Sunday, September 9, 2012

HALAL kah serangan PERKASA di Masjid tempohari..???

Peristiwa Perkasa menyerang Anwar di masjid
Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Perkasa buat kecoh lagi di Alor Setar. Kali ini mereka cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari menyampaikan tazkiroh di Masjid Al-Husin, Seberang Pumpong. Punca kontroversi yang tercetus tentulah kerana penyampai tazkirohnya adalah Anwar. Jika yang berceramah itu Presiden Umno, Perkasa atau mana-mana yang sefikrah dengannya tidak akan peduli.

Anwar yang berada di Kedah adalah dalam siri lawatan ke seluruh negara dalam program Jelajah Merdeka Rakyat. Dari awal pihak penganjur membuat tentatif supaya Anwar menyampaikan kuliah di masjid Al-Husin. Pihak khariah berbelah bahagi untuk membenarkan Anwar bertazkiroh atau tidak.

Pihak yang tidak bersetuju bukan kerana menentang Anwar PR tetapi kerana mahu mengelak dari tercetusnya kontroversi di masjid maklumlah sepanjang pengalaman Anwar beliau akan diganggu gugat di mana sahaja berucap. Bagaimanapun imam masjid dilaporkan bersetuju membenarkan Anwar menyampaikan tazkiroh, mungkin kerana tahu bekas Timbalan Perdana Menteri itu tahu batasan apabila berucap dalam masjid.



Rupanya kumpulan Perkasa telah bersedia dari awal untuk menghalang. Dari petang mereka sudah mengangkat sepanduk menentang program tazkiroh Anwar. Selepas Maghrib, sebaik beliau mula memegang mikrofon kumpulan Perkasa pun bertindak agresif. Bagai dirasuk syaitan kumpulan ini menyerbu masjid untuk memaksa Anwar berhenti memberikan tazkiroh. Biadapnya pengikut mereka menerjah masuk ke rumah Allah macam samseng, memekik dan melolong. Mereka menutup pembesar suara dan memadamkan lampu berulangkali.

Pelbagai kata kesat dihamburkan, semuanya terakam dalam video yang telah tersebar ke seluruh dunia melalui You Tube. Mereka menghalakan pembesar suara (loud hailer) ke dalam masjid mengherdik Anwar dan membunyikan siren dengan kuat. Lebih liar lagi kasut dibaling masuk ke dalam masjid. Hampir saja kasut itu mengena Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang turut berada di situ.

Gelaran untuk masjid ialah Rumah Allah tempat yang dianggap paling mulia dalam Islam. Hanya duduk beriktikaf dalam masjid tanpa berbuat apa-apa sudah diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT apatah lagi memakmurkannya dengan amal ibadah.

Orang yang tidak bersuci dari hadas besar diharamkan memasukinya, walaupun ada khilaf membenarkan bukan Muslim memasukinya tanpa niat jahat. Setiap orang Islam yang ingin masuk ke masjid dituntut supaya memulakan dengan bersolat Tahiyatulmasjid. Membaca Al-Quran dengan kuat di dalam masjid sehingga mengganggu orang yang sedang bersolat sekalipun tidak dibenarkan apatah lagi menguatkan suara terhadap orang lain.

Jika berlaku peperangan, musuh Islam yang berlindung dalam masjid haram diserang atau dibunuh. Demikianlah Rumah Allah dimuliakan. Tetapi Perkasa (yang sering dianggap Sayap samseng Umno) berperangai macam orang yang tidak kenal Rumah Allah dan tidak tahu adab bila berada di masjid.

Mengapa kumpulan itu bertindak bagai orang hilang akal? Alasan yang mereka berikan ialah Anwar tidak bertauliah. Mereka mahu menghalang masjid dari disalahgunakan untuk tazkiroh politik oleh individu tidak bertauliah. Sewaktu diserang Anwar baru memulakan ucapan. Kata-katanya belum pun difahami dengan jelas, bagaimana pula beliau sudah dihukum kerana memberi ucapan politik? Anwar dihalang kerana tidak bertauliah sedangkan mereka sendiri pun tidak ada tauliah untuk bertindak.

Alasan kedua yang diberikan untuk menghalal keganasan yang mereka lakukan ialah kerana kononnya Anwar seorang tidak bermoral dan tidak layak untuk memberi tazkiroh dalam masjid. Soalnya siapa Perkasa yang ingin menilai kelayakan seseorang, mereka ambil alih tugas Jabatan Agama sebagai penilai dan mengambil alih tugas polis sebagai penguatkuasa.

Masjid Al-Husin terkenal dengan qiyamullail. Sewaktu masjid menganjurkan program qiyamullail sepuluh malam terakhir tiada seorang pun dari kumpulan penyerang itu dilaporkan hadir mengambil bahagian. Solat berjemaah pun hampir tidak nampak muka. Tiba-tiba tahu pula jalan ke masjid apabila mahu menghalang program tazkiroh yang diadakan.

Apapun, isu yang paling besar ialah apabila masjid dicerobohi. Sekalipun andainya yang berucap dalam masjid itu Ummi Hafilda, maka tidak wajar Rumah Allah dicemari ala barbarian. Kalau nak tunjuk samseng sangat pun, biarlah bertindak terhadap sasaran di luar kawasan masjid.

 
sebelum
 
selepas
Ini bukanlah kali pertama kumpulan tersebut bertindak sendiri dalam menguatkuasakan undang-undang. Mereka pernah mengoyak iklan gergasi imej surau baru Madrasah Salihiah yang dicadangkan di Kompleks Aman Central. Sebabnya gambaran kehebatan surau tersebut berjaya mempengaruhi rakyat negeri ini bahawa surau Salihiah lama wajar diroboh untuk diganti dengan surau baru yang lebih hebat. Alasan tindakan ganas mereka ialah kerana kononnya iklan gergasi tersebut tidak mendapat kelulusan dari Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). Jika benar ia melanggar peraturan iklan yang berhak bertindak ialah MBAS tapi nampaknya kumpulan tersebut boleh berfungsi di semua tempat. Mereka ‘adalah’ MBAS, Pejabat Agama, polis, ahli majlis kerajaan tempatan serta serta berkuasa di mana saja atas apa isu jua.

gambar hiasan sahaja nie..
Kumpulan yang sama pernah berdemonstrasi mendesak kerajaan negeri bertindak terhadap pusat hiburan yang tidak mengikut peraturan. Kononnya maksiat banyak berlaku di pusat hiburan. Nah, jika kemungkaran sudah bermaharajalela di pusat hiburan mengapa kumpulan mereka tidak bertindak menyerang mungkar dan maksiat di pusat hiburan macam mereka menyerang Anwar dalam masjid.

Mengapa hanya berani bertindak di masjid, ketika orang sedang bertazkiroh?

Tindakan mencemarkan masjid oleh Perkasa tersebut jauh lebih dahsyat dari tindakan segelintir individu memijak gambar Perdana Menteri. Tindakan memijak gambar Najib sama saja dengan tindakan penyokong Umno kencing pada gambar Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz dan Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang. Mereka hanya biadab terhadap manusia tetapi golongan yang membuat huru hara di masjid hakikatnya berlaku biadab terhadap Pencipta Manusia.

Peristiwa serangan terhadap masjid itu berlaku selepas tercetusnya isu 'syaitan dikenali lebih baik dari malaikat tidak dikenali' dipolemikkan. Agaknya inilah bahananya apabila syaitan dan malaikat sudah tidak dikenali; kebatilan dan kebenaran sudah tidak dapat dibezakan.

http://www.wartautara.com/

No comments:

Post a Comment