ALOR SETAR, 13 Feb 2012 – Hari Kekasih atau lebih dikenali dengan ‘Valentine Day’ bukanlah dari budaya Islam lebih-lebih apabila mengamalkan pergaulan lelaki perempuan yang belum sah ikatannya di sisi syarak.Demikian antara pandangan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali ketika ditemui di pejabatnya.
“Islam mengajar kita mencintai Allah, rasul, keluarga serta masyarakat sekeliling dan bukannya memuja seseorang yang akhirnya boleh membawa ke kancah maksiat.
“Sebagai seorang Islam, kita kena kembali kepada fitrah asal iaitu memfokuskan diri kita sebagai hamba Allah dan mencari redhaNya. Dalam usaha ini, kita tidak boleh mencampur adukkan antara yang baik dengan yang tidak baik,” jelasnya lagi.
Tambahnya, pemikiran masyarakat terutama golongan remaja perlu diubah kerana dengan meraikan Hari Kekasih ini seolah-olah kita merestui budaya agama Kristian dan menghalalkan hubungan yang tidak sah serta jelas bercanggah dengan syariat Islam.
“Lainlah kalau kita raikan isteri untuk suami, suami untuk isteri.” sambung beliau.
Beliau juga beranggapan masalah sosial yang melanda masyarakat kita pada hari ini juga merupakan salah satu kesan atau rentetan dari budaya-budaya sedemikian yang mendorong kepada pergaulan bebas lelaki perempuan.
“ Allah adalah kekasih sebenar kita. Curahlah kasih sayang kita kepada Nya kerana itu lebih membawa kebaikan kepada kita.
“Saya berharap kepada para remaja Islam khususnya agar tidak melibatkan diri dengan meraikan Hari Kekasih ini. Bergaullah mengikut batasan yang ditetapkan oleh Islam dan kembalikanlah kasih sayang kita kepada pencipta kita, yakni Allah SWT,” nasihatnya.
Apabila ditanya pandangan beliau, adakah larangan ini seolah-olah seperti melanggar hak-hak asasi manusia, beliau berkata, semua agama tidak menganjurkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan larangan kepada orang-orang Islam sebenarnya lebih kepada menjaga hak-hak orang Islam agar tidak terjerumus ke kancah maksiat dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment