Tuesday, December 20, 2011

Tiga Amil cemerlang dari Yan menerima sijil penghargaan

YAN - Seramai tiga amil cemerlang dari Daerah Yan yang berjaya mengutip kutipan zakat paling banyak pada tahun ini menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Setiausaha Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Ghazali Yaakob.

Majlis penyampaian itu diadakan bersempena Kursus Amil Zakat Padi Peringkat Daerah Yan yang diadakan di D’Yan Chalet, Peranginan Titi Hayun, di sini.

Tiga amil cemerlang berkenaan ialah Encik Ishak Yaakob yang berjaya mengutip kutipan zakat sebanyak RM41,720 manakala Encik Abd Mutalib Hussin (RM41,261) dan Encik Ali Bashah Othman (RM34,065).

Dato’ Syeikh Ghazali dalam ucapannya berkata, peranan setiap amil amat penting dalam usaha membantu Jabatan Zakat Negeri Kedah untuk mengutip zakat pada setiap tahun.

“Kita amat menghargai peranan dan sumbangan yang diberikan oleh setiap amil yang dilantik oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah di setiap daerah di negeri ini,” ujarnya.

Menurutnya, seramai 13,000 kakitangan kerajaan yang bekerja di negeri Kedah turut membayar zakat kepada Jabatan Zakat Negeri Kedah.

“Di samping itu, kita juga turut menerima pembayaran zakat daripada 3,000 kakitangan kerajaan di negeri Kedah di samping 2,000 kakitangan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok,” katanya.

Beliau memberitahu, tanah zakat dalam Daerah Yan ialah sebanyak 330 relung manakala zakat tanah bendang dalam negeri Kedah ialah sebanyak 650 relung.

“Jumlah kutipan zakat padi yang berjaya diperolehi pada tahun ini ialah sebanyak RM907,000 tetapi jumlah kutipan zakat padi yang sepatutnya diperolehi ialah sebanyak RM3.4 juta,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Yan, Zahari Ismail.

No comments:

Post a Comment