dilalui oleh UMNO pada hari, untuk menutup kegagalan mereka dalam berinteraksi dengan zaman, DMI memainkan peranan untuk kesekian kalinya menjulingkan sudut pandang rakyat terhadap isu yang berlaku.
TERPINGGIRKAH INTELEKTUAL?
Menjadikan Dato’ Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin sebagai sample kajian spra matangnya, DMI telah menyimpulkan bahawa PAS telah meminggirkan para pemimpin yang mempunyai daya inteletual yang tinggi. Tanpa menafikan bahawa Dato’ Hasan adalah dari kalangan yang mempunyai daya intelek yang tinggi, pernah diberikan tempat dalam kepimpinan PAS dan pernah berbakti melalui wadah PAS, namun yang menjadi penyebab kepada pemecatan beliau bukanlah kerana beliau terdiri dari kalangan pimpinan yang punya daya intelek yang tinggi. Bariskan pimpinan PAS yang ada pada hari ini, nescaya anda akan dapati semua mereka punya daya intelek yang sesuai sebagai pimpinan, pembuat dasar bahkan sebagai pelaksana dasar yang baik dan unggul. Kalau kayu pengukur intelektual itu diukar dari sudut penulisan, ucapan dan respon terhadap isu yang berlaku, pasti akan dapati pimpinan PAS jauh meninggalkan pimpinan UMNO dari sudut-sudut keintelektual yang dibincangkan. Kalau dikatakan kepimpinan Ulama’ dipinggirkan dengan kekalahan Ustaz Nasharuddin dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PAS, ini juga adalah tuduhan dangkal, kepimpinan dalam PAS dijalankan secara kolektif, bukankah masih ramai lagi para pemimpin PAS yang berlatarbelakangkan pengajian Islam dan layak digelar sebagai Ulama’ (yang menepati ciri keilmuan, akhlak dan tindak laku harian sebagai ulama’), ahli Majlis Syura Ulama yang semua anggotanya dari kalangan para Ulama’ pula menjadi badan yang tertinggi dalam PAS yang masih menjalankan fungsinya dengan baik walaupun perlu dipertingkatkan keberkesanannya. Lalu dimanakah logiknya kesimpulan yang dibuat oleh DMI menyatakan bahawa PAS meminggirkan pimpinan yang mempunyai nilai intelek yang tinggi, DMI hanya menumpang arus untuk menyedapkan hati Dato’ Seri Najib bagi mengambarkan PAS kehilangan pengaruh dari kalangan cerdik pandai.
Pemecatan Dr Hasan dari PAS dijadikan hujah bukan sahaja oleh DMI bahkan oleh kebanyakan pimpinan UMNO. Sedarkah mereka ketika berhujah dengan hujah bodoh tahap tertinggi ini. Kalau PAS nak pinggirkan para intelektual, maka mengapa perlu PAS menerima anggota barunya dari kalangan bekas para penjawat awam yang berpangkat tinggi bahkan di kalangan bekas KSU Kementerian pun ada yang menyertai PAS. PAS menghargai golongan yang berilmu yang menyumbang kepada PAS dalam bentuk bahan fikiran dan kajian serta pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki oleh mereka.
Dr Hasan dipecat dari PAS kerana masaalah disiplin dalam berjemaah, mana ada organisasi (tak tau lah kalau UMNO sanggup menjadi organisasi dungu dan jumud) dalam dunia yang memberikan wewenang yang seluasnya kepada para anggota untuk tidak berdisiplin dalam organisasi. Dr Hasan telah mempertikai dan memperlekehkan keputusan kolektif yang diputuskan melalui mesyuarat tertinggi parti iaitu Muktamar Tahunan yang beliau salah seorang pesertanya berkaitan dasar Negara Berkebajikan, apa lagi yang anda boleh harap dari seorang yang punya ego yang tinggi sehingga membelakangkan keputusan yang dibuat oleh suara ramai, di mana ingin dilemparkan daya intelektual yang ada pada anggota yang lain yang terdiri dari pelbagai latarbelakang keilmuan yang turut serta dalam Muktamar itu untuk haya meraikan seorang intelek kurang disiplin yang bernama Hasan Ali. DMI merasakan isu ini amat berkesan, namun untuk pengkaji politik matang, mereka akan tersenyum dengan kerenah kajian spra masak yang dilakukan oleh DMI. Semoga DMI mempercayai hasil penulisan, kerana kalau mengharapkan orang yang matang kajian ini akan ditolak, kalau akhirnya DMI pun tak percaya dengan tulisannya, alangkah malangnya UMNO kerana memiliki seorang intelek yang rendah faya fikirnya. Isu Ustaz Nasha pula biarlah Majlis Syura yang memutuskan.
DATO’ SHAHNON AHMAD
Kekecewaan Dato’ Shahnon Ahmad – kononnya – dengan PAS cuba diangkat oleh DMI untuk dijadikan peluru bagi menghayunkannya kea rah PAS. “ahli seumur hidup” ini – kononnya- amat kecewa dan tidak gemar dengan reformasi yang berlaku dalam PAS. Kata-kata Dato’ Shahnon “Pada ketika-ketika tertentu, penyesalan kadang-kadang melanda hati, Mengapa gerangan aku boleh terjebak dalam jaringan politik murahan begini?” (Buku Perjalananku Sejauh Ini; Sebuah Autobiografi hal 117). Memetik pula kata-kata Dr Sohaimi “Terlalu banyak kepalsuan yang ditemui.. menjadi wakil rakyat parti pembangkang, iaitu PAS pada tahun 1999 tidak membawa banyak erti kepada kehidupannya… sebagai wakil rakyat, penglibatannya dalam perbahasan di parlimen tidak semurni dan seintelektual berbanding dalam dunia akademik, kemudian PAS pula tidak lagi diterajui oleh barisan Ulama, sehubungan itu beliau berpendapat bahawa jemaah PAS tidak lagi berpaksi kepada akidah secara total, kelemahan mula terasa dalam perjuangan PAS” (hal 214).
