KUALA LUMPUR- Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bersikap terbuka untuk berdebat dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang telah tertangguh sejak 12 tahun lalu.

Mahfuz Omar

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata beliau menyerahkan kepada Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno, untuk menentukan tajuknya.

“Mungkin pada waktu itu dilihat kurang sesuai untuk berdebat. Tetapi era itu telah dimulakan dengan debat antara Ketua Pembangkang bersama Datuk Ahmad Shabery Cheek, dan baru-baru ini antara (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng dan (Presiden MCA) Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

“Jadi eloklah kalau saya dapat langsungkan debat saya yang tertangguh itu kerana hingga ke hari ini, tuduhan terus dilemparkan pada Pas. Maka pentas debat ini saya anggap sebagai satu penyelesaian untuk dinilai oleh masyarakat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.