Wednesday, February 1, 2012

Harap penyokong Kenari bersabar - Azizan

http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2012/0202/Kosmo/Sukan/su_03.1.jpg
ALOR SETAR - Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta penyokong Kedah bersabar berikutan prestasi hambar skuad Kenari dalam saingan awal Liga Malaysia musim ini yang meletakkan pasukan itu dalam kelompok bawah Liga Super.

Menurut Azizan, tempoh saingan Liga Malaysia masih panjang dan yakin skuad Kedah mampu kembali kepada kedudukan terbaik liga setelah segala masalah dan kelemahan pemain dapat diatasi.

Katanya, beliau memahami masalah yang dihadapi pasukan itu ekoran penggantungan Ketua Jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan menyebabkan pemain kehilangan pembimbing sekali gus menjejaskan prestasi mereka.

''Radhi (Mat Din) dan Ahmad Sobri (Ismail) pun sudah boleh membimbing pasukan selepas tempoh penggantungan tamat. Wan Jamak tidak boleh melatih, malah duduk tepi padang pun tidak boleh, namun setelah tempoh hukuman berakhir masalah serta kelemahan dapat diatasi dan Kedah mampu kembali ke kedudukan terbaik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Kedah ketika ini terbenam di dasar liga dengan hanya mengutip dua mata hasil seri dua kali dan tewas dalam tiga perlawanan.

Ekoran prestasi buruk itu, para penyokong menuntut Datuk Khazali Din berundur daripada jawatan sebagai pengurus pasukan.

Menyentuh tuntutan penyokong itu, Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan Khazali dalam menguruskan pasukan.

Katanya, sekiranya Khazali berundur dari jawatan pengurus pasukan, penggantinya akan turut menghadapi nasib dan desakan sama daripada penyokong.

''Dia (Khazali) bukan jaringkan gol tetapi orang lain yang main bola. Saya berpuas hati dengan Khazali tetapi anak buah dia tidak dapat menunjukkan prestasi baik, apa boleh buat. Insya-Allah apabila menang balik (Kedah) ada pula pihak yang rayu Khazali dikekalkan," katanya.

Azizan memberitahu, kalah atau menang dalam permainan bola sepak adalah biasa termasuk melibatkan kelab ternama dunia.

''Mancester United kalah kepada Liverpool baru-baru ini. Barcelona dulu berada di tempat pertama liga tetapi kini diambil alih pula oleh Real Madrid. Jatuh bagi sesebuah pasukan itu bukan tidak bagus tetapi itulah bola sepak. Bola yang bergolek," katanya.

Menyentuh penyokong yang mahu memboikot perlawanan Kedah di Stadium Darulaman, Azizan berkata; ''Itu terserah kepada penyokong."

Wan Jamak digantung tujuh perlawanan kerana didakwa mengkritik mutu pengadilan dan turut menerima nasib sama Radzi yang merupakan penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail yang digantung empat perlawanan dan memulakan tugas mereka semula minggu lepas.

No comments:

Post a Comment