Wednesday, February 1, 2012

Tu diaa.. Sapa suruh Hangpa Tak Jaga Kebersihan... lanie sapa yg kena tanggung...??

MDPT tutup pasar sehari kotor
NURUL FATIHAH SULAINI
1 Februari 2012
Setiausaha-MDPT,-Abdul-Gafar

ALOR SETAR - Kesal sikap sambil lewa peniaga yang mengabaikan kebersihan, Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) mengambil langkah tegas menutup sementara operasi perniagaan di Pasar Sehari Pekan Naka selama dua minggu.

Setiausahanya, Abdul Gafar Yahya berkata, penutupannya akan berkuatkuasa mulai 5 Februari hingga 18 Februari ini untuk memastikan kerja pembersihan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Menurutnya, sebelum ini mereka sudah memberi peluang lebih setahun kepada pengurusan Koperasi Pasar Sehari Pekan Naka untuk membersihkan kawasan berkenaan namun tiada sebarang perubahan.

“Kita terpaksa bertindak demikian selepas mengambil kira pandangan masyarakat serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Padang Terap mengenai tahap kebersihan di pasar itu tidak memuaskan.

“Paling membimbangkan apabila terdapat 46 kes demam denggi dan 20 kes kencing tikus pada tahun lalu dilaporkan di daerah ini. Sebanyak 16 kes demam denggi berlaku di kawasan Naka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu Abdul Gafar berkata, dalam tempoh sebulan tahun ini, PKD Padang Terap menerima laporan enam kes demam denggi berpunca dari kawasan persekitaran kotor serta tercemar.

“Kita akan mengarahkan pengurusan pekan sehari terbabit melaksanakan semua kerja pembersihan dalam tempoh penutupan berkenaan sehingga keadaan menjadi bersih serta selesa.

“Selepas tempoh itu, MDPT bersama PKD akan memeriksa tahap persekitaran pasar sehari berkenaan sebelum memberi kebenaran operasinya diteruskan. Kita juga akan membuat pendaftaran semula peniaga,” katanya.

Selain pekan sehari itu, MDPT merancang melakukan proses yang sama kepada pengurusan Pasar Sehari Kuala Nerang sehingga tahap kebersihannya dipulihkan.

“Peniaga pasar sehari dinasihatkan mematuhi arahan untuk kebaikan bersama dan sekiranya ingkar mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk lesen dibatalkan dan tidak dibenarkan menjalankan perniagaan di daerah ini.

“Mungkin ramai peniaga silap faham, caj yang dikenakan RM3 hanya untuk sewa tapak bukan termasuk kos pembersihan tempat perniagaan kerana mereka perlu bertanggungjawab membersihkan tapak masing-masing selepas beroperasi,” katanya.

Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar menjaga kebersihan, MDPT bekerjasama dengan Pejabat Agama Daerah Padang Terap mengedarkan khutbah Jumaat kepada semua masjid dalam daerah berkenaan yang akan dibacakan kepada jemaah masjid.

“Kita harap semua pihak termasuk parti politik, persatuan, badan bukan kerajaan akan beri sokongan,” katanya.

No comments:

Post a Comment