Oleh Shahbudin Husin
Undang-undang anti lompat yang mahu diperkenalkan di Pulau Pinang tiba-tiba mendapat serangan berterusan daripada UMNO. Hasrat DAP mahu menguatkuasakan undang-undang itu disifatkan bertentangan dengan hak, kebebasan dan demokrasi. Tun Mahathir juga turut mengecam DAP sambil menyifatkan ianya bertentangan dengan kebebasan yang diperjuangkan oleh parti itu sendiri.
Suatu ketika, UMNO pernah berhasrat mahu menguatkuasakan undang-undang itu tetapi membatalkannya di saat akhir. PBS kemudiannya cuba menguatkuasakan undang-undang itu tetapi dibatalkan oleh mahkamah kerana dianggap bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Kerana adanya kebebasan melompat itulah akhirnya kerajaan PBS Sabah tumbang apabila beberapa ADUN Sabah bertindak menyertai UMNO.
Di Perak pada tahun 2009, UMNO berjaya merampas negeri itu daripada PR apabila tiga ADUN melompat parti dan menyokong BN.
Hakikatnya, kerajaan Sabah sekarang adalah warisan aksi lompat parti kerana jika tidak kerananya, tidak tahu bagaimana nasib UMNO di negeri itu. Di Perak pula, pilihanraya kali ini akan menentukan kerajaan lompat ini terus direstui rakyat atau sebaliknya.
Di dalam UMNO dan BN pula, begitu ramai mereka yang melompat parti sekarang ini. Mereka inilah kadangkala yang lebih bising dan banyak bersuara berbanding yang lainnya. Pegamal politik katak ini sentiasa inginkan perhatian. Kadangkala sebahagian daripada kecelaruan politik Malaysia adalah disebabkan wujudnya mereka ini.
Walaupun UMNO banyak mendapat manfaat daripada aksi lompat ini, mereka juga pernah cemas dalam peristiwa 16 Setember apabila Anwar menguar-uarkan beberapa Ahli Parlimen akan melompat parti dan menyebabkan BN tumbang sehingga Najib bertindak melaksanakan misi membawa beberapa orang Ahli Parlimen melancong ke Taiwan.
Sehingga ini Anwar terus dikecam dalam isu 16 September dan kaitan dengan lompat parti walaupun hakikatnya UMNO lebih meraih manfaat dan banyak mempraktikkannya berbanding PR.
Ketika ini di Sabah, isu lompat kembali bergema kembali setelah Lajim Ukin dan Wilfred Bumburing keluar BN dan menubuhkan parti baru untuk bersama-sama dengan PR dalam pilihanraya akan datang. Lajim juga memberitahu sekurang-kurangnya tiga lagi pemimpin Sabah akan melompat parti dalam waktu terdekat ini.
Dalam senario ini, UMNO sepatutnya bimbang dan sekurang-kurangnya menyokong hasrat Pulau Pinang melaksanakan undang-undang itu. Malangnya DAP dikecam pula. UMNO nampaknya selesa dengan amalan lompat ini.
Seperti yang diakui semua pihak, kedudukan BN dan PR juga hampir seimbang menjelang pilihanraya umum akan datang ini. Jika BN terus kekal, mereka hanya mampu menang tipis saja. Begitu juga dengan PR. Dalam keadaan begitu, isu lompat parti mungkin menjadi isu kembali selepas pilihanraya nanti.
Pengamal polisi "I, me, myself" dalam politik akan menjadi kelompok pertama mengaut habuan dan bertindak melompat parti. Golongan ini tiada nilai perjuangan dan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri sahaja. Apa saja yang boleh menguntungkan diri sendiri, itulah perjuangan mereka.
Keadaan menjadi lebih parah jika berlaku kedudukan Parlimen tergantung dan kedua-dua pihak, BN dan PR, tidak dapat menubuhkan kerajaan serta perlu melakukan proses rundingan dengan beberapa pihak terlebih dahulu. Dalam keadaan ini, kelompok "I, me, myself" tentunya menjadi kelompok paling meriah dan saling berebut menaikkan harga pasaran untuk dibeli.
Jika UMNO pernah cemas dalam peristiwa 16 September tetapi menjelang pilihanraya umum ini, UMNO nampaknya tidak gelisah lagi dengan isu lompat parti ini. Malahan mungkin kerana adanya kebebasan melompat parti inilah yang akan menyebabkan BN terus kekal berkuasa selepas pilihanraya nanti.
Sebagai parti yang telah berkuasa lebih 50 tahun, prasarana UMNO dalam hal ini adalah suatu kelebihan. UMNO mempunyai lebih keupayaan berbanding PR untuk membeli dan melakukan tawar-menawar. Syarikat gergasi dan tauke-tauke besar juga bersama mereka dan bila-bila masa saja boleh melaksanakan misi tersebut jika diminta oleh UMNO.
Secara prinsipnya tindakan melompat parti adalah perbuatan tidak bermaruah dan melanggar prinsip kepercayaan yang diberikan oleh pengundi. Inilah pegangan DAP dan Anwar sendiri bersifat memahami pendirian kerajaan Pulau Pinang mengenainya. Beliau ok dan tidak menentangnya. Tetapi UMNO secara terbuka menentangnya.
Kecaman UMNO yang berterusan terhadap undang-undang anti lompat ini menyerlahkan hakikat bahawa UMNO amat bergantung padanya. UMNO seperti mahu rakyat menerima perbuatan melompat parti sebagai sesuatu yang biasa dalam norma berpolitik.
Apakah ini bermakna UMNO dan BN hanya mengharapkan bantuan aksi katak untuk terus kekal berkuasa selepas pilihanraya umum nanti setelah segala taburan janji dan transformasinya selama ini gagal memikat hati rakyat?
No comments:
Post a Comment