Saturday, September 1, 2012

Pohon Rumah KEDA sampai sekarang tiada maklum balas..!!!

Tidur di ruang tamu, mohon PPRT tiada maklum balas
Wartawan Sinar Harian
2 September 2012
Tidur di ruang tamu, mohon PPRT tiada maklum balas
Pintu rumah yang didiami 12 sekeluarga ini hanya ditutup menggunakan zink.
 
PENDANG - Seorang bapa di Kampung Pida 5 di sini, terpaksa menumpang rumah ibu bapanya selama tiga tahun kerana permohonan bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dari Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), tidak mendapat maklum balas.

Abu Bakar Salleh, 39, berkata, pekerjaannya sebagai penjaga kolam udang menyebabkan dia tidak mampu membina rumah sendiri.

Menurutnya, pendapatannya hanya digunakan untuk menguruskan perbelanjaan seharian dan menyara tujuh anak yang mana lima daripadanya masih bersekolah.

“Selama tujuh tahun saya membuat permohonan PPRT ini namun, sehingga kini pihak terlibat tidak memberikan apa-apa respons mengenainya dan kali terakhir adalah tahun lepas tetapi masih tiada tindakan.

“Ruang tamu menjadi tempat tidur kami sekeluarga dan terpaksa berhimpit kerana rumah ini kekurangan bilik memandangkan bilik yang sedia ada hanya untuk adik saya yang mengalami masalah Sindrom Down,”  katanya kepada Sinar Harian.

Abu Bakar berkata, pihak berkenaan ada datang membuat tinjauan namun, usaha itu hanya terhenti dan menyepi tanpa khabar berita.

“Saya berasa malu disebabkan terpaksa membuat permohonan berkali-kali kepada pihak berkenaan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini sendiri.

“Memandangkan anak-anak sedang membesar saya memerlukan tempat berlindung untuk memberikan keselesaan kepada mereka,” katanya.

Difahamkan, seorang daripada anaknya terpaksa dibawa untuk berjumpa doktor pakar kerana mempunyai masalah berat badan tidak naik.

Sinar Harian cuba mendapatkan keterangan daripada Keda namun,  gagal dihubungi buat masa ini.

1 comment:

  1. pida 5 ni kat Air Hitam, area2 Megat Dewa dan Tunjang Jitra, bkn dlm daerah Pendang, mintak admin perbetulkan kesilapan ni.

    ReplyDelete