Dengan memetik dua perengan dari dua buah buku berlainan, DMI pun menyimpulkan bahawa PAS meminggirkan orang yang punya ilmu. Seandainya anda membaca kedua-dua buku tersebut, anda akan dapati bagaimana yang ingin diluahkan oleh Dato’ Shahnon adalah kebobrokan sistem politik Negara ini. Parlimen yang seharusnya menjadi medan perdebatan ilmiah antara para anggota telah berubah menjadi gelangang samseng “bergelar” beraksi, kata-kata lucah, ungkapan dusta bahkan kadang-kadang jawapan tidak bertanggungjawab dan penuh fakta palsu telah diungkapkan di dewan yang dianggap mulia itu. Pernah ketika beliau masih bergelar YB dan sesudah bersaranya, saya dan Almarhum Ustaz Azizi Abdullah menziarahi beliau, Dato’ Shahnon telah melahirkan rasa kesalnya kerana terjebak dalam arena parlimen yang tidak beretika. Yang menjadikan parlimen macam “pasar borong” dan tempat berhimpunnya samseng “bertauliah” adalah UMNO yang telah memperkudakan institusi parlimen. Kekecewaan Dato’ Shahnon kepada dunia politik kerana kedajalan UMNO yang telah menjadikan parlimen terlalu kotor untuk disertai oleh orang yang berjiwa lembut dan punya daya intelek seperti beliau. DMI perlu berhati-hati untuk memetik sesuatu ulasan, takut-takut akhirnya yang nampak jahat adalah UMNO seperti dalam isu yang kita sedang bincangkan ini.
ARTIS DAN SELEBRITI.
DMI telah menutup artikelnya dengan menempelak PAS kerana memberi ruang dan tempat kepada para artis yang berhijrah untuk berkongsi pentas dengan PAS, mahu ataupun tidak diakui bahawa para artis mempunyai peminat yang tersendiri dan ini disemai oleh UMNO, projek pemujaan kepada artis dan mengabaikan golongan intelek adalah budaya UMNO, mereka menghargai artis dengan tidak setakat memberikan peluang kepada para artis untuk berkarya luar dari batasan syarak bahkan mereka menyediakan pula hadiah yang lumayan kepada artis yang popular dan berjaya menghayati budaya hedonism yang melampau. Itulah UMNO.
Tiba-tiba para artis dan selebriti ini, yang mencari ketenangan hidup telah bertemu jalan pulang kepada hidayah, berpulangnya mereka kepada hidayah telah diraikan oleh PAS yang memang membuka peluang kepada semua golongan untuk berkarya melalui wadah ini, “PAS for all” termasuk untuk para artis. Seperti yang termaklum mereka punya peminat – yang sebahgiannya bukan dari sagmen pendengar ceramah PAS -, maka PAS memanfaatkan penyertaan mereka untuk berkongsi rasa tentang pandangan dan pengalaman mereka berada dalam dunia khayalan yang dijulingkan oleh UMNO, dunia hiburan yang penuh lagha itu perlu direformasikan, sementara hiburan adalah keperluan manusia, hiburan juga perlu diluruskan oleh syarak. Tidak dinafikan mereka juga mengaut manfaat dari penyertaan mereka ke dalam PAS, sebenarnya ia adalah perkongsian manfaat bersama.
Apakah dengan penyertaan mereka ke dalam PAS, maka semua para intelek PAS dipinggirkan? Tidak sesekali, mereka beraksi dipentas pertemuan dengan bakal pengundi dan golongan sasar PAS, manakala para intelek berperanan memerah fikiran untuk merangka plan pembangunan Negara apabila Malaysia ditadbir oleh Pakatan Rakyat dengan tidak meminggirkan hasrat dan matlamat penubuhan PAS untuk menyempurnakan ketaqwaan kepada Allah dan berbakti kepada sesama manusia.
Perkongsian mereka dari pengalaman hidup dalam dunia yang penuh noda dan dosa ke alam perjuangan membela dan menegakkan agama sedikit pun tidak merubah dasar PAS dan sesekali tidak mempengaruhi para pimpinan yang bijak untuk membuat sesuatu tindakan. Mereka sebahagian dari ahli PAS yang akan dimanfaatkan kelebihan masing-masing untuk manfaat perjuangan menegakkan agama Allah SWT.
Apapun, jauhnya mereka dari hidayah kerana dilamun dengan “indahnya” hidup dalam dunia khayalan berpunca dari peranan yang dimainkan oleh UMNO untuk melaghakan mereka, dan berpulangnya mereka kepada hidayah telah diberikan nafas perjuangan oleh PAS.
Demikian coretan yang bernoktahnya dengan kecelaruan fikiran pimpinan UMNO dan BN yang dalam hal ini diwakili oleh DMI.
09.09.2012 / 05.34 pagi
Derang Permai, Kedah Sejahtera.
No comments:
Post a Comment