Monday, October 8, 2012

Perbezaan di antara menyalahgunakan kuasa dan rasuah itu seperti ‘omelette’ dan telur dadar.

Persidangan IAAC: Najib hanya setakat membaca teks ucapan sahaja

Perbezaan di antara menyalahgunakan kuasa dan rasuah itu seperti ‘omelette’ dan telur dadar. Sesiapa yang menggunakan kuasanya memang akhirnya menjadi perasuah. Saya masih tertarik untuk menyebut kembali tentang isu rasuah yang disebut oleh Najib dalam ucapan beliau di persidangan IAAC (International Association of Anti Corruption) beberapa hari yang lalu. Walaupun Najib tidak sesuai orangnya untuk bercakap tentang rasuah, tetapi beliau berhak untuk bercakap kerana bercakap itu adalah kebebasan seseorang manusia walaupun ianya tidak kena pada tempatnya.
Isu rasuah ini merupakan satu isu yang sangat besar untuk kita dan ucapan Najib itu amat menarik kerana beliau begitu faham tentang isu ini. Hanya yang mahir dalam sesuatu bidang itu, termasuk rasuah membolehkan seseorang itu bercakap tentangnya. Hanya seorang yang mahir dalam ilmu tasauf itu yang boleh memberikan gambaran tentang Tuhan dan jalan kepadaNya.
Bagi Najib beliau tentu mahir tentang isu rasuah ini kerana beliau merupakan ketua kerajaan yang telah mendapat tanggapan sebagai sebuah kerajaan yang paling rasuah di antara negara rantau ini. Apabila ilmu tentang rasuah ini tinggi maka ia boleh mengelakkan tindakan terhadap penyalah guna kuasa dan rasuah itu dengan mudah kerana rasuah tidak mengenal undang-undang. Malahan sistem perundangan negara itu sendiri boleh dilemahkan oleh rasuah yang sudah menjadi ketagihan mereka yang berkuasa sekarang ini.
Pimpinan yang rasuah boleh memilih siapa yang hendak dihadapkan ke mahkamah. Kita melihat seorang mata-mata atau korporal polis boleh diambil tindakan dengan cepat dan tegas kerana rasuah yang begitu kecil, kadangkala sekecil seratus ringgit. Tetapi perasuah yang memegang kuasa boleh menyalah gunakan kuasa dan mengambil rasuah tanpa diambil tindakan kerana kuasa yang ada pada mereka. Malah penguatkuasa melindungi mereka ini kerana mereka ini mempunyai nama dan gelaran yang hebat-hebat.
Saya amat bersukacita jika Najib membenarkan isu-isu rasuah yang dilabelkan kepada beliau sendiri seperti isu Scorpene itu diberi laluan untuk penyiasatan oleh semua pihak. Najib sebagai Perdana Menteri harus membenarkan siasatan keatas isu ini tanpa halangan untuk menunjukkan yang beliau seorang yang berwibawa seperti yang beliau gambarkan dalam persidangan IAAC tiga hari yang lalu.
Boleh dibuat siasatan terhadap Suaram, tetapi semua pihak patut membenarkan Suaram melakukan penyiasatan terhadap isu Scorpene ini sampai ke penghujungnya. Kalau Najib memberikan sokongan kepada Suaram bagi membuktikan yang beliau tidak terlibat dengan tuduhan setengah pihak. Janganlah mencari helah dengan menekan Suaram sekarang ini kerana isu yang dibawa oleh Suaram sampai ke Peranchis itu merupakan isu yang mesti diselesaikan di hadapan undang-undang dan rakyat ramai.
Jika Najib didapati terlibat dengan rasuah dalam kes ini, maka adalah menjadi tanggungjawab Najib untuk berundur dan berbuat apa-apa yang ‘needful’ sebagai pemimpin negara demokrasi ini. Mungkin beliau mesti melepaskan jawatan untuk menjaga etika kepimpinan negara demokrasi atau menghadapi pengadilan yang seadil-adilnya mengikut lunas-lunas undang-undang yang ada.
