Mohd-Azam-Awang

ALOR SETAR - Dewan Pemuda Pas Kawasan Alor Setar menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menghentikan pemberian lesen hiburan kepada pengusaha baru.

Ketuanya, Mohd Azam Awang berkata, premis pusat hiburan sedia ada sekarang sudah mencukupi, malah sudah berlebihan untuk menampung keperluan masyarakat yang memerlukan hiburan.

Menurutnya, kewujudan pusat hiburan baru ‘tumbuh bak cendawan’ dan semakin berleluasa bukan sahaja di kawasan bandar tetapi lokasi lain tanpa sebarang pemantauan serius.

“Kami difahamkan pemberian lesen hiburan kepada pengusaha tertakluk di bawah bidang kuasa pegawai daerah masing-masing dan lesen premis pula diluluskan yang dipertua PBT berkenaan.

“Kami desak kelulusan lesen premis hiburan untuk pengusaha baru dihentikan segera dan mana-mana lesen yang tamat tempoh tidak wajar diperbaharui bermula awal tahun depan untuk mengelakkan bilangannya terus bertambah,” katanya kepada Sinar Harian.

Azam berkata, jika dilihat pada situasi sekarang, pegawai bertanggungjawab memberi kelulusan lesen seolah-olah gagal memahami hasrat dan aspirasi kerajaan negeri yang sedang memerintah.

“Kegagalan ini turut menimbulkan rasa kecewa di kalangan rakyat terutamanya ibu bapa, yang bimbang dengan persekitaran sekeliling lebih cenderung untuk mempengaruhi pembinaan sahsiah golongan remaja ketika berada di luar rumah.

“Sedangkan kepimpinan kerajaan berusaha untuk membentuk keperibadian rakyat supaya sentiasa menonjolkan moral yang baik, berakhlak mulia bagi mencapai kesejahteraan semua pihak,” katanya.