Thursday, October 4, 2012

Wanita kena sembelih trauma


Wartawan Sinar Harian

ALOR SETAR - Ibu tunggal, Jamaliah Ali, 55, yang cedera parah akibat dikelar penyamun di rumahnya di Jalan Bukit, Teroi, Gurun di sini Selasa minggu lalu masih trauma dengan kejadian yang menimpanya.

Adik mangsa, Habsah Ali, 52, berkata, sejak kakaknya mula sedar dan boleh bercakap seperti biasa, beliau tidak mahu pulang ke rumah kerana masih trauma serta meminta mereka sekeluarga berpindah dengan menyewa rumah lain.

“Dia (Jamaliah) beritahu semasa kejadian suspek memakai helmet bertutup serta tidak bersuara untuk mengelakkan wajahnya dicam sebelum bertindak kejam terhadap kakak,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, kakaknya yang sebelum ini ditempatkan di zon merah wad kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani sudah dipindahkan ke wad biasa kelmarin.

“Buat masa sekarang dia belum boleh makan melainkan minum sahaja kerana doktor perlu membuat pemeriksaan lanjut pada bahagian dalaman di kawasan leher yang cedera.

“Balutan di lehernya juga dibuka oleh doktor pada minggu lalu,” katanya.

Menurutnya, sekarang ini mereka sekeluarga terpaksa menumpang tidur di rumah saudara dan hanya pulang ke rumah berkenaan apabila ada ramai orang kerana bimbang keselamatan diri.

Sinar Harian pada Rabu minggu lalu, melaporkan dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, Jamaliah tinggal seorang diri di rumah kerana Habsah menghantar anak bongsunya ke sekolah dengan menaiki basikal.

Kejadian menimpa Jamaliah hanya disedari 10 minit kemudian oleh ibu saudaranya, Rohani Omar, 54, apabila mangsa menggoncang jeriji pintu depan rumahnya yang terletak 30 meter dari rumah mangsa.

Sebaik ternampak Jamaliah di depan pintu, Rohani terkejut mendapati leher, kepala dan muka Jamaliah berlumuran darah manakala mata dan dagunya pula lebam. Habsah turut berdoa agar penjenayah yang melakukan perbuatan kejam terhadap kakaknya itu akan segera ditangkap.

No comments:

Post a Comment