Saturday, September 17, 2011

Nelayan mohon bantuan rumah


DULANG BESAR – Enam beranak terpaksa tinggal di sebuah rumah yang hanya menunggu masa untuk roboh berikutan kemiskinan hidup.

Muhammad Subri Manaf, 37, berkata, dia yang hanya bekerja sebagai nelayan tidak mempunyai kewangan yang cukup bagi membina mahupun membaiki rumah yang didiami mereka sekeluarga.

“Rumah ini pun kami bina di atas tanah peninggalan arwah nenek, tetapi memandangkan kami tidak mempunyai tanah sendiri kami membina rumah ini, rumah ini pun saya yang bina sendiri.

“Kalau hujan ataupun ribut sahaja, bumbung rumah pasti di angkat angin, hujan pun akan masuk ke rumah, bukan itu sahaja, dinding pula semakin hari semakin besar rekahannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, dengan pendapatan yang tidak menentu dan RM400 sebulan, dia tidak mampu untuk memberikan sebuah rumah yang selesa untuk isteri dan anak-anaknya.

“Saya hanya nelayan, jika hujan ribut memang tidak ke laut, tetapi kadang-kadang memandangkan kami perlukan duit saya turun juga ke laut untuk mencari rezeki buat isteri dan anak-anak, kalau nak tambah rumah lagi tidak mampu.

“Makin lama, dinding makin turun maklum lah rumah dibina hanya sekadar yang kami mampu, kadangkala timbul kebimbangan kalau rumah ini runtuh, di mana lagi kami nak tinggal, dengan anak-anak yang masih kecil kami tidak tahu ke mana lagi nak tinggal,” katanya.

Subri berkata, dia yang juga menghidap penyakit asma tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain bekerja sebagai nelayan dan terpaksa menanggung tiga anak yang masih bersekolah.

“Dulunya saya pernah menghantar permohonan untuk membaiki dan membina rumah baru, tetapi sehingga sekarang saya masih belum menerima sebarang jawapan.

“Bukannya apa, makin lama anak-anak semakin membesar dengan keluasan rumah ini ia tidak dapat menampung kami enam beranak,” katanya.

Menurutnya, setakat ini dia hanya menerima bantuan daripada pejabat zakat pada setiap bulan berupa barang keperluan harian seperti beras, sardin dan makanan lain.

“Saya berterima kasih kepada pejabat zakat yang membantu kami dan dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Bagi sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan berupa peruntukkan untuk membina rumah dan bantuan lain boleh menghubungi Muhammad Subri menerusi talian 019-5549736.

No comments:

Post a Comment