ALOR SETAR – Perkembangan pembinaan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil yang pesat dan membanggakan sejak permulaanya hinggalah ke hari ini telah menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyangka bahawa pembinaan kampus tersebut hanyalah angan-angan kosong dan pelaburan yang membazir sahaja.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, sebelum ini, ada pihak yang menyangka bahawa usaha penubuhan KUIN ini hanyalah sebuah angan-angan sahaja.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Konvokesyen KUIN ke -14 di sini.
“Ada pihak yang telah cuba mempertikai pelaburan besar kerajaan negeri dalam pembinaan kampus ini. Peruntukan sebanyak kira-kira RM40 juta setahun untuk membayar pinjaman bank bagi membiayai kampus tersebut dianggap pelaburan yang tidak menguntungkan berbanding pelaburan ke dalam projek-projek industri dan komersial,” katanya.
Terangnya lagi, semua perlu sedar bahawa keuntungan tidak seharusnya diukur dengan kebendaan dan wang ringgit semata-mata kerana pelaburan infrastruktur pendidikan hakikatnya adalah pelaburan ke arah pembentukan aqliyyah manusia dan rakyat.
Sumber manusia atau modal insan akan menjadi tenaga kerja yang berkualiti dan berdaya saing. Pemimpin masyarakatlah yang akan mencorak atau merubah rakyat negeri Kedah ini ke arah yang lebih baik.
Graduan dari institusi pendidikan inilah merupakan komponen utama yang akan menyumbang kepada pembangunan dan penentu kepada kesejahteraan sesebuah negeri.
Pepatah Melayu ada menyebut “Hanya jauhari yang mengenal manikam”, maka hanya mereka yang terlibat dan arif dalam dunia pendidikan tinggi sahajalah yang dapat melihat serta menyedari keuntungan serta kejayaan besar KUIN pada hari ini.
Dalam majlis konvokesyen tersebut Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menyampaikan ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda kepada kira-kira 300 graduan.
No comments:
Post a Comment