Wednesday, December 7, 2011

Exco Pelancongan alu-alukan penganjuran LIMA

ALOR SETAR, 7 Disember – Penganjuran Pameran Udara dan Miritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 yang diadakan dua tahun sekali merupakan acara peringkat Kementerian Pertahanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, YB. S. Manikumar berkata, LIMA 2011 menjadi salah satu penganjuran yang amat baik kepada sektor pelancongan.

“Ini turut menjana pendapatan beratus juta ringgit terutama dari segi sektor perhotelan, penerbangan, maritim dan industri-industri yang bersangkutan dengan penganjuran itu,” ujarnya.

Menurutnya, acara seperti itu perlu diteruskan dan Kerajaan Negeri sentiasa memberikan komitmen serta kerjasama terhadap penganjuran LIMA di Langkawi.

“Penganjuran LIMA di Langkawi merupakan salah satu kejayaan kepada sektor pelancongan dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri serta membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 403 syarikat pempamer dari 35 buah negara menjadikan LIMA 2011 terbesar pernah dianjurkan sejak diperkenalkan pada tahun 1991.

“Seramai 404 delegasi mewakili angkatan tentera dan industri pertahanan dari 52 buah negara dijemput menghadiri pameran sempena LIMA 2011,” jelasnya.

Tambahnya, lebih 80,000 pengunjung perdagangan dan awam hadir sepanjang penganjuran LIMA 2011 yang diadakan dari 6 hingga 10 Disember 2011.

No comments:

Post a Comment