(Ketua Penerangan PAS Kuala Kedah)
Membaca, meneliti dan menghadam tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan tajuk “Politik kita memang caca merba” yang disiarkan oleh Malaysiakini.com dan Drmaza.com mengamit saya untuk memberi komentar ringkas terhadap tulisan tersebut dengan pengakuan bahawa beliau tetap dihormati dengan nilaian ilmu yang ada padanya dan juga kehebatan beliau dalam menganalisis isu serta keberanian beliau dalam melontarkan pemikiran baru untuk dihadamkan oleh masyarakat umum dengan gaya amat kritikal, bernas, mencabar minda dan membentuk pemikiran dalam masyarakat samaada yang pro mahupun kontra.
Ulasan ini akan dibuat dalam bentuk point demi point berdasarkan kepada isu yang dilontarkan oleh beliau melalui artikel yang dimaksudkan.
1. Dr Maza memulakan tulisannya dengan meletak tajuk “politik kita memang caca marba”, saya bersetuju dengan tajuk yang diberikan oleh Dr Maza, bahkan ulasannya tentang politik yang seharusnya berasaskan kepada minda dan tawaran khidmat pengurusan yang baik sememangnya menjadi hasrat semua ahli politik yang berkecimpung dalam medan politik dengan hasrat untuk “menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama”.
Inilah nilai politik yang telah diperjuangkan oleh para pendahulu zaman kita yang memperkenalkan politik berasas kepada idealogi perjuangan yang mantap, namun kemurnian hasrat ini telah diperkosakan oleh para pemain dunia politik terkemudian apabila menafikan hak dan ruang untuk mengemukan pandangan dari kalangan pihak yang tidak bersama dengan pemerintah hatta melalui media yang dimiliki oleh kerajaan yang kos pengoperasiannya dijana dari hasil yang dikutip dari rakyat.
Bahkan media kerajaan telah dijadikan sebagai bilik operasi penerangan dan perang saraf parti pemerintah, pelbagai fitnah, rekaan cerita dan manipuasi berita telah dirasmikan dan diberikan liputan yang maha hebat di media pemerintah, berita sebuah ngo yang hanya dianggotai oleh beberapa kerat insan yang entah apa hulu tuju perjuangan menghantar replika “taik” kepada seorang ahli politik yang berstatus “ummatud dakwah” telah disensasikan dan digambarkan seakan-akan sebagai tanda meluatnya seluruh rakyat Pulau Mutiara kepada pemimpin tersebut, demostrasi kepala lembu dan penghinan kepada gambar TS Khalid Ibrahim telah diberikan liputan bahkan sanjungan oleh media yang dimiliki oleh kerajaan, berita dusta tentang hasrat kerajaan Negeri Kedah yang melaksanakan konsep “wakaf istibdal” dari surau Solihiah kepada sebuah surau yang lain telah diputarkan sebagai projek mega Kerajaan untuk meruntuhkan surau, bahkan digambarkan seolah-olah projek utama Kerajaan dalam pentadbirannya adalah untuk meruntuhkan surau, hasrat murni kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud yang telah diwartakan sejak sekian lama diputarkan oleh media, sehingga para sarjana pun turut terperangkap berbicara tentang beberapa ceraian dalam enakmen tersebut tanpa meraikan hasrat Kelantan yang telah cuba untu menyelesaikan problem ummah melalui tawaran penyelesaian ilahi yang ditawarkan oleh Al Quran.
Demostrasi punggung yang dibuat oleh sekumpulan anak tua telah juga diraikan oleh media bahkan liputan setaraf lawatan Perdana Menteri ke sesebuah negeri. Demikianlah media kerajaan telah dikhianati oleh Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan urusan “penerangan” dengan didokong oleh parti yang memerintah.
Reaksi dari nilai buruk yang telah disensasikan dan diberikan publisiti oleh media itulah yang menyebabkan sebahagian “rakyat” yang merasa tertindas telah bangun melakukan aksi yang “mungkin” sama sebagai manifestasi penentangan mereka kepada ketidakadilan yang dilakukan media. Benar kata Dr Maza “Politik kita memang caca marba”, namun yang mencaca marbakan politik kita adalam parti pemerintah UMNO/BN. Semoga Dr Maza bersepakat dengan saya tentang ini.
2. Menyentuh berkenaan kesopanan dan disiplin dalam kehidupan, tidaklah segala-galanya harus dipolitikkan. Bahkan, dalam peperangan sekalipun ada apa yang dinamakan adab-adabnya. Para seteru di medan politik seharusnya menjaga disiplin dalam berpolitik. Saya bersetuju disiplin dan adab perlu dikawal dan dijaga kerana adalah ajaran agama yang murni ini. Namun noktah penting yang seharusnya diberikan perhatian juga adalah berkaitan meletakkan hukum umum kepada tindakan yang dilakukan oleh segelintir penyokong,- yang bukannya dengan arahan dan keputusan parti - .
