Friday, October 12, 2012

UMNO dan lailatul qadarnya

oleh Aspan Alias


Pilihanraya hampir tiba. Seperti biasa apabila PRU mendatang, BN khususnya UMNO, isu wang akan berkisar. Isu RM40 juta merupakan isu di Sabah yang mengaitkan Musa Aman, Ketua Menteri negeri di bawah bayu itu. Isu pengakuan Micheal Chia di Hong Kong semasa dia di soal siasat oleh Badan Pencegah Rasuah negara itu telah mengakui yang wang itu adalah kepunyaan Musa Aman. Nazri telah memberi tahu Parlimen bahawa wang itu adalah wang UMNO dan bukannya wang Musa. Nampaknya Nazri lebih tahu siapa yang punya wang itu.

Yang lebih tahu ialah Najib kerana PM Najib tidak memberikan apa-apa komen tentang isu RM40 juta ini. Najib mungkin tidak payah memberikan komen kerana wang yang berputar di sekeliling UMNO ini merupakan satu perkara yang biasa dan Najib tidak payah memberikan komen tentangnya.

Tetapi jumlah RM40 juta ini adalah jumlah yang besar kepada kita tetapi ia merupakan jumlah yang diibaratkan sebagai habuk di atas tunggul sahaja oleh pemimpin UMNO sekarang ini dan mereka menganggap isu itu sebagai isu remeh dan tidak perlu mendapat layanan dari sesiapa yang ingin menjadikannya sebagai isu pilihanraya.. Bagi BN wang sebanyak itu hanya wang runcit untuk kegunaan pekerja-pekerja yang menjaga pejabat UMNO sahaja.

Parti STAR, dari Sabah, telah bertanya dari mana datangnya wang sejumlah itu? Musa adalah orang yang dikaitkan dengan kegiatan ‘money laundering’ dan jika pertanyaan itu timbul dari sesiapa ia bukanlah pertanyaan yang tidak relevan. Takkanlah wang sebesar itu datang menggolek begitu sahaja. Itulah yang untungnya jika berada di peringkat kepimpinan dalam UMNO. Wang datang dengan banyaknya tetapi sumbernya mereka tidak tahu.

Nampaknya di dalam UMNO ‘Lailatul Qadar’ selalu datang. Pimpinan tidak payah beribadat dengan tekun sehingga sepuluh malam terakhir Ramadhan kerana di dalam UMNO ‘Lailatul Qadar’ datang selalu tanpa mengira bulan mana pun dalam takwim Islam. Mungkin itulah sebabnya kita diminta oleh pimpinan UMNO untuk memberikan sokongan dan beribadat terhadap parti itu kerana parti itu mampu memberikan ‘Lailatul Qadar’ kepada sesiapa yang menyokong mereka.

Beberapa bulan terakhir sebelum pilihanraya itu banyak pihak yang beribadat terhadap UMNO untuk mendapatkan keuntungan ala ‘lailatul qadar’ itu. Micheal Chia, semasa disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah Hong Kong telah menyatakan secara bertulis yang wang RM40 juta itu adalah kepunyaan Musa Aman. Walaupun Musa Aman menafikannya ia hanyalah penafian seperti penafian yang dibuat oleh lain-lain pemimpin kita dalam UMNO itu.

Saya percaya Musa akan tetap menjadi pemimpin yang akan mengetuai BN di Sabah dalam pilihanraya yang akan datang ini. Dalam UMNO pemimpin yang bersih tidak akan menjadi apa-apa kerana parti itu merupakan parti yang sarat dengan pemimpin yang rasuah dan mereka bekerjasama untuk menutup isu-isu aib sesama mereka. Mereka yang bersih akan dianggap seperti musuh dalaman parti itu dan tidak akan mendapat kesempatan untuk menaiki tangga kepimpinan politik sampai bila-bila.

