Thursday, May 5, 2011

Awat lengai sangat nie.. Jika dah tahu ROSAK ganti sajalah..!!

CCTV rosak tunggu mangsa

SUNGAI PETANI – Keadaan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah menara dalam kawasan Stesen Bas Tempatan Sungai Petani hampir tercabut sehingga membahayakan keselamatan orang ramai.

Noordin Abd Rahim, 54, berkata, CCTV itu dipasang bertujuan merakamkan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan sekitar namun, tidak berfungsi akibat rosak sejak Februari lalu.

Menurutnya, kerosakan berlaku apabila kerja merobohkan sisa kebakaran bangunan bersebelahan menara dilakukan pada 16 Februari lalu terkena CCTV berkenaan sehingga menyebabkan ia hampir tercabut dari tempat asalnya.

“Sejak kemalangan itu, CCTV yang pernah merakamkan kejadian jenayah seperti kecurian motosikal di kawasan ini tidak pernah dibaiki dan diselenggarakan sehingga ke hari ini.

“Keadaannya yang hampir roboh boleh menimbulkan bahaya sekiranya terjatuh bila-bila masa dan terkena pejalan kaki kerana laluan ini merupakan tumpuan orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan bas,” katanya kepada Sinar Harian.

Noordin berkata, pihak bertanggungjawab perlu membuat pemeriksaan ke atas CCTV berkenaan agar ia segera dibaiki dan dapat digunakan semula.

“Dengan adanya perkhidmatan CCTV ini, kita dapat mengenal pasti kegiatan jenayah. Selain itu, ia meningkatkan tahap keselamatan terutama kepada orang ramai yang berada di kawasan stesen bas.

“Kemudahan yang dipasang ini adalah atas dasar keselamatan dan ketenteraman namun, apabila dibiarkan dalam keadaan tidak terurus, pemasangannya hanya mendatangkan kerugian,” katanya.

No comments:

Post a Comment