leh MOHAMED HANIPA MAIDIN
PEMAIN bowling negara, Noor Afizal Azizan terselamat daripada hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya bagi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskannya perintah berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikat jamin RM25,000 kerana merogol gadis bawah umur. Dengan keputusan itu Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman 5 tahun penjara yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Melaka.
Mahkamah Sesyen Butterworth pula mengenakan hukuman berkelakuan baik selama tiga tahun ke atas jurueletrik Chuah Guan Jiu setelah mahkamah mendapati beliau bersalah kerana melakukan rogol ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun.
Kedua-dua kes tersebut kini mendapat perhatian hangat. Rata-rata ramai orang yang berpendapat hukuman ke atas dua-dua perogol tertsebut adalah terlalu ringan mengambil kira usia mangsa yang terlibat.
Sebelum saya komen lanjut kita perlu terlebih dahulu memahami serba sedikit isu tersebut dari sudut undang-undang.
Perkara pertama kedua-dua kes tersebut melibatkan kes rogol statutori. Rogol statutori adalah perbuatan merogol mangsa yang berumur 16 tahun ke bawah.
Secara umumya perbuatan zina antara dua lelaki dan wanita secara rela bukan termasuk dalam kategori rogol.
Namun jika perbuatan zina melibatkan gadis yang berumur kurang 16 tahun ia adalah dikira jenayah rogol meskipun ianya dilakukan dengan kerelaan wanita tersebut.
Perkara kedua yang pembaca perlu tahu adalah hukuman ke atas jenayah rogol. Dalam Kanun Keseksaan kesalahan rogol termasuk rogol statutori boleh dikenakan hukuman penjara dan sebatan.
Kalau begitu, pembaca mungkin bertanya, mengapakah kedua- dua perogol di atas tidak dikenakan hukuman penjara atau hukuman sebatan?
Jawapan kepada soalan tersebut adalah hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan rogol bukanlah hukuman mandatori. Secara mudah hukuman penjara dan hukuman sebatan bukanlah wajib.
Mahkamah masih boleh mengenakan hukuman berkelakuan baik (bind over) ke atas perogol jika mahkamah berpendapat wujudnya faktor-faktor meringankan (mitigating factors) .
Faktorfaktor meringankan ini antaranya faktor pengakuan bersalah. Ketiadaan rekod jenayah yang lampau, usia pesalah, kekesalan pesalah dan beberapa faktor lain.
Sebelum seseorang hakim menjatuhkan hukuman pihak pendakwa dan pihak peguambela tertuduh diberi peluang untuk berhujah bagi meyakinkan mahkamah hukuman apa yang sesuai dikenakan ke atas pesalah.
Seperti biasa pihak pendakwa akan meminta hukuman yang keras (deterrent) manakala peguambela akan berusaha meminta hukuman ringan dikenakan.
Kesimpulannya meskipun kesalahan rogol adalah satu kesalahan berat namun undang-undang masih memberikan ruang budibicara ke atas hakim bagi mengenakan hukuman sesuai ke atas perogol.
Dalam hal ini, meskipun kita mungkin susah untuk menerima hukuman berkelakuan baik tersebut namun jika kita melihat isu ini dari perspektif undang-undang yang saya terangkan di atas keputusan hakimhakim tersebut bukanlah satu keputusan yang pelik di sisi undang-undang.
Soal saya setuju atau tidak setuju dengan hukuman ke atas dua-dua perogol tersebut adalah satu perkara lain.
Namun, untuk berlaku adil kepada hakim-hakim yang membuat keputusan ke atas kes-kes tersebut apa yang mereka lakukan adalah masih dalam kerangka dan ruang lingkup undang-undang. Undang- undang membenarkan mereka menggunakan budi bicara mereka.
Memang agak sukar untuk menerima hukuman ringan ke atas pesalah rogol.
Reaksi orang ramai sama ada orang Islam atau bukan Islam, lelaki atau perempuan yang tidak selesa dengan hukuman ringan tersebut menunjukkan bahawa perbuatan rogol ke atas kanak-kanak tersebut adalah dibenci.
Kesalahan rogol ke atas gadis berumur kurang 16 tahun jika dengan kerelaan kedua-dua pihak hakikatnya adalah satu kesalahan zina dari persepektif Islam.
Perbezaan asas undangundang jenayah Islam dan undang-undang manusia adalah di dalam Islam bagi kesalahan yang termasuk dalam kategori hudud, hakim tidak diberikan peluang menggunakan budibicaranya.
Hukuman hudud termasuk dalam hukuman mandatori kerana ianya melibatkan huququllah (hak-hak Allah).
Sebagai contoh jika seseorang didapati bersalah melakukan zina tanpa apaapa keraguan maka hakim tidak ada budi bicara untuk menjatuhkan hukuman lain selain hukuman yang Allah tetapkan.
Jika pesalah zina belum berkahwin (ghayr muhsan) maka hukuman mandatori adalah hukuman sebatan 100 rotan dan jika dah berkahwin (muhsan) hukuman mandatori adalah hukuman rejam.
No comments:
Post a Comment