Sikap dan tindakan itu dilakukan hasil dari provokasi minda yang dilakukan oleh media, kesalahan dan kesilapan dalam berdisiplin ini tidaklah seharusnya menjebakkan kita untuk menyalahkan seluruh organ parti dan menjadi asas untuk bersikap dingin terhadap sesuatu parti. Dr Maza ! Politik kita sudah tidak berdisiplin kerana parti pemerintah kita telah tidak berdisiplin dalam melayarkan bahtera pemerintahan di Malaysia yang kita cintai ini.
3. Fatwa artis juga dijadikan sub tajuk dalam tulisan Dr Maza, saya bersangka baik tentang niat murni Dr Maza dalam melakukan pencerahan kepada pihak yang meraikan dan memberi peluang kepada artis yang berhijrah. Namun, saya rasa Dr Maza tersilap – dengan perasaan husnuzzan kepada beliau – dalam menilai sehingga menghukum para penganjur hanya menjadikan “rupa dan penampilan” sebagai modal untuk menarik para peserta program. Artis lelaki atau yang kurang comel tidak diberikan tempat dan bayaran yang baik. Artis pula disebutkan telah memberi fatwa dan diberikan tahap kesarjaan oleh penganjur –kononnya- .
Namun realitinya yang sedang berlaku dipentas politik sekarang ini, hanya beberapa orang artis sahaja yang berhijrah dan berada di pentas PAS, semua mereka diberikan tempat dan diterima di pentas-pentas PAS. Mereka tidak diberikan autoriti untuk berbicara tentang agama sebagai “agamawan”, bahkan ulasan mereka tentang politik pun tidaklah sampai dijadikan sebagai “dasar” dan manifesto parti.
Kebanyakan artis-artis ini menjadikan pentas PAS untuk mengajak para pendengar – yang sebahagiannya adalah sagmen baru dalam ceramah-ceramah PAS – untuk berkongsi pengalaman lagha mereka – yang kebetulannya didokong penuh oleh parti pemerintah (sebagai contoh aksi berahi dan seksi disiarkan melalui majalah Mangga yang dimiliki oleh sayap perniagaan parti UMNO) - dan juga berkongsi tentang bagaimanakah mereka boleh bertemu dengan jalan pulang, mereka juga menyebut bahawa berada di pentas PAS untuk berceramah hanyalah sementara untuk meniupkan kesedaran tentang peri pentingnya industri hiburan kita direformasikan dan diberikan suntikan hidayah.
PAS tidak memerlukan fatwa dari mereka, kerana PAS punya Majlis Syura Ulama untuk berbincang tentang persoalan hukum. Namun, PAS berikan pentas kepada mereka sebagai medan untuk mereka mengajak para peminat – yang mahu ataupun tidak perlu diakui mereka punya peminat tersendiro – kembali kepada hidayah dan menyatakan harapan berkaiatan suasana industri hiburan yang diimpikan supaya selari dengan syariah, InsyaAllah.
Ya, kami akui mereka bukanlah ahli ilmu, namun rasanya – mudah-mudahan – mereka bukan golongan Ruwaibidhah, kerana yang diajak oleh mereka adalah kearah kesedaran dan pentas itu dijadikan sebagai medan untuk berpatah balik dari dunia yang penuh lagha.
Tidak salah berkongsi rasa dan pengalaman – sebagaimana yang dikatakan oleh Dr dan sebagaimana yang berliau berikan pentasnya untuk dikongsi bersama oleh Sham Kamikaze – namun setiap orang perlu mengetahui kadar pengetahuannya, dari itulah kami berikan ruang untuk mereka berkongsi dan bercakap tentang dunia mereka yang amat mempengaruhi dunia anak muda pada hari ini.
Komen Dr Maza bahawa hanya “rupa dan penampilan” amat menguris hati kami seakan-akan kami menjual rupa dan penampilan, sebenarnya kami mengambil kesempatan atas pengaruh – yang dibina dan dibajai oleh media UMNO hasil dari penjulingan makna hiburan yang dilakukan – yang dimiliki oleh para artis ini untuk mengajak manusia kembali kepada fitrah.
Saya sengaja tidak memberi respon kepada tajuk “Ustaz Muda” kerana itu berkaitan dengan para Ustaz ILMU yang tidak berkaitan dengan parti yang saya sertai dan berjuang untuk tegakkan Islam melalui wadah ini. Maafkan saya Dr Maza, kita tidak serupa pandangan dalam perkara ini di dunia yang “macam-macam ada” ini,
No comments:
Post a Comment