CourtMS1

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar menetapkan 21 Februari ini sebagai tarikh akhir untuk plaintif kes Madrasah Salihiah menyerahkan afidavit balas terhadap afidavit yang dikemukakan dua defendan sebelum ini.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nabisha Ibrahim menetapkan tarikh itu pada sesi pengurusan kes semalam bagi membolehkan semua pihak terbabit memfailkan dokumen sokongan masing-masing sebelum menetapkan tarikh untuk sebutan kes berkenaan.
Ahli jawatankuasa Madrasah Salihiah Kanchut, Jamludin Murad, 67, memfailkan permohonan injuksi dengan menamakan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (Maik) selaku pemegang amanah wakaf bagi tanah berkenaan sebagai defendan pertama, Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar (defendan kedua) dan Kerajaan Negeri (defendan ketiga).
Permohonan itu dibuat untuk menghalang defendan kedua dan ketiga melalui apa cara sekalipun untuk mengosongkan tanah berkenaan atau meruntuhkan Madrasah Salihiah.
Jamludin turut membuat pengindorsan tuntutan melibatkan deklarasi bahawa keputusan fatwa yang dibuat pada 4 Julai 2011 adalah terbatal dan tidak sah manakala deklarasi keputusan fatwa pada 21 Jun 2010 adalah sah serta mengikat, kos, apa-apa perintah oleh Mahkamah Tinggi untuk sebutan semula kes itu bagi menghalang perobohan Madrasah Salihiah oleh ketiga-tiga defendan itu.
Plaintif diwakili peguam Ahmad Rusydi Md Nor dan Adnan Seman alias Abdullah manakala Maik diwakili Tetuan Omayah, Nawal dan Partners, Kerajaan Negeri dan Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Anas Ahmad Zakie.
Ahmad Rusydi ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, kes masih di peringkat pengurusan dan sekiranya semua proses dokumentasi lengkap, mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan pada 21 Februari ini.
“Plaintif akan failkan beberapa pindaan yang diserahkan pada tarikh sama. Proses pengambilan tanah sudah selesai tetapi plaintif mempertikaikan proses pengambilan tanah itu. Atas dasar itu, kita failkan writ saman,” katanya.
Pengerusi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS), Mansor Ahmad turut hadir memberi sokongan dan meminta semua pihak menunggu keputusan mahkamah serta tidak mengeluarkan arahan mengosongkan bangunan madrasah selagi kes belum selesai.
Sebelum ini, Jawatankuasa Madrasah Salihiah mengemukakan permohonan injuksi dan saman interim pada 5 dan 19 Januari lalu bagi menghalang proses meroboh dan pengambilalih tanah wakaf khas Madrasah Salihiah oleh Pentadbir Tanah Kota Setar.