Selagi isu ini tidak diselesaikan selagi itulah Najib dan Barisan Nasional terpaksa menanggung persepsi buruk rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa. Ucapan Najib di IAAC itu akan di anggap seperti 'Momok Latif menyanyi lagu rep' sahaja'.
Elok juga dibuat penyiasatan terhadap Mirzan Mahathir kerana rakyat hendak tahu bagaimana wang kepunyaan mereka digunakan untuk menyelamatkan perniagaan anak Perdana Menteri ke-empat itu. Isu ini tidak akan mati selagi tidak dilakukan penyiasatan rapi bagaimana berbillion wang rakyat digunakan untuk menyelamatkan anak seorang Perdana Menteri.
Apakah keistimewaan Mirzan dengan rakyat yang lain yang membolehkan beliau menggunakan wang rakyat sebegitu banyak sedangkan rakyat hanya diberikan wang tunai sebanyak RM500 sebagai sogokan dalam pilihanraya yang akan tiba. Pemimpin-pemimpin kita akan membebel kepada rakyat dan meminta rakyat berbelanja secara berhemah dengan wang sebanyak RM500 itu.
Pemimpin UMNO sekarang mesti membebel terhadap Dr Mahathir kenapa anak beliau boleh menggunakan wang rakyat begitu sahaja untuk menyelamatkan perniagaan beliau yang sudah lumpuh semasa itu. Dalam krisis ekonomi global banyak syarikat-syarikat besar di Amerika Syarikat telah mendapatkan ‘bailout’ dari kerajaan AS itu. Tetapi banyak di antara yang telah mendapat suntikan modal dari kerajaan AS seperti Lehman Brothers telah mula memulangkan wang yang digunakan untuk menyelamatkan mereka dahulu kepada kerajaan AS.
Tetapi kita belum pula mendengar Mirzan membayar balik wang kerajaan kepunyaan rakyat Malaysia itu.  Jika hutang PTPTN siswazah kita diwajibkan dibayar balik kenapa Mirzan tidak memulangkan kembali wang rakyat yang beliau telah gunakan yang jumlahnya berbillion ringgit itu? Takkanlah rakyat Malaysia dipertanggungjawabkan untuk menyara anak seorang Perdana Menteri sampai ketahap ini?
Ini tanggungjawab Najib untuk menyelesaikan isu ini. Jika jumlah yang besar digunakan untuk membantu Mirzan semasa dia gagal dalam perniagaannya dulu tidak dituntut balik, elok dihentikan tindakan terhadap peminjam PTPTN buat sementara.  Apabila sudah nampak bukti yang wang yang digunakan oleh Mirzan itu dikembalikan maka barulah boleh mengambil tindakan terhadap peminjam PTPTN itu.
Sekarang rakyat sedang tertunggu-tunggu formula dari pihak kerajaan bagaimana NFC akan membayar kembali pinjaman mudah sebanyak RM250 juta yang mereka (NFC) perolehi dari kerajaan itu. Jika formulanya masih belum diperolehi maka tidak ada jalan lain selain dari rakyat bersatu dan menumbangkan kerajaan BN dari Putrajaya dan memberikan mandat kepada pihak lain yang lebih diyakini dan dihormati oleh rakyat keseluruhannya.
Najib mesti lakukan apa yang beliau katakan dalam persidang IAAC itu dan tunjukkan kebencian terhadap perlakuan rasuah. Najib hanya akan diyakini oleh rakyat jika beliau mengambil tindakan terhadap isu NFC, PKFZ dan banyak yang lain, termasuk isu Scorpene dalam mana nama beliau sendiri dikaitkan dengan pembelian kapal selam itu.
Pendeknya Najib wajar mengambil tindakan untuk menghapuskan tanggapan terhadap semua pihak termasuk diri beliau sendiri yang amat berkait dengan isu rasuah dan salah guna kuasa ini.
Najib juga tidak boleh lupa terhadap penyalahan guna kuasa yang dilakukan oleh Dr Mahathir dahulu yang menyebabkan hancurnya badan kehakiman dan sistem perundangan negara sejak beliau menjadi Perdana Menteri sampai ke hari ini.
 
 Aspan Alias

No comments:

Post a Comment