Seperti Dr Mahathir semasa ditanya oleh Mahkamah semasa beliau menjadi saksi perbicaraan Ling Liong Sik, telah memberikan pujian kepada Ling yang Ling tidak berkemampuan untuk menipu jemaah menteri. Walaupun tidak ada kemampuan untuk menipu, wang rakyat sebanyak RM12 billion jumlahnya telah hilang. Wang sejumlah itu hilang dengan sendirinya kerana tidak ada pemimpin dalam BN telah menipu sesiapa. Tidak seorang pun di kalangan pemimpin UMNO mahu mengambil ‘accountability’ terhadap kes tipu menipu dalam kabinet kita.

Seperti juga isu RM250 juta ringgit wang rakyat telah dirugikan dalam isu NFC, Shahrizat Jalil berkata yang bertanggungjawab membuatkan NFC itu rugi ialah Parti Keadilan Rakyat dan media massa. Katanya kalau PKR tidak timbulkan isu, isu NFC tidak akan mengalami kerugian.

Banyak lagi isu yang melibatkan wang rasuah di dalam UMNO tidak diselesaikan di hadapan rakyat. Kita hairan wang rakyat mengalir keluar melalui rasuah tetapi tidak ada yang bersalah baik setelah dibicarakan atau sebelum dibicarakan.

Undang-undang tidak boleh digunakan untuk memerangkap penjenayah tetapi undang-undang digunakan untuk melindungi penjenayah-penjenayah tegar dalam kerajaan. UMNO kini berhadapan dengan krisis keyakinan yang paling teruk dalam sejarah parti itu. Apa sahaja yang dilakukan sudah dianggap sebagai bermatlamatkan rasuah dan kepentingan segelintir pemimpin dan kroni-kroni mereka.

Kemelaratan UMNO pada hari ini tidak boleh diubati dan tugas penyokong tegar mereka tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mencari kesalahan pihak PR seperti orang mencari kutu.

Isu yang besar-besar mereka (UMNO) lindungi dengan menjadikan isu yang kecil untuk memalingkan perhatian terhadap isu-isu besar mereka yang telah melingkupkan perbendahaaran kerajaan dan wang kepunyaan rakyat.

Rakyat dihasut untuk mendesak kerajaan Selangor untuk mengambil alih hutang rumah mereka kerana mengambil kesempatan di atas isu Talam. Jika rakyat mahukan hutang rumah mereka diambil alih, elok juga disertakan dengan desakan supaya Mirzan membayar kembali wang rakyat yang diambilnya untuk menyelamatkan perniagaan yang gagal suatu ketika dahulu. Jumlah yang digunakan dalam ‘bailout’ itu bukan kecil. Jumlahnya hampir dua billion ringgit.

TV3 patut menyiarkan ‘sequence of events’ sehingga wang rakyat yang begitu besar digunakan untuk menyelamatkan perniagaan anak seorang Perdana Menteri suatu ketika itu.

Apa yang jahat yang dilakukan oleh BN tidak diperbesarkan dan itu agaknya memang hak pemimpin UMNO dan BN. Harta benda kita hanya pimpinan BN dan keluarganya sahaja yang boleh menggunakan untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Budaya buruk ini sudah begitu sebati dalam UMNO dan ianya memudaratkan rakyat dan negara. Maka adalah satu kewajipan bagi rakyat untuk memperbetulkan kecelaruan ini dengan menggunakan PRU ke-13 ini sebagai satu kesempatan yang baik untuk melakukannya.

Jika kita tidak lakukannya maka tidak akan dapat lagi rakyat membetulkannya setidak-tidaknya selama 50 tahun yang akan datang. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa tetapi kesalahan itu adalah kesalahan kita kerana tidak mengambi tahu tentang bahaya yang sedang mendatang kepada kita dan generasi kita yang akan datang.

Berfikir betul-betul kerana berfikir sejenak itu lebih baik dari beramal sepanjang malam. Lakukan apa yang perlu untuk memperbaiki keadaan negara kita. Kita sahajalah yang menentukan masa depan kita dan generasi kita.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2012/10/umno-dan-lailatul-qadarnya.html

No comments:

Post